Tuesday, December 24, 2013

Indonesia perlu dasar sosial baru






Di sebalik dakwaan kerajaan Indonesia bahawa ekonomi negara itu telah pulih dan menikmati tukaran mata wang asing yang lebih baik di samping pertumbuhan ekonomi semakin tinggi dan pengurangan defisit bajet, Indonesia masih berada pada kedudukan yang bawah dalam indikator sosial.
 
Laporan Pembangunan Manusia 2013 (Human Development Report 2013) menunjukkan indeks pembangunan Indonesia berada pada kedudukan yang ke-121, Filipina ke-114, Thailand ke-103, Malaysia ke-64 dan Brunei ke-30. Di sebalik usaha-usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dan kemiskinan, Indonesia berterusan mencari penyelesaian yang menyeluruh ke atas kedua-dua golongan itu.
 
Intipati kepada skor yang rendah dalam indeks pembangunan manusia Indonesia ialah tidak ada hubungan yang kukuh antara dasar ekonomi dan dasar sosial. Dasar-dasar kerajaan ketika ini menunjukkan dua pendekatan yang telah dan sedang digunakan untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran iaitu memberi tumpuan ke atas pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan kestabilan makro melalui dasar fiskal yang ketat serta membangunkan dasar sosial yang bersifat tampal-sulam (ad-hoc) untuk mengatasi kemiskinan melalui program jaringan keselamatan sosial. Dalam program pembasmian kemiskinan, ia masih berorientasikan projek yang memberi tumpuan kepada strategi “cium dan lari” (kiss and run) iaitu kemiskinan ditangani secara kelompok dengan lingkungan kawasan yang terbatas. Strategi seperti ini akan sentiasa gagal membasmi kemiskinan kerana konsep kemiskinan ialah ia berkait dengan sistem yang saling melengkapi iaitu sistem ekonomi, pendidikan dan jaminan sosial.
 
Dalam pendekatan pertama, dasar ekonomi menumpu kepada kaedah mengurangkan kos dalam pertumbuhan ekonomi seperti pengurusan kewangan dan perbelanjaan negara dengan cara mengurangkan subsidi dan menggalakkan penswastaan. Namun dalam program pembasmian kemiskinan, ia dilakukan secara “ad-hoc”. Di sinilah hubungan antara dasar ekonomi dan dasar sosial terputus tanpa ada hubungan ekonomi dan sosial yang kukuh. Keadaan dan situasi ekonomi kelihatan gah dan stabil tetapi gagal memberi jaminan ke atas kebajikan rakyat.
 
Terdapat tiga sebab yang menjadikan dasar ekonomi dan sosial di Indonesia tidak dapat digabung jalin. Pertama, dasar ekonomi memberi tumpuan yang terlalu banyak ke atas kestabilan kewangan tetapi mengabaikan sektor-sektor lain yang amat perlukan pelaburan. Sektor-sektor ini tidak dapat bergerak dan keadaan ini telah memandulkan peluang pekerjaan baru. Dengan kata lain, kestabilan kewangan dan pertumbuhan ekonomi yang didakwa itu tidak ada kesan gandaan (multiplier effect). Kedua, dasar-dasar yang digubal tidak menitikberatkan penglibatan institusi yang mampu mempromosi dan menggalakkan kebajikan awam dan menambah baik pembangunan manusia seperti institusi pendidikan dan kesihatan. Sikap lepas pandang dan menyisihkan institusi-institusi ini bakal memberi kesan langsung ke atas kualiti pembangunan manusia dalam jangka masa sederhana dan panjang.
 
Ketiga, terdapat persepsi dalam kalangan pembuat dasar bahawa isu-isu sosial mesti diletakkan pada kedudukan kedua atau dianggap sebagai isu sampingan. Melalui paradigma ini, dasar sosial diambil kira dan dilayan sebagai pelaburan yang tidak berkesan kerana dilihat tidak menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi jangka masa sederhana dan panjang. Kesannya ialah sektor pendidikan dan kesihatan tidak diberi keutamaan dalam merangka perbelanjaan setiap tahun. Justeru, peningkatan kadar kemiskinan tidak mendapat reaksi segera daripada kerajaan atau wakil rakyat untuk membentuk dasar sosial yang baru.
 
Menggubal dan menguatkuasa dasar sosial perlukan kemahiran teknikal dan kesedaran politik melalui pelbagai pihak yang berkepetingan khususnya wakil rakyat. Kerajaan perlu menyediakan rancangan dasar sosial yang lengkap dan menjana kesedaran terhadap dasar tersebut dalam kalangan wakil-wakil rakyat. Penekanannya ialah kepada pembangunan manusia supaya wakil wakyat menyedari kepentingannya. Membelakangi keperluan menggubal dasar sosial menyebabkan Indonesia berterusan membentuk tenaga kerja kurang mahir, akses kepada pendidikan dan kesihatan yang tidak sama rata dan meletakkan Indonesia dalam kedudukan bawah dalam indikator sosial.
 
Indonesia perlukan dasar sosial yang komprehensif dan pendekatan khusus untuk mengatasi kebajikan awam seperti sistem pendidikan yang mampu milik, akses kepada kemudahan kesihatan, penyediaan insurans kepada pekerja dalam pelbagai sektor dan penyediaan infrastruktur yang baik.
 
Bagi memastikan dasar sosial dapat dilaksana secara berkesan dan melewati semua lapisan masyarakat, ia perlu diinstitusikan untuk pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan. Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan dilaksanakan dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
 
Dasar sosial itu juga perlu seiring dengan ekonomi makro dan kebajikan awam. Perbelanjaan awam yang berhemah dapat memacu dasar fiskal yang lebih fleksibel. Di samping itu, pelaburan dalam pembangunan manusia wajar diberi keutamaan dalam peruntukan sosial (pendidikan, kesihatan, makanan dan keselamatan). Kadar tiga peratus perbelanjaan sosial ketika ini perlu ditingkatkan kepada enam peratus supaya wujud dasar sosial yang komprehensif. Melalui pendekatan ini, kadar kemiskinan dapat dikurangkan dan menjadi asas yang kukuh untuk usaha-usaha pembangunan manusia di Indonesia.

 

No comments:

Post a Comment