Saturday, December 07, 2013

Sikap pemandu punca kemalangan jalan raya






Malang tidak berbau



Kemalangan jalan raya di Lebuhraya PLUS berulang kembali. Kini di Senawang melibatkan enam buah kenderaan yang berlaku pada pukul 4.30 petang arah selatan. Pemandu bas ekspres dan kereta Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala yang lain dibawa ke hospital. Kesesakan boleh dikesan sehingga ke R&R Seremban dan sehingga tengah malam masih banyak kenderaan yang terkandas.

Kenderaan yang terlibat ialah dua lori tangki, bas tanpa penumpang, teksi Toyota Innova, kereta dan motosikal.

Kemalangan jalan raya dan kematian menjadi salah satu masalah utama di Malaysia. Di sebalik kempen berterusan untuk menyedarkan pengguna dan menambah papan tanda amaran dan makluman, usaha-usaha sebegini tidak akan bermakna jika sikap pengguna jalan raya tidak berubah.

Memandu kenderaan perlukan lesen khusus kerana pengawalan dan pengetahuan berkaitan keselamatan kenderaan sangat penting. Kemahiran dan keupayaan mengawal kereta atau motosikal berbeza dan perlukan latihan khusus sebelum dibenarkan memiliki lesen yang sah.

Cara pemanduan yang kerap dibuat oleh pemandu kenderaan ialah memandu laju tanpa mempeduli papan tanda kelajuan yang sesuai di kiri dan kanan jalan. Ada juga yang memandu sambil menggunakan telefon bimbit dan melanggar lampu isyarat merah. Bisanya penunggang motosikal lebih cenderung melanggar isyarat lampu merah kerana hendak cepat, terlalu yakin dan tidak kisah keselamatan diri sendiri.



Penunggang motosikal kerap melanggar isyarat
lampu merah



Sikap buruk lain ialah sangat malas menggunakan isyarat membelok apabila hendak menukar arah. Kerap kali situasi ini mengundang bencana buruk bukan sahaja kepada pemandu yang malas itu malah kenderaan yang mengekori di belakang.

Punca utama yang menyumbang kepada kemalangan maut ini ialah sikap buruk pemandu yang memandu tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. Faktor jalan yang berlubang, tidak disenggara dan tiada garisan putih turut menyumbang kepada kemalangan maut ini.

Penguatkuasaan dan pendidikan jalan raya harus dibuat secara berterusan kerana kemalangan dan kematian di jalan raya menyebabkan negara kehilangan sumber manusia dan kehilangan rakyat yang ramai setiap tahun.

No comments:

Post a Comment