Friday, December 27, 2013

Jasin perkasa tulisan jawi






Keputusan Majlis Daerah Jasin, Melaka yang akan memperkenal tulisan jawi secara berperingkat-peringkat di kawasan jajahan itu amat membanggakan. Selain mengukuhkan kembali tulisan jawi, tindakan itu juga dilihat dapat memastikan syiar Islam terus ditonjolkan dalam masyarakat Jasin.

Pengenalan tulisan jawi di premis pentadbiran majlis daerah itu menjadi permulaan kepada penggunaan jawi di premis perniagaan, bangunan dan jalan-jalan utama.

Walaupun dilihat kecil keputusan ini, ia memberi impak besar kepada pecinta tulisan jawi dan bangsa Melayu kerana bahasa dan tulisan orang Melayu ada hubungan yang akrab dengan Islam. Secara langsung, menonjolkan apa-apa syiar yang ada kaitan dengan Islam akan turut menaikkan imej dan maruah orang Melayu.

Di Asia Tenggara, selain Brunei, negeri-negeri di Malaysia ada yang telah menetapkan tulisan jawi di papan-papan tanda peniagaan dan jalan raya. Di Kelantan dan Terengganu, penggunaan tulisan jawi ini telah lama dilaksanakan.

Terdapat tafsiran yang berbeza berkaitan tulisan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi Perkara 152 berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan. Ada tafsiran yang mengaitkan bahasa tersebut dengan tulisan rumi kerana bahasa Melayu boleh ditulis sama ada dengan tulisan jawi atau tulisan rumi. Ada tafsiran lain mengatakan tulisan jawi sepatutnya didahulukan. Bagaimanapun dalam urusan harian, sistem pendidikan dan maklumat, masyarakat Malaysia lebih selesa dan senang dengan tulisan rumi bahasa Melayu.

Dengan semangat yang dizahirkan oleh Majlis Daerah Jasin ini, kita boleh jadikan azam tahun 2014 untuk memperkasa penggunaan tulisan jawi di semua tempat. Kesedaran masyarakat yang semakin baik terhadap kepentingan tulisan jawi tentu akan mendorong lebih banyak pihak tampil untuk menggunakan tulisan ini dalam urusan harian mereka.

No comments:

Post a Comment