Wednesday, December 04, 2013

Keluarga pencuri


 
 
 
Anak-anak patut dilatih berdikari dalam perniagaan
 
 
Tiga orang anak dilatih menjadi pencuri oleh kedua ibu bapa mereka ditangkap di Kuala Lumpur. Malang sungguh keluarga ini kerana terpaksa mencuri untuk hidup. Hasil curian tersebut digunakan sebagai pendapatan utama sehingga mereka mampu untuk datang dari Sabah dan menginap di hotel mewah.

Jarang sekali kita mendengar kes seperti ini kerana tentulah ibu bapa tidak sanggup melihat anak-anak mereka meringkuk dalam penjara. Dalam kes ini, ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan pernah terlibat dalam jenayah.

Kemahiran melakukan jenayah terancang melibatkan banyak faktor. Antara faktor utama ialah kepincangan keluarga khususnya keluarga yang bercerai-berai, kematian ibu atau ayah dan salah seorang pasangan (biasanya suami) pernah terlibat dalam dadah atau jenayah.

Bagi kes bercerai-berai, anak-anak membesar tanpa didikan dan kasih sayang yang sempurna untuk berhadapan dengan cabaran hidup. Umpama pepatah “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”, anak-anak ini mengikut siapa sahaja yang mereka percaya tanpa mengetahui baik buruknya. Hidup yang terbiar tanpa didikan dan asuhan lebih mudah mendorong mereka melibatkan diri dalam aktiviti jenayah.

Faktor lain ialah pendapatan keluarga yang sangat rendah, tidak tetap dan sering berhutang. Ekonomi keluarga menentukan sejauh mana sesebuah keluarga mampu mengurus keperluan hidup atau tidak. Tahap pendidikan pula berkait rapat dengan pekerjaan yang boleh dilakukan. Jika tahap pendidikan hanya sekolah rendah atau sekadar sijil tingkatan lima, tidak banyak pekerjaan yang boleh menawarkan gaji yang mencukupi. Hal ini kerana akses kepada pekerjaan ditentukan oleh kelayakan akademik seseorang. Keperluan isi rumah yang tinggi pada hari ini mendesak suami dan isteri untuk bekerja supaya keluarga mendapat makanan, minuman, tempat tinggal dan memenuhi keperluan pendidikan anak-anak.

Berdasarkan Hierarki Keperluan Maslow, keupayaan memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dapat melonjakkan sesebuah keluarga untuk memberi tumpuan kepada keperluan-keperluan lain yang dapat membawa kesejahteraan.

Penglibatan semua ahli keluarga dalam jenayah tidak boleh dijadikan trend di negara kita. Pelbagai pihak khususnya kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi korporat harus memulakan inisiatif mencegah perkara ini daripada berulang. Andainya keperluan kewangan yang menjadi pendesak kepada penglibatan aktiviti jenayah, satu mekanisme harus diwujudkan supaya kelompok sasar mendapat pekerjaan yang dapat menampung keperluan kewangan mereka. Badan-badan yang dibentuk oleh kerajaan dengan tumpuan untuk membasmi kemiskinan dan masalah keluarga mesti proaktif mengenal pasti mereka yang berpotensi berhadapan dengan masalah hidup, seterusnya memikirkan langkah-langkah intervensi supaya masyarakat kita tidak memikirkan jenayah sebagai jalan keluar daripada kesusahan hidup yang dihadapi.

No comments:

Post a Comment