Dalam kuliah Ustaz Shamsuri berkenaan menggunakan bahasa yang baik-baik ketika bercakap atau berbahas, beliau menerangkan,
“kita kalau ada lemah lembut maknanya ada tanda kebaikan yang Allah swt beri kepada kita. Yakni Allah swt kurniakan pahala daripada sifat lemah lembut tersebut.
Sopan santun kena ada. Lemah lembut kelakuan dan percakapan adalah suruhan syara’. Apabila bercakap dengan orang biarlah lemah lembut, manis tutur kata kerana ia tabiat orang yang ada bangsa dan orang yang ada kemanusiaan.
Kita bercakap ini biarlah sopan”.
Tidak kira bangsa dan agama, tempat atau warna kulit, bercakap menggunakan bahasa yang baik-baik dan tertib adalah cerminan peribadi dan jiwa yang luhur, menampakkan didikan yang cemerlang dan mengangkat maruah bangsa.
Dalam petikan ucapan Ustaz Shamsuri ini, beliau menyifatkan orang yang manis tutur kata adalah orang yang ada bangsa dan nilai kemanusiaan.
Cuba kita lihat pula bagaimana pemimpin-pemimpin pilihan rakyat di negara kita pada hari ini. Apakah mereka bercakap seperti sifat-sifat di atas atau masih mengamalkan sifat-sifat jahiliyah yang membangkitkan kemarahan dan rasa tidak puas hati seperti memanggil orang yang rendah perjawatannya sebagai kucing kurap atau memanggil seorang wanita yang berjawatan sebagai nenek rasis?
Kedua-dua gelaran ini meresahkan dan mempamerkan ciri-ciri kurang sopan.
Masyarakat Melayu lazimnya mempunyai susila yang tinggi apabila memberi teguran, nasihat dan bimbingan. Begitu juga apabila menerima teguran. Adab dan akhlak yang ditunjukkan adalah cerminan ajaran Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, rasul mulia umat akhir zaman sebagai model ikutan terbaik dalam aspek pembentukan peribadi.
Baginda saw tidak pernah membenarkan para sahabat menghina atau mengaibkan orang lain biarpun orang tersebut dijatuhkan hukuman kerana akhlaknya buruk.
Jika mengutuk dan mengeji orang yang akhlaknya buruk ditegah, apatah lagi memberi label yang buruk kepada orang yang akhlaknya diketahui sebagai baik.
Tindakan memberi label yang merendah-rendahkan kepada seseorang tidak melambangkan ketinggian budi bahasa dan sensitiviti, justeru mereka perlu diberi teguran dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.
No comments:
Post a Comment