Hari kedua di Ho Chi Minh City, saya memilih
Restoran Hajah Basiroh yang terletak betul-betul di hadapan hotel untuk sarapan
pagi. Menu masakannya memang ada cita rasa Malaysia seperti nasi lemak dan teh
tarik. Hiasan dalaman restoran ini agak cantik, kerusi dan meja tersusun kemas
dan hiasan dinding yang menarik. Di satu sudut diterangkan latar belakang Hajah
Basiroh. Beliau merupakan qariah yang mewakili Vietnam dalam Tilawah Al-Quran
peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Di samping itu
beliau juga mengusahakan telekong yang menjadi pilihan pelancong Malaysia.
Saya dapati ada satu lagi cawangan restoran
ini yang sebaris dengan hotel tempat saya menginap.
Sarapan pagi di Restoran Hajah Basiroh memang
menyelerakan terutama bingka kayu ubi. Walaupun saiznya besar, tekstur yang
lembut dan rasanya manis menjadikan bingka ini sangat terkenal. Harganya
25,000VND. Saya memesan nasi lemak, mee sup daging, murtabak, bingka dan
karipap di samping milo ais, kopi panas dan limau panas. Kesemuanya 315,000VND
atau RM63.
Pada saya, Restoran Hajah Basiroh agak mahal tetapi
tempatnya selesa.
Komunikasi bersama pelayan restoran sangat
mudah kerana salah seorang daripada mereka boleh berbahasa Melayu. Daripada
beliau saya mendapat beberapa maklumat umum seperti masjid, waktu solat Jumaat
dan bagaimana mengurus lawatan di Ho Chi Minh City.
Saya bergerak ke pasar Ben Thanh yang jaraknya
lebih kurang sepuluh minit berjalan kaki. Suasana pasar ini nampak bersih,
kemas dan banyak pilihan khususnya kain, barang cenderamata dan beg. Pasar ini
terletak di laluan yang sibuk dan boleh dimasuki dari mana-mana arah. Selain
itu terdapat pasar basah yang menjual ikan, daging dan sayur-sayuran.
Ada dua kategori harga di sini, pertama,harga
tetap dan kedua, harga tawar-menawar. Gerai harga tetap dijaga oleh wanita yang
berbaju biru muda dan tidak boleh ditawar langsung. Pada saya harganya
berpatutan berbanding harga tidak tetap. Mereka yang pandai tawar-menawar boleh
mendapat harga paling murah dan berbaloi jika kena tawarannya.
Saya membeli sebuah beg berjenama dengan harga
273,000VND, sesuatu yang sukar diperolehi di Malaysia.
Di bahagian buah-buahan pasar ini, penjual
bijak menarik perhatian pelanggan. Mereka menyusun buah-buahan dengan rapi. Ada
buah rambutan, manggis, durian, mata kucing, nona, avokardo, markisa, jambu air
dan mangga yang saiznya agak besar. Contohnya buah mata kucing, saiznya memang
besar dan manis. Isinya tidak begitu tebal tetapi bijinya lebih besar daripada
biasa. Untuk sekila, saya dapat 100,000VND. Ada juga penjual yang mengenakan
bayaran 120,000VND sekilo. Maknanya kita kena bijak mencari dan memilih
penjual.
Di sebelah gerai buah-buahan, ada gerai
minuman dan makanan. Pelbagai jenis jus yang boleh dipesan dengan kadar 20,000VND
segelas. Konsep gerai minum sangat mudah iaitu menunjukkan menu beserta gambar,
tunggu di atas kerusi dan minuman sampai dalam lima minit.
Ada juga juga peniaga yang menawarkan makanan,
sudah tentulah ditolah kerana tidak halal.
Pasar Ben Thanh sangat sesuai untuk mereka
yang tidak mahu bersusah-susah mencari barang-barang khasnya kain walaupun ada
pasar lain yang menawarkan harga murah. Oleh kerana harganya tidakjauh beza,
membeli-belah di Ben Thanh sudah memadai.
Hari kedua adalah hari Jumaat, jadi saya
merancang hendak solat Jumaat, tapi di mana? Nasib baik saya telah bertanya awal-awal
lagi dengan pekerja di Restoran Hajah Basiroh. Ketika jam hampir 12 tengah
hari, saya ke restoran tersebut untuk menumpang kalau-kalau ada pekerja di situ
yang hendak ke masjid. Alhamdulillah, salah seorang anak Hajah Basiroh yang
bernama Karim sudi membawa saya ke masjid.
Jarak masjid dari tempat tinggal saya lebih
kurang 10 minit dengan motosikal. Kali pertama membonceng motosikal di Ho Ci
Minh City agak mendebarkan. Motosikal adalah kenderaan utama dan biasa di sini.
Memakai topi keledar memang wajib, jika tidak kenalah bayar USD20 dan lesen
memandu digantung selama sebulan. Polis trafik ada di mana-mana dengan uniform
berwarna hijau. Saya tengok motosikal polis trafik biasa saja, polis trafik
kita lebih canggih.
Untuk sampai ke Masjid Al Rahim,
berpusing-pusing jugalah saya ke sana bersama Karim. Masjid ini adalah
sumbangan bersama kerajaan Malaysia dan Indonesia yang terletak di 45 Nam Ky
Khoi Nghia Qna 1, Ho Chi Minh City.
Masjid Al Rahim mempunyai tiga tingkat dengan
beberapa tulisan bahasa Melayu. Di ruang utama solat terdapat mimbar kecil dan
boleh memuatkan lebih kurang 100 orang. Ruang solat ini berhawa dingin
sepenuhnya. Sambil mendengar khutbah yang disampaikan dalam bahasa Vietnam,
saya melihat sekeliling. Ada jemaah dari Pakistan, Arab, India, Indonesia dan
Malaysia. Ada seorang jemaah dari Barat.
Melihat wajah orang Islam Vietnam, rupa mereka
tidak jauh beza dengan orang Melayu. Sekali pandang sukar hendak bezakan
kedua-duanya.
Semasa menuruni tangga masjid, di papan
kenyataan kutipan derma Jumaat lepas tercatat RM503, maknanya ramai juga orang
Malaysia yang bersolat di situ.
Di luar kawasan masjid, ada gerai kecil
menjual minuman dan makanan. Saya maklumkan kepada Karim yang saya hendak minum
dulu. Semasa minum, Karim datang duduk di sebelah saya dan kami
bersembang-sembang tentang komuniti Islam di situ.
Menurut Karim, beliau terlibat dalam aktiviti
jemaah Tabligh dan kerap ke markaz Tabligh di Thailand. Katanya lagi, khatib
yang bertugas hari itu adalah muallaf, teks khutbah yang dibaca telah ditulis
oleh anaknya yang diterjemahkan ke bahasa Vietnam. Beliau menambah, di sekitar
kawasan masjid ini ramai orang Islam.
Selain Masjid Al Rahim, terdapat satu lagi
masjid berhapiran Hotel Sheraton. Masjid ini menggunakan bahasa Inggeris dan
bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian khutbah Jumaat. Di sini lebih ramai
jemaah yang datang kerana kawasan tumpuan pekerja Petronas, kakitangan kedutaan
dan diplomat Islam.
Bilangan umat Islam Ho Chi Minh City sekitar
5,000 orang. Menurut Karim, mereka bekerja dalam pelbagai bidang. Kampung orang
Islam yang ramai kira-kira lima jam perjalanan dari Ho Chi Minh City.
Pada saya, secara tidak rasmi, Karim merupakan
rakan pertama saya di Vietnam. Untuk berjumpa Karim, kita boleh tanyakan
Restoran Hajah Basiroh.
No comments:
Post a Comment