Tuesday, October 13, 2015

Faktor-faktor mempengaruhi kecemerlangan akademik pelajar tahun satu di IPTA








1.0 Pengenalan

Faktor luaran dan dalaman serta latar belakang pelajar adalah kunci kepada kejayaan seseorang pelajar di institusi pengajian tinggi. Tidak ada faktor khusus yang menentukan kejayaan ini kerana pelbagai sebab yang menentukan kejayaan dan kegagalan.

1.1 Objektif Kajian

Tujuan kajian ini adalah meninjau dan mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan dalam pencapian akademik pelajar-pelajar tahun satu Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Aspek-aspek yang dilihat dalam kajian secara khususnya adalah seperti menjelaskan faktor-faktor luaran dan dalaman kecemerlangan akademik pelajar tahun satu dan meninjau latar belakang pelajar tahun satu.

1.2 Kepentingan Kajian

Kajian ini diharapkan dapat membantu memberikan gambaran yang sebenar tentang faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan dalam pencapian akademik pelajar-pelajar UTeM tahun satu ijazah sarjana muda kejuruteraan. Pengkaji berharap hasil kajian ini dapat digunakan oleh pelbagai pihak untuk membuat satu kesimpulan yang boleh membantu menambah pengetahuan terhadap kejayaan pelajar. Pengkaji ingin menegaskan bahawa kajian yang dibuat mempunyai pelbagai kepentingan berdasarkan persoalan yang dikemukakan. Pengkaji juga menaruh harapan yang tinggi semoga hasil kajian yang diperolehi memberi faedah yang besar terutamanya pelajar-pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

1.3 Hipotesis Kajian

Hipotesis ialah saranan sementara bagi menjelaskan fenomena yang dikaji atau saranan sementara penyelesaian masalah. Menurut Mohd. Majid Konting (2005), hipotesis digunakan sebagai panduan untuk menjalankan penyelidikan dan menerangkan kaedah untuk melaksanakan sesuatu kajian. Hipotesis memberi jangkaan penyelidik mengenai hubungan antara pembolehubah–pembolehubah iaitu, terdapat hubungan yang signifikan antara pencapaian akademik pelajar dengan faktor-faktor luaran pembelajaran pelajar; terdapat hubungan yang signifikan antara pencapaian akademik pelajar dengan faktor-faktor dalaman pembelajaran pelajar; dan; terdapat hubungan signifikan antara pencapaian akademik pelajar dengan faktor-faktor latar belakang pelajar.

1.4 Limitasi Kajian

Semasa menjalankan kajian, terdapat beberapa batasan kajian yang berkemungkinan dihadapi oleh penyelidik. Antaranya ialah kekangan dari segi masa, kos dan juga kaedah yang diguna pakai. Hal ini memberi kesan kepada penyelidikan yang dilakukan. Batasan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kajian soal selidik. Dengan ini, segala maklumat mengenai responden adalah berdasarkan maklum balas melalui soal selidik. Oleh itu, kebolehpercayaan dapatan kajian bergantung kepada kesungguhan dan keikhlasan responden menjawab item-item di dalam soal selidik.
  2. Dari segi kos, kajian ini dibiayai sepenuhnya oleh penyelidik. Maka ianya akan menjadi bebanan kepada penyelidik untuk menjalankan kajian ini.
  
2.0 Kajian Literatur

Proses pembelajaran berlaku dalam masyarakat sama ada masyarakat sekolah dan juga masyarakat umum. Suasana di antara kedua-dua masyarakat ini amat penting. Keadaan suasana yang sesuai akan menggalakkan proses pembelajaran di kalangan para pelajar manakala suasana yang tidak sesuai pula akan membantutkan lagi proses pembelajaran. Dalam usaha untuk mewujudkan suasana pencapaian pembelajaran yang tinggi, terdapat beberapa faktor yang perlu diberi perhatian iaitu teknik pengajaran pensyarah, sokongan dan galakan ibu bapa/penjaga, hasrat dan semangat pelajar, kerjasama masyarakat setempat, kemiskinan keluarga, masalah keluarga dan suasana tempat belajar.

Ibu bapa perlu memahami perubahan yang berlaku dalam alam persekolahan dan pendidikan kini. Ibu bapa hendaklah mengambil tahu masalah yang dihadapi anak-anak mereka di sekolah. Masalah yang biasa dihadapi oleh pelajar ialah masalah disiplin, masalah guru dan sebagainya. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengambil berat tentang anak-anak mereka, khasnya mengenai pembentukan akhlak, penjagaan disiplin, ajaran agama yang betul, pergaulan yang sihat dan kemudahan yang sesuai.

Kajian penyelidik menyatakan kebanyakan ibu bapa di luar bandar memberi dorongan kepada  anak-anak mereka di sekolah untuk belajar bersungguh-sungguh. Kebanyakan pelajar di luar bandar hanya menghadiri kelas-kelas tambahan di sekolah kerana sukar untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan tambahan daripada perpustakaan. Hal ini bermakna mereka hanya bergantung kepada buku-buku teks. Kekurangan bahan bacaan menyekat pertambahan ilmu dan menimbulkan kesukaran kepada pelajar-pelajar untuk mengupas dan menghurai sesuatu isu.

Kajian kes mengenai keciciran di sekolah menengah (BPPDP, 1996) menggariskan sikap negatif ibu bapa dan keluarga terhadap pendidikan termasuklah tidak atau kurang mengambil berat terhadap pendidikan anak, kurang kesedaran tentang kepentingan pelajaran, lebih suka anak bekerja daripada bersekolah, dan membiarkan anak ponteng sekolah. Terdapat juga ibu bapa yang merestui, membiarkan, atau tidak tahu mengambil tindakan terhadap tingkah laku anak yang nakal. Keluhan yang sering diluahkan oleh ibu bapa sebegini adalah seperti “Apa yang boleh kami buat?”, dan “Sekiranya anak-anak tetap tidak mahu bersekolah, apa yang boleh kami lakukan?”. Sikap negatif ini juga menyumbang kepada salah laku moral dan seks di kalangan pelajar. Mengikut perangkaan Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, di antara bulan Januari dan September tahun 2001 terdapat sebanyak 973 kes salah laku moral yang dilaporkan.

Ketiadaan bimbingan daripada ibu bapa dan guru ini akan mengakibatkan pelajar-pelajar menghadapi masalah pembelajaran seperti memahami pelajaran, mengingati fakta-fakta, menjawab soalan-soalan, menghuraikan konsep dan memberi pendapat tentang isu-isu penting.

Faktor kemiskinan mempunyai perkaitan dengan tahap pendidikan masyarakat luar bandar. Ketidakseimbangan sosioekonomi dan wujudnya golongan miskin banyak mempengaruhi perbezaan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar luar bandar dan bandar. Faktor kemiskinan, keluarga, pelajar, sekolah dan persekitaran banyak mempengaruhi kelemahan pelajar bumiputera khususnya pelajar Melayu dalam akademik terutamanya dalam aspek bahasa, angka, pembelajaran dan perkembangan minda.

Di Malaysia, konsep kemiskinan yang sering digunakan adalah berasaskan komponen ekonomi dan dilihat dari dua aspek iaitu kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif (Chamhuri, 2001; Cheong dan Fredericks, 1977; MAPEN II, 2001; Oaman-Rani, 1995). Kemiskinan mutlak merujuk kepada keadaan kekurangan pendapatan kasar bulanan untuk membeli keperluan minimum sesebuah isi rumah yang meliputi keperluan makanan, pakaian, tempat kediaman, dan keperluan asas lain. Ukuran yang digunakan adalah berdasarkan taraf pendapatan minimum atau Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Manakala kemiskinan relatif pula merujuk kepada ketidaksamarataan pendapatan antara kumpulan yang diukur berdasarkan nisbah perbezaan pendapatan antara kumpulan pendapatan, kumpulan etnik, isi rumah bandar dan luar bandar, dan peratus isi rumah dengan pendapatan. Keluarga yang kurang berkemampuan menghadapi masalah untuk membeli peralatan dan bahan pembelajaran, membayar yuran sekolah, tambang bas, dan membeli cermin mata (BPPDP, 1996). 

Ada juga keluarga kurang berkemampuan yang mengharapkan anak-anak untuk bekerja bagi membantu keluarga. Keluarga miskin juga kurang mampu menyediakan rumah yang selesa untuk seisi keluarga menyebabkan suasana tidak kondusif untuk menjadi tempat belajar. Menurut perangkaan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, sebanyak 7.5 peratus penduduk Malaysia adalah di bawah paras kemiskinan. Ini bermakna seramai 1.7 juta penduduk Malaysia perlu diberi perhatian yang sewajarnya dan daripada jumlah tersebut sebanyak 16.5 peratus adalah daripada keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal (The Sun, 22 Mei 2002).

Melalui kajian yang telah dibuat, pencapaian akademik pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar lebih rendah berbanding dengan pelajar Melayu yang tinggal di bandar pada setiap peringkat pendidikan dan kadar keciciran adalah tinggi di kawasan luar bandar. Masalah kemiskinan, kesempitan hidup, dan kewangan menyebabkan ibu bapa tidak mampu untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anak. Oleh itu, didapati ramai pelajar yang miskin telah bekerja untuk membantu menyara keluarga. Mereka ini telah melakukan berbagai-bagai jenis pekerjaan seperti membantu ibu bapa bekerja di sawah, lading, kebun atau mengusahakan perniagaan keluarga dan membantu membuat kerja rumah serta menjaga adik-adik ketika ibu bapa keluar bekerja.

Kajian Universiti Malaya (Leong Yin Ching dan lain-lain, 1990) tentang faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar mendapati bahawa status sosioekonomi merupakan faktor utama bagi menentukan kejayaan seseorang pelajar terutama pada peringkat rendah (29.0%) dan berkurangan pada peringkat menengah (PMR 16.0% dan SPM 9.0%). Walau bagaimanapun, faktor sosioekonomi tidak mempengaruhi pelajar pada peringkat STPM. Kajian ini juga menjelaskan bahawa sosioekonomi keluarga juga mempengaruhi sikap pelajar terhadap aspirasi, motivasi, konsep kendiri, dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat (Zarinah Arshat dan Rozumah Baharudin,1999) juga mendapati bahawa faktor sosioekonomi, khususnya tahap pendidikan yang diterima oleh ibu bapa, mempengaruhi pencapaian akademik anak mereka.
           
Masalah keluarga yang biasa dihadapi oleh pelajar ialah masalah penceraian di antara kedua-dua ibu bapa mereka. Masalah penceraian banyak mempengaruhi tahap pencapaian pendidikan pelajar. Pelajar daripada keluarga yang bercerai seringkali mengalami pelbagai tekanan semasa berada di dalam kelas dan di rumah. Hal ini tidak kondusif untuk mereka mengulang kaji pelajaran dan membuat kerja rumah dengan penuh tumpuan. Keadaan akan bertambah lebih buruk lagi sekiranya pelajar tersebut menjadi sasaran penganiayaan. Menurut kajian yang telah dibuat oleh Bower (1960), Mc Dermott (1970) dan Wallerstain (1976), maka kajian ini telah menunjukkan suasana keluarga tidak tenteram dan berakhir dengan penceraian telah menyebabkan tingginya masalah keciciran, dan pencapaian akademik yang kurang baik.

Rumah tangga yang kucar kacir dan mengalami keruntuhan seperti penceraian, poligami, dan ibu bapa tidak tinggal serumah menyebabkan keruntuhan akhlak dan masalah sosial di kalangan pelajar. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa apabila berlaku penceraian, tanggungjawab memelihara anak selalunya diserahkan kepada datuk atau nenek (BPPDP, 2001a). Faktor-faktor ini menyebabkan kurangnya kemesraan dan komunikasi berkesan antara anak dan ibu bapa

Kebanyakan anak daripada keluarga bercerai akan tinggal dengan ibu ataupun nenek mereka. Keadaan sosioekonomi yang rendah bukan sahaja hanya menunjukkan kurang sumber kewangan untuk perbelanjaan sekolah dan pembelian peralatan pembelajaran tetapi juga akan mengurangkan tumpuan atau prioriti keluarga terhadap pelajaran mereka. Anak-anak dari keluarga yang telah bercerai akan menghadapi masalah untuk member tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran mereka. Pelajar ini kurang memberi tumpuan terhadap pengajaran guru semasa di sekolah kerana terlalu memikirkan masalah keluarga.

Pelajar-pelajar daripada keluarga yang bercerai lebih memikirkan bagaimana untuk mendapatkan wang yang lebih untuk hidup daripada memikirkan soal-soal pelajaran mereka. Oleh itu, bukan sahaja pelajar tidak mendapat sokongan daripada keluarga untuk belajar, sebilangan mereka tidak hadir ke sekolah atau tercicir sekolah semata-mata untuk membantu keluarga mencari wang. Selain itu, terdapat juga pelajar yang terpaksa berhenti sekolah awal untuk berkahwin bagi mengurangkan beban dari mendapat bantuan dan bakal suami anak tersebut.

Walau bagaimanapun, tindakan komprehensif dari berbagai pihak, seperti pendidikan kebajikan dan kesihatan perlu dirancang dan dirangka untuk membantu pelajar yang malang ini. Sokongan moral, kebajika kesihatan dan sebagainya perlu untuk mengembang potensi mereka sebagai pewaris generasi akan datang.

Teori merupakan antara perkara asas dalam sesuatu bidang ilmu. Secara umumnya, teori merupakan andaian-andaian atau hipotesis-hipotesis tentang sesuatu yang berlandaskan kajian. Terdapat juga pendapat-pendapat lain yang menghuraikan definisi teori. Menurut Stanovich (1992) dan Esah (2003), teori ialah set konsep-konsep yang saling berkait, yang Teori pembelajaran pula didefinisikan sebagai hipotesis-hipotesis oleh ahli psikologi tentang maksud pembelajaran, bagaimana ia berlakaudan faktor-faktor yang mempengaruhi proses pembelajaran.

Pembelajaran merupakan suatu fenomena utama yang melibatkan perkembangan dan pertumbuhan individu, kemajuan sesuatu kaum dan ketamadunan mereka. Ekorn daripada usaha maka wujudlah pelbagai teori yang digunakan dalam bidang pendidikan.

Perbezaan antara kajian kami dengan kajian terdahulu ialah kami ketengahkan faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelajar dan mereka menceritakan tentang sebab-sebab pelajar menjadi lemah dalam pelajaran. Kedua, skop mereka agak luas di mana mereka mengkaji terhadap pelajar-pelajar di seluruh negara terutamanya pelajar melayu manakala kami hanya memerhatikan pelajar-pelajar UTeM terutamanya pelajar-pelajar di Kampus Induk, UTeM dan kami tidak mendiskriminasikan mana-mana bangsa, agama dan kepercayaan.


3.0 Metodologi

Kajian ini dijalankan di Universiti Teknikal  Malaysia Melaka dan  dijalankan ke atas pelajar-pelajar tahun satu yang memperoleh PNGK 3.0  ke atas dan sebahagiannya ialah  pelajar-pelajar yang mendapat anugerah kepujian dekan pada semester I sesi 2011/2012  yang sedang mengikuti program ijazah sarjana muda kejuruteraan.

3.1 Sampel Kajian

Sampel kajian terdiri daripada pelajar-pelajar tahun satu yang memperolehi  PNGK 3.0  ke atas dan  pelajar-pelajar yang mendapat anugerah kepujian dekan pada semester I sesi 2011/2012 yang sedang mengikuti program ijazah sarjana muda kejuruteraan, Universiti Teknikal  Malaysia Melaka. Jumlah sampel adalah 30.

3.2 Instrumen Kajian

Kajian tinjauan ini dijalankan dengan menggunakan borang soal selidik bagi pendapatkan maklumat yang berkaitan dengan kajian ini. Soal selidik lebih praktikal dan berkesan digunakan kerana penggunaannya dapat meningkatkan ketepatan dan kebenaran gerakbalas yang diberikan oleh sampel. Hal ini adalah disebabkan ia tidak dipengaruhi oleh gerak laku penyelidik. Soal selidik digunakan sebagai instrumen dalam kajian ini. Soal selidik ini dibina sendiri oleh pengkaji dan pembinaan soal selidik ini dibina adalah berdasarkan kepada beberapa perkara iaitu responden dapat membaca dan memahami item-item dalam soal selidik dengan baik; responden mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang mencukupi untuk menjawab item-item didalam soal selidik; dan; responden secara sukarela dan ikhlas menjawab soal selidik.

Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian A dan B. Bahagian A berkaitan dengan latar belakang sampel dan bahagian B pula mengandungi item-item yang berkaitan dengan faktorfaktor yang mempengaruhi kecemerlangan dalam pencapaian akademik pelajar.

Dalam bahagian B, setiap item soal selidik menggunakan skala Likert yang berbeza bagi menunjukkan darjah persetujuan sampel, subjek atau sampel dikehendaki menandakan jawapan tentang sesuatu kenyataan berdasarkan satu skala dari ekstrem ke ekstrem yang lain. Sampel dikehendaki memberikan jawapan terhadap semua item-item yang dikemukakan.

3.3 Kajian Rintis

Tujuan utama kajian rintis dijalankan adalah bagi menentukan kebolehpercayaan dan kesahan instrumen. Ianya membolehkan pengkaji mengenal pasti kekurangan item soal selidik dan instrumen kajian dalam membuat beberapa perubahan supaya tidak menjejaskan hasil kajian sprinthal, kajian rintis ialah satu aktiviti yang penting bagi setiap kajian tinjauan yang mana selain daripada menentukan kesaihan dan  kebolehpercayaan instrumen, ia juga digunakan untuk menguji kaedah terbaik mentadbir instrumen, mengenal sampel dan kesesuaian kaedah analisis. Oleh sebab itu, bagi memastikan instrumen kajian yang digunakan mempunyai kesahihan dan kebolehpercayaan, satu kajian rintis dijalankan sebelum kajian sebenar dilaksanakan.

Kaeadah pengumpulan data yang dibincangkan adalah memfokuskan kepada sumber data. Sumber data yang diperolehi dalam kajian ini terbahagi kepada dua sumber iaitu data primer dan maklumat sekunder. Data primer ialah data asal yang dikutip oleh penyelidik. Dalam kajian ini, data-data diperolehi melalui maklum balas daripada borang soal selidik yang diedarkan kepada responden yang terpilih. Data ini merupakan sumber maklumat yang terpenting kerana ia diperlukan untuk menjelaskan tajuk kajian, mendapatkan fakta dan hasil penemuan yang telah dibuat daripada kajian lepas. Selain itu, sumber bagi data sekunder ini juga turut diperolehi daipada jurnal, buku rujukan dan juga maklumat daripada laman web.

Tempoh yang diberikan untuk memulangkan borang soal selidik adalah selama tiga hari. Hasil kajian itu kemudiannya dibuat jadual untuk memahami isi yang penting. Hasil kajian seterusnya dianalisis oleh penyelidik.


4.0 Hasil Kajian

Daripada kaji selidik, objektif pertama mengusulkan idea bahawa kecemerlangan pelajar adalah disebabkan faktor-faktor luaran. Objektif kedua pula mengketengahkan idea kecemerlangan pelajar adalah disebabkan faktor-faktor dalaman manakala objektif ketiga menyatakan bahawa punca kecemerlangan pelajar adalah disebabkan oleh keturunan.

Merujuk kepada objektif pertama, lebih daripada separuh bilangan responden bersetuju bahawa kecemerlangan pelajar adalah disebabkan oleh faktor-faktor luaran dan kurang daripada ¼ menyatakan tidak. Antara sebab yang diberi adalah kerana minda pelajar lebih terangsang apabila berada di luar kelas dan mereka lebih mudah memahami sesuatu perkara secara amali berbanding teori manakala yang tidak bersetuju pula menyatakan kebanyakan pelajar yang cemerlang ini lebih cenderung untuk belajar teori sahaja kerana secara amnya, Malaysia mengamalkan sistem pembelajaran yang menerapkan 70% teori dan 30% amali. Kesimpulannya, walaupun secara purata kerja-kerja amali ini merangkumi 30% markah sahaja, namun ianya tetap berguna kepada pelajar untuk lebih memahami konsep yang diterangkan secara teori kepada mereka. Pelajar sekarang sudah bijak pandai, mereka lebih suka untuk memahami dariapada menghafal.

Keputusan bagi objektif kedua pula menunjukkan lebih daripada separuh bilangan responden yang bersetuju bahawa kecemerlangan akademik pelajar adalah disebabkan oleh faktor-faktor dalaman seperti pembelajaran dan di dalam kelas dan ulang kaji diwaktu lapang manakala selebihnya yang mewakili 29% daripada bilangan responden kami menyatakan tidak setuju.

Antara sebab mereka yang bersetuju adalah kerana peperiksaan teori merangkumi 70% markah keseluruhan dan membawa perubahan yang besar kepada gred jika mereka tidak berjaya skor. Tumpuan dan ulang kaji juga memainkan peranan penting untuk melaksanakan objektif kedua ini. Pelajar yang cemerlang akan memberi tumpuan sepenuhnya ketika  pembelajaran di dalam kelas dan sentiasa berterusan membuat ulangkaji pada waktu lapang manakala selebihnya yang berkata tidak setuju tidak mempunyai hujah yang kukuh bagi menyokong keputusan mereka. Mereka cuma mengganggap pelajaran itu terdapat di mana-mana dan bukan semuanya dicedok dari buku sahaja. Kesimpulannya, faktor-faktor dalaman ini adalah pemangkin utama bagi kecemerlangan pelajar kerana berdasarkan sistem peperiksaan di negara kita ini yang mengambil kira aspek pemahaman teori sebagai ‘kayu ukur’ kecerdikan seseorang pelajar.

Dari aspek objektif ketiga, kecemerlangan pelajar berpunca dari keturunannya. Percanggahan idea telah timbul sewaktu pengambilan data daripada responden kerana melihat dari keputusan yang didapati, 50% daripada bilangan responden bersetuju dan 50% lagi mengatakan tidak. Bagi yang berkata setuju, mereka melihat ibu bapa yang bijak akan memastikan anak-anak mereka tidak tercicir dalam pembelajaran tidak kira banyak atau sikit. Mereka akan memastikan anak-anak mereka menyiapkan kerja rumah yang diberi, sentiasa melakukan ulang kaji di rumah dan sentiasa bertanya pada guru-guru tentang perkembangan anak mereka di sekolah.

Bagi mereka yang berkemampuan pula, mereka akan menghantar anak mereka ke pusat tuisyen supaya anak mereka tidak kehilangan fokus untuk belajar manakala yang tidak bersetuju memberikan sebab ibu bapa yang tidak cerdik juga mampu mendorong anak mereka belajar sehingga menjadi cerdik pandai. Kepandaian bukanlah sesuatu yang diperturunkan secara genetik dan ianya perlu dikecapi dengan usaha pelajar itu sendiri. Kesimpulannya, objektif ketiga ini menerangkan tentang tanggungjawab ibu bapa yang perlu sentiasa memantau dan membimbing anak mereka supaya belajar dengan berterusan.


5.0 Kesimpulan

Dapat kita simpulkan bahawa pelajar merupakan generasi pewaris yang bakal menentukan halatuju wawasan negara pada masa mendatang. Untuk memikul tanggungjawab ini maka generasi pada hari ini seharusnya menimba seberapa ilmu yang mungkin sebagai menghadapi cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi nanti sebagai suatu persiapan awal. Masalah pembelajaran di setiap fakulti seharusnya dapat ditangani demi untuk melahirkan generasi yang berteknologi dan bermutu. Oleh yang demikian kita seharusnya menjalankan kajian-kajian yang berkaitan demi untuk sama-sama meningkatkan lagi kualiti pengeluaran negara suatu hari kelak. Dari kajian tersebut perlu dibuat beberapa perubahan untuk menjanjikan keputusan yang cemerlang.

Selain itu, pelajar perlu sedar peranan utama mereka sendiri dalam penguasaan ilmu pengetahuan untuk mencapai kecemerlangan akademik. Justeru itu dicadangkan:

Pelajar perlu menjaga hubungan dengan Allah swt, ibu bapa dan masyarakat untuk mendapat keberkatan.

Pelajar perlu mengulang kaji sebelum pelajaran, konsentrasi semasa pelajaran, dan mengulang kaji selepas pelajaran.

Pelajar perlu mempunyai sifat malu untuk melakukan perkara negatif seperti malas, ponteng kelas/sekolah, tidak mementingkan masa, melakukan aktiviti yang ‘tidak berfaedah’, dan tidak menghormati guru.


Rujukan

Atan Long. (1979). Fikiran Tentang Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Faktor-faktor Kecemelangan Seorang Pelajar http://www.mslportal.edu.sg/ dept/mt/malaysite/ Karya/Faktor-faktor%20yang%20menentukan%20kejayaan%20seseorang%20pelajar.doc

Nor Azeanie binti Che Azmi dan Supli Effendi Rahim. (2007). Kajian Terhadap Faktor Yang Mempengaruhi Tahap Pendidikan Masyarakat. UPSI, Tanjung Malim, Perak.

Sheikh Othman bin Sheikh Salim. (1994). Kamus Dewan Edisi Baru Cetakan Kelima.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Wan Zainura binti Wan Yusof. (2008). Pengaruh Sistem Penasihatan Akademik Terhadap  Tahap Pencapaian Akademik Pelajar. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda.



MZ Zainudin, Mohamad Nazim Ab Halim, Mohamad Ridzuan Harun, Mohd Faiz Ramli, Mohd Khairil Anuar, Mohd Hafiq Mustapha



No comments:

Post a Comment