Friday, October 02, 2015

Budayakan penyelidikan di Jabatan Mufti







Larangan menghentikan amalan kuliah, mengaji atau membaca al-quran menggunakan pembesar suara yang melepasi sempadan masjid di Pulau Pinang telah menjadi isu hangat. Perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 September lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lalu.

Langkah jawatankuasa itu disokong oleh bekas Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad saw kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

“Amalan pasang mikrofon kuat waktu sebelum subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi saw kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur. Perbuatan mengganggu ini adalah haram dan berdosa”.

Mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang itu.

Namun, tidak semua pihak yang bersetuju dengan tindakan Jabatan Mufti Pulau Pinang memandangkan banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Abd Shukor Husin yang berkata larangan itu ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini. Beliau melihat larangan itu sebaiknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.

Banyak faktor yang telah diambil kira oleh Jabatan Mufti itu untuk memutuskan tindakan ini. Antaranya ialah keadaan demografi penduduk yang telah berubah khususnya di bandar yang mana rata-ratanya mempunyai pelbagai etnik, latar belakang pendidikan dan pekerjaan serta terdedah dengan cara hidup moden. Mereka juga menerima aduan dari orang Islam yang tidak tahan dengan bunyi kuat dari pembesar suara masjid dan surau bagi tempoh yang lama.

Bagi mengetahui bagaimana pelaksanaan larangan ini memberi kesan kepada masyarakat, adalah lebih elok kita melihat pelaksanaan ini di Perlis. Walaupun majoriti masyarakat Perlis adalah Islam, belum tentu surau dan masjid akan mengikut bulat-bulat arahan ini.

Di Masjid Negeri, suara bacaan al-quran sebelum azan subuh masih kedengaran kerana amalan ini telah lama dibuat. Mustahil Pak Syed Alam, bilal masjid akan berhenti mengaji kerana membaca al-quran dan memperdengarkannya kepada masyarakat sekitar akan memberi ransangan baru kepada sesiapa sahaja yang mendengar kecuali Allah swt mengunci hati dan telinga mereka.

Membaca al-quran sebelum masuk waktu subuh yang dapat didengar dari pembesar suara merupakan dakwah harian kepada orang Islam dan bukan Islam.
Ada kes yang berlaku disebabkan azan, bukan Islam tertarik dengan Islam seterusnya mencari satu demi satu makna azan, di samping mencari kefahaman lanjut tentang kandungan al-quran.

Pihak berkuasa agama Islam yang memiliki kuasa ke atas urusan umat Islam wajar mengambil kira larangan ini dengan membuat kajian keberkesanan impak terlebih dahulu.

Pulau Pinang mempunyai universiti tersohor di Malaysia, mustahil mereka tidak punya pakar untuk membuat kajian mengenai tahap kesediaan masyarakat terhadap pembesar suara di luar waktu azan. Dalam kes ini, Jabatan Mufti Pulau Pinang  mungkin tidak melihat kepentingan membuat kajian yang boleh dibuat secara usahasama dengan universiti berkenaan.

Mereka wajar menjadikan penyelidikan sebagai budaya sebelum memutuskan sesuatu larangan yang meresahkan masyarakat.


No comments:

Post a Comment