oleh Sidek Baba
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan baru-baru ini memberikan penekanan tentang pentingnya setiap kanak-kanak menguasai literasi (celik ilmu) dan numerasi (celik angka).
Kemahiran asas ini adalah sangat penting bagi membolehkan disiplin ilmu yang pelbagai dikuasai secara menyeluruh dan tumpuan memperkasa kemahiran Sains dan Matematik dijadikan fokus.
Penyuburan dan pengukuhan ilmu pengetahuan dan kemahiran adalah penting bagi menyediakan murid dan pelajar yang mampu respons kepada tuntutan zaman yang pantas berubah, terutama faktor globalisasi yang sifatnya dinamik.
Dalam apa sistem pendidikan, faktor ilmu pengetahuan menjadi sesuatu yang amat utama. Kurikulum yang terbina harus sifatnya menyeluruh kerana proses pembentukan watak murid tidak saja sifatnya kognitif atau menyuburkan faktor akliah dan membolehkan murid berfikir dan menyerap ilmu dengan baik, tetapi dalam masa yang sama faktor afektif atau dalaman diri murid harus dibina sama.
Pendidikan bukan sekadar suatu proses pemindahan maklumat dan kemahiran daripada guru kepada murid, tetapi suatu proses transformasi terhadap sikap, pekerti dan watak. Ilmu yang benar dan bermanfaat membentuk akal dan hati supaya pendidikan menjadikan mereka beradab.
PPPM yang dilatari oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan ingin menjadikan murid memiliki peribadi seimbang dan harmonis. Justeru, terbinanya asas literasi dan numerasi yang baik di kalangan murid membolehkan persiapan yang baik terjadi bagi menghadapi cabaran alaf 21.
Cabaran alaf 21 memperlihatkan sifat ilmu pengetahuan yang berkembang dan cabaran membangun watak yang seimbang terjadi. Amat perlu pengajaran literasi mengenai bahasa, sejarah, geografi diberikan asas etika supaya integrasi nilai berlaku. Sifat ilmu yang sepadu tautannya ialah kepada nilai (value-laden). Nilai adalah ukur tara yang memandu murid tentang baik-buruk akan sesuatu. Tanpa nilai pengajaran dan pembelajaran menjadi mekanistik.
Hatta pengajaran numerasi juga terkait dengan etika. Konsep hasaba, hisab dan muhasabah dalam tradisi Islam umpamanya memberikan asas ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti.
Asas ini boleh menjadi pedoman kepada murid supaya penguasaan kemahiran numerasi terbina atas asas nilai. Hal yang sama terjadi kepada pengajaran sains dan teknologi.
Ia tidak saja ilmu yang mengkaji fenomena secara empiris dan uji kaji, tetapi terdapat hikmah di sebalik kajian yang dilakukan supaya sains terhubung dengan Penciptaan.
Teknologi selamanya alat bukannya matlamat. Sangat penting nilai guna dalam teknologi diajar supaya salah guna teknologi tidak berlaku. Di samping mempelajari teknologi tinggi (high-tech) akhirnya, para murid dan pelajar harus diberi kemahiran sentuhan keinsanan (high-touch) supaya teknologi itu disantuni secara manusiawi.
Proses transformasi ilmu pengetahuan harus seiring dengan asas-asas fundamental dalam pendidikan. Membangun potensi insani yang memberikan fokus kepada kekuatan akliah (kognitif), rohaniah (afektif) dan jasmaniah (psikomotor) menuntut keseimbangan terjadi.
Jika ini berlaku asas ketamadunan atau peradaban akan terjadi.
Ilmu pengetahuan yang benar dan bermanfaat memberi suluh kepada kehidupan murid. Harus ada tautan fikir dan hati supaya faktor amal menjadi lebih terarah.
Ilmu pengetahuan yang berorientasikan tamadun harus dijadikan fokus utama kerana maksud transformasi (tajdid) itu sendiri menuntut perubahan yang menyeluruh berlaku. Oleh itu pengetahuan yang diajar harus memberi kekuatan kepada murid atau pelajar untuk menghadapi cabaran terkini dan masa depan.
Dalam tradisi Islam umpamanya membangun ilmu mengurus diri yang berkaitan dengan etika dan akhlak adalah penting.
Dalam masa yang sama membangun ilmu mengurus sistem (Matematik dan Sains) adalah penting juga.
Kelemahan umat Islam kini ialah kerana produktiviti rohaniahnya relatif tinggi tetapi produktiviti amaliahnya relatif rendah. Ia menyebabkan umat Islam menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain dan tidak menjadi penyumbang kepada kekuatan umat manusia.
Oleh itu fokus kepada literasi dan numerasi harus mampu mendidik murid memiliki kekuatan ilmu pengetahuan dan pendidikan yang seimbang supaya jenis manusia yang dilahirkan mampu tidak saja menghadapi perkembangan pemikiran tetapi juga mampu menghadapi cabaran etika dan nilai yang lebih kompleks.
(Sinar Harian, 3 Oktober 2013)
No comments:
Post a Comment