Sebelum itu, semasa melangkah keluar dari
hotel, saya maklumkan kepada pekerja kaunter untuk dapatkan tiket persembahan
boneka air. Seorang dewasa dicaj 200,000VND manakala kanak-kanak bawah tiga
tahun adalah percuma. Masa persembahan jam 6.30 petang.
Hari ini saya memulakan lawatan ke Muzium
Perang yang tidak jauh dari hotel. Masa berjalan sekitar 15 minit. Namun saya
memilih menggunakan teksi kerana hendak cepat.
Di muzium ini, setiap pengunjung dikenakan
bayaran 15,000VND. Sekitar muzium diletakkan kereta perisai dan pesawat yang
terlibat dalam peperangan Vietnam untuk menjadi tontonan umum bahawa Amerika
Syarikat boleh dikalahkan.
Di sebelah tepi muzium terdapat replika
penjara yang menunjukkan keadaan tahanan perang. Suasana yang paling
menggerunkan ialah tempat memenggal kepala tahanan. Mesin pemenggal ini adalah
mesin sebenar. Selain itu, penjara ini juga digunakan untuk menyeksa tahanan
bagi mendapatkan maklumat. Jenis seksaan berbentuk fizikal dan mental. Maklumat
yang terdapat di dinding penjara menjelaskan lebih ramai tahanan yang diseksa
dan didera secara fizikal menyebabkan kecacatan kekal.
Antara bentuk seksaan fizikal adalah memukul
tong drum sehingga merosakkan telinga tahanan, menggunakan sinaran lampu
sehingga mata tahanan menjadi buta, pendedahan terhadap panas terik cahaya
matahari dengan cara meletakkan tahanan dalam ruang kawad berduri dan
penggunaan sebatan untuk memastikan tahanan mengikut arahan.
Ada juga tahanan yang diseksa secara mental
sehingga hilang ingatan.
Gambar dan penerangan yang disediakan itu
cukup memberi keinsafan betapa perang meruntuhkan sifat-sifat kemanusiaan.
Di dalam bangunan muzium tiga tingkat ini,
penceritaan lebih tertumpu pada gambar-gambar semasa perang. Penonjolan askar
Perancis dan Amerika Syarikat amat ketara di samping keadaan mangsa-mangsa
perang. Gambar kekalahan askar Perancis di kubu terakhir mereka merupakan satu
kejayaan kepada askar-askar Vietnam.
Bagi askar Amerika Syarikat, gambar-gambar
yang dipamerkan lebih cenderung kepada kekejaman mereka untuk menang perang ini.
Penggunaan bahan kimia seperti phosphorus dan ejen oren dizahirkan dengan kesan
berpanjangan mangsa khususnya orang awam. Ejen oren merosakkan genetik dan
sebagai tanda kekejaman ini, potret seorang bayi yang baru dilahirkan dan
meninggal dunia telah diawetkan sebagai tatapan pelancong.
Menghayati potret di Muzium Perang sangat
menginsafkan. Vietnam terpaksa berperang untuk mendapatkan kemerdekaan.
Di tingkat tiga ada disediakan tempat khas
untuk mendidik kanak-kanak tentang kedamaian. Di sini mereka boleh melakukan
aktiviti melukis untuk menyemai nilai-nilai keamanan dan keharmonian.
Muzium ini ditutup pada pukul 12 tengah hari
untuk kakitangan berehat. Jika kita hendak melawat muzium ini, pastikan datang
lebih awal supaya dapat melihat semua gambar dan maklumat berkaitan Perang
Vietnam.
Selepas itu, saya meneruskan aktiviti
membeli-belah di pasar Ben Thanh.
Salah satu tarikan utama di Ho Chi Minh City
ialah persembahan boneka air atau Water Puppet Show di Golden Dragon Water
Puppet Theatre. Persembahannya sangat menarik kerana menggunakan air sebagai
tema cerita. Walaupun menggunakan bahasa Vietnam, peralihan cerita boleh
difahami.
Semasa menunggu untuk masuk ke dewan
persembahan, saya menegur satu keluarga dari Malaysia. Katanya mereka dari
Seksyen 12 Shah Alam dan sudah enam hari di sana. Pelancongan mereka
menggunakan pakej berjumlah USD800.
Selepas persembahan, saya menggunakan laluan
pejalan kaki untuk mencari kedai makan. Kali ini saya memilih Restoran Melayu
dengan cita rasa masakan Melayu. Hidangannya menarik dan pelbagai, harganya pun
boleh tahan.
Suasana malam di bandar raya ini, lebih-lebih
lagi malam minggu sangat rancak. Di sana-sini kedapatan orang bersantai dan
lepak di tepi jalan. Anehnya “vaping” masih belum dikenali di sini.
Kedai-kedai jualan masih dibuka khususnya
bersebelahan pasar Ben Thanh. Barangan di sini lebih tertumpu pada pakaian,
aksesori, cendera mata dan makan minum.
No comments:
Post a Comment