Thursday, December 12, 2013

Semarakkan budaya penyelidikan







Penyelidikan di institusi pengajian tinggi merupakan aspek penting yang kritikal kerana ia menentukan banyak perkara seperti kedudukan universiti, jumlah geran dan keupayaan penyelidik. Universiti-universiti ternama dan sering menjadi pilihan sentiasa menekankan aspek ini kepada setiap orang pensyarah supaya menjadikan penyelidikan sebagai budaya akademik.

Universiti yang baru tidak ketinggalan meletakkan dirinya sebagai sebahagian daripada pasukan penyelidikan yang menghasilkan pelbagai jenis bahan kajian. Penyelidik yang muncul dari pelbagai bidang berentap untuk meraih pingat dan penghormatan dalam bidang disiplin masing-masing.

Kejayaan penyelidikan ialah memanfaatkan masyarakat dan menyelesaikan masalah hidup. Banyak produk yang berasal dari makmal berjaya keluar ke pasaran kerana berupaya menyelesaikan banyak kesulitan hidup orang ramai baik dalam rumah, luar rumah atau menyelesaikan masalah dalam diri sendiri seperti kit pengesan kanser atau alat ukur paras kolestrol.

Banyak juga bahan kajian yang tersadai di dalam makmal dan hanya dikongsi di dalam jurnal tanpa dapat dikomersilkan kerana kos tinggi dan tidak sepadan dengan kegunaan manusia. Kajian jenis ini hanya membazirkan wang geran kerana tidak ada nilai wang dan tidak akan ke mana. Pernah seorang penyelidik mencipta jaket kalis peluru daripada sabut kelapa tetapi jaket ini tidak ke mana kerana budaya masyarakat kita ialah kurang menghargai kebolehan "made in Malaysia".

Ia berbeza dengan masyarakat Barat atau Jepun yang amat menghargai penyelidikan kerana mereka tahu sesuatu inovasi baru dapat membawa pendapatan besar kepada negara, meningkatkan kreativiti, menambah usahawan dan mengurangkan pengangguran. Oleh kerana budaya inovasi dan usahawan menjadi sebahagian daripada hidup, sudah ramai remaja yang menjadi kaya raya kerana mencipta aplikasi yang ringkas tetapi diminati selepas aplikasi tersebut dibeli oleh Google atau Microsoft.

Suasana ini tidak berlaku di Malaysia.



Justeru, ekspo penyelidikan yang dianjurkan merupakan langkah awal untuk mengenengahkan pelbagai hasil penyelidikan khususnya teknikal dan kejuruteraan yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah hidup masyarakat hari ini. Penciptaan pelbagai jenis peralatan yang ringkas, mudah dan berkesan menjadi perhatian kerana orang hari ini hendakkan peralatan yang senang dibawa dan diuruskan melalui internet.

Penyuburan budaya penyelidikan telah lama dianjurkan oleh Islam. Oleh kerana Rasulullah saw mengajar umat Islam untuk mencari dan mempelajari ilmu, tamadun Islam memberi sumbangan besar kepada sejarah manusia hari ini. Penyelidikan tidak akan menjadi budaya jika tidak ada keinginan untuk mencari dan menyelesaikan masalah.

Galakan dan bantuan dalam pelbagai bidang dapat menyemarakkan budaya penyelidikan ini kerana perkembangan ilmu lebih cepat dan pantas apabila ia sentiasa dibahas dan dibuat kajian demi kajian.

 

No comments:

Post a Comment