Kebahagiaan jadi pilihan kita untuk hidup |
Belum sempat berbual panjang tentang kematian seorang remaja perempuan yang ditemui dalam beg pakaian, kematian terbaru melibatkan seorang pegawai bank yang dibunuh dalam bank tempatnya bekerja. Paling terbaru ialah amukan seorang pemuda yang membunuh dua orang. Agaknya, esok dan lusa siapa pula yang akan menjadi mangsa?
Jenayah dilaporkan setiap hari dan memberi implikasi besar ke atas kehidupan masyarakat. Penduduk seramai 28 juta orang, Malaysia sudah berhadapan dengan pelbagai jenayah yang sewajarnya tidak boleh berlaku. Jenayah kita melibatkan pembunuhan dan kematian, gengsterisme, rogol, dadah, rompak dan menipu jutaan ringgit.
Kita harus berfikir ke arah mana pemimpin-pemimpin negara hendak membawa negara ini. Jika 15 tahun lalu jarang kita dengar kejadian begini, tetapi hari ini sudah menjadi biasa. Perompak tidak takut untuk merompak di siang hari, pencuri tidak takut untuk mencuri apa sahaja di hadapan mata dan perogol tidak takut 24 sebatan yang dikenakan ke atasnya.
Kes jenayah yang melibatkan kematian berlaku setiap hari. Suasana ini sangat membimbangkan kerana masyarakat berasa tidak selamat untuk keluar dari rumah, bekerja dan mengadakan aktiviti sosial disebabkan tidak ada jaminan keselamatan diri.
Merungkai kejadian jenayah perlukan penyelesaian menyeluruh yang bermula dari punca kepada jenayah berkenaan. Melihat kepada trend kematian yang berlaku, sebab-musabab kejadian boleh dinyatakan berpunca daripada perancangan negara yang kurang berkesan dalam aspek ekonomi, pendidikan dan sosial. ketiga-tiga faktor ini menjadi asas kepada kepincangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, jurang pendapatan dan perbezaan taraf pendidikan.
Negara-negara yang mempunyai tahap pendapatan ekonomi yang lebih tinggi kurang berhadapan dengan kejadian jenayah yang tinggi, namun pada masa yang sama, negara yang memiliki tahap pendapatan yang hampir sama dengan Malaysia juga mempamerkan kes-kes jenayah yang jauh berkurang kerana keberkesanan hukuman dan undang-undang. Arab Saudi sebagai contoh, pelaksanaan undang-undang jenayah syariah menjadikan negara itu lebih selamat dan bersedia dengan pelbagai isu jenayah.
Dari segi pendidikan, Malaysia memberi sepenuhnya galakan untuk setiap kanak-kanak belajar di peringkat awal dan peluang yang lebih luas di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Justeru melihat kepada trend jenayah dan penglibatan golongan penjenayah ini, lebih banyak usaha yang diperlukan untuk memastikan masyarakat tidak berasa takut atau bimbang semasa melangkah kaki keluar dari rumah.
No comments:
Post a Comment