Kisah seorang selebriti yang bertukar fikiran berkaitan kerjaya peragawati menjadikan kita takjub dan puas hati. Beliau menyifatkan perubahan dirinya sebagai amat bertuah kerana dapat memperagakan pakaian hijab yang menutup seluruh badannya berbanding kerjaya sebagai model "Playboy". Transformasi ini berpunca daripada keinginan menjaga menjaga maruah diri lebih berharga daripada menjadikan orang lain seronok melihat dirinya mendedahkan sebahagian tubuh.
Selebriti yang menerima hidayah seterusnya melaksanakan tuntutan Islam sama ada di Barat atau Timur semakin kerap didedahkan. DI Youtube sahaja terdapat beberapa orang selebriti yang berubah seratus peratus penampilan mereka selepas bergelumang dalam bidang lakonan dan peragawan.
Hidayah ini bukan urusan manusia kerana manusia hanya boleh berdoa dan mengharap. Allah swt yang menentukan siapa yang Dia mahu berikan hidayah kerana hikmah-hikmah tertentu. Ada yang mendapat hidayah selepas berusaha memusnahkan al-quran, selepas bekerja keras menghasut orang ramai membenci Islam dan juga selepas mengalami suatu duagaan hidup yang besar. Dalam erti kata lain, hidayah adalah anugerah Allah swt kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu tanpa mengira keturunan, tempat atau masa.
Ada juga golongan selebriti yang berubah sehingga dipanggil ustaz atau ustazah sedangkan ilmu agama yang mereka punyai masih lagi cetek. Keadaan inilah yang menyebabkan mereka begitu teruja kerana selepas memakai serban atau bertudung, mereka bebas berbicara tentang perkara-perkara asas seperti akidah. Satu praktik terbaik kepada kelompok ini ialah mereka mendalami hal ehwal agama terlebih dahulu supaya dapat berdakwah kepada masyarakat dengan berhikmah.
Kesedaran Islam di Malaysia akan terus bertambah baik dalam kalangan artis yang lama atau yang baru. Artis-artis yang lama kebanyakannya sudah bertudung dan tidak lagi menampilkan diri dengan pakaian seksi manakala artis baru ada juga yang memilih mengenakan pakaian menutup aurat. Keadaan ini sudah pasti menjadi perhatian dalam tempoh 10 hingga 15 tahun yang akan datang kerana kita boleh mengagak bagaimana industri hiburan Malaysia dicorakkan.
Ruang untuk pelakon dan kelompok artis terlibat dalam kerjaya mereka secara serius jarang dihalang oleh kerajaan malah digalakkan melalui pelbagai geran dan insitusi pengajian tinggi. Kita mahu melihat artis yang berbakat besar dapat dilahirkan di Malaysia tetapi menjaga adab dan susila sebagai Islam.
No comments:
Post a Comment