Wednesday, December 18, 2013

Jelaskan mekanisme kenaikan tol








Cadangan kenaikan kadar tol mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pengguna lebuh raya dan pertubuhan politik di negara ini. Pengguna yang sudah dibeban dengan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian tetap merungut apabila harga tol dinaikkan pada tahun depan.

Parti politik pula mengambil bahagian dalam isu ini dengan matlamat menyuarakan pandangan rakyat.

Kenaikan kadar ini merupakan kaedah rasionalisasi subsidi yang digerakkan oleh kerajaan beberapa tahun lalu bertujuan meningkatkan daya saing ekonomi negara. Bergantung kepada subsidi bakal melemahkan daya saing dan mengurangkan kerancakan aktiviti ekonomi lebih-lebih lagi ketika negara sedang berusaha ke arah menjadi sebuah negara maju.

Negara-negara maju seperti di Eropah atau Jepun mempunyai kadar subsidi yang rendah. Mereka perlu membayar harga petrol yang lebih mahal dan serba-serbinya dikenakan bayaran. Pendapatan kerajaan adalah bayaran yang dipungut daripada penduduknya di samping aktiviti ekonomi teras.

Seorang rakan yang baru pulang dari melanjutkan pelajaran di Jepun menyifatkan Malaysia adalah sebuah negara bertuah kerana masih lagi mempunyai kemudahan yang dikenakan bayaran pada kadar minimum seperti Klinik 1Malaysia yang hanya mengenakan bayaran satu ringgit berbanding di Jepun. Oleh kerana tidak mahu sakit dan terpaksa membayar harga yang mahal untuk rawatan kesihatan, orang-orang Jepun mengamalkan budaya makanan yang sihat seperti memilih makanan yang rendah lemah dan bersenam setiap hari.

Rasionalisasi subsidi oleh kerajaan Malaysia dilihat membebankan golongan berpendapatan rendah seperti pekerja buruh, petani dan mereka yang terpinggir dalam peluang pekerjaan. Kepada golongan ini, kerajaan menyediakan bantuan sara hidup secara berkala dan bermusim supaya kos hidup diserap oleh bantuan berkenaan. Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai contoh adalah kaedah bantuan bermusim tetapi tidak harus menjadi kelaziman setiap tahun kerana ia umpama “memberi ikan kepada pemancing” dan dikhuatiri kelompok itu akan terus menagih BR1M daripada berusaha mengubah hidup sendiri.

Kadar tol yang baru memberi ruang kepada pekerja meminta kenaikan gaji yang sepadan dengan kos hidup mereka. Dalam sektor kerajaan, kenaikan gaji telah dan sedang dilaksanakan berperingkat-peringkat. Rahmat kenaikan harga petrol dan barangan ialah kerajaan sendiri terpaksa menaikkan gaji kakitangan awam supaya setara dengan kos hidup pada masa kini.

Di pihak swasta, penetapan gaji minimum RM900 merupakan jumlah yang munasabah kerana sedikit sebanyak dapat melegakan kehidupan golongan berpendapatan rendah. Pengawal keselamatan umpamanya mampu meraih sehingga RM1500 sebulan jika bekerja lebih masa berbanding pekerjaan petani di kampung yang belum tentu mendapat jumlah yang sama.

Mekanisme kenaikan kadar tol harus dijelaskan dengan telus supaya masyarakat dapat memahami kenapa kenaikan itu dianggap sebagai satu keperluan.

 

No comments:

Post a Comment