Generasi muda perlu utamakan pendidikan |
Perkahwinan di bawah umur di Malaysia belum lagi menjadi trend namun jumlahnya semakin bertambah. Masyarakat Islam merupakan kelompok paling ramai yang memohon untuk berkahwin dan mereka perlukan kelulusan mahkamah. Ada di antaranya melibatkan pemohon berusia 12 tahun.
Asas kepada perkahwinan di bawah umur ini berbagai-bagai. Terdapat kes disebabkan ibu bapa yang risau tingkah laku anak yang agak liar, dirogol, terlibat dengan kegiatan maksiat dan juga keinginan anak-anak sendiri. Walau apapun puncanya, ibu bapa wajar melihat implikasi perkahwinan ini dalam jangka masa panjang.
Kita jarang didedahkan dengan kajian-kajian berkaitan kesan perkahwinan jenis ini. Berapakah kadar penceraian, apakah isu-isu yang sering timbul, sejauh mana perasaan cinta pasangan dan banyak lagi pertanyaan boleh dijadikan sebagai bahan kajian dan penyelidikan. Di peringkat universiti, kajian begini juga tidak banyak dilakukan.
Masyarakat hari ini lebih terbuka kepada hubungan tanpa batasan sehingga mengundang masalah sosial yang serius. Saban tahun kita dipaparkan dengan pelbagai kes berkaitan kehamilan luar nikah, buang bayi dan buang anak, dicerai tanpa sebab munasabah dan juga penderaan khususnya dalam kalangan wanita. Kes-kes begini ada kaitannya dengan kurang persediaan sebagai suami atau isteri apatah lagi hendak menjadi ibu atau bapa.
Beban kewangan yang sentiasa menekan keluarga muda menjadikan tumpuan hidup mereka semata-mata hendak mencari wang belanja dan meletakkan soal pembinaan keluarga di tempat kedua. Akhirnya wang yang dicari tidak sebanyak mana tetapi keluarga berpecah-belah dan anak-anak hilang tempat bergantung.
Pihak berkuasa khususnya mahkamah syariah wajar menilai kembali kelulusan ke atas pasangan di bawah umur yang memohon untuk dikahwinkan kerana tahap persediaan yang sangat rendah. Biasanya perkahwinan seperti ini menutup terus peluang isteri untuk mendapat pendidikan yang lebih baik sebagai jaminan masa depan. Tanpa pendidikan mereka akan kalah dalam persaingan untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi. Pihak berkuasa wajar memastikan aspek pendidikan diberi keutamaan dan meminta penangguhan perkahwinan supaya tidak timbul masalah yang lebih besar selepas berkahwin.
Malahan belum ada jaminan ahli keluarga kedua-dua pihak akan memberi sepenuh bantuan khususnya kewangan kerana masing-masing juga mempunyai tanggungjawab lain.
Jika berlaku perkahwinan juga, institusi harus turut memikul tanggungjawab membimbing dan memastikan pasangan berkenaan mendapat hak mereka yang sepatutnya.
No comments:
Post a Comment