Deretan gerai jualan usahawan kecil yang berpotensi maju di Pantai Serasa, Muara, Brunei |
Komuniti usahawan kecil di Brunei semakin berkembang. Kelompok muda turut menceburkan diri dalam dunia bisnes bagi memenuhi keperluan era moden khususnya penglibatan dalam teknologi maklumat atau IT.
Namun terdapat kelompok lain yang masih mencuba untuk menjual, baru berjinak-jinak dengan bisnes dan mulai tumbuh minat untuk menyesuaikan diri dengan pemikiran usahawan. Mereka muncul ketika ada majlis dan perayaan peringkat kebangsaan atau setempat seperti menyambut hari ulang tahun keputeraan sultan ataupun bazar ramadhan.
Kemudahan membuka ruang perniagaan dalam skala kecil diberi bantuan dan kemudahan oleh kerajaan Brunei seperti jualan mingguan di laluan sebelah Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. Sambutannya dilihat kurang menggalakkan kerana persekitarannya tidak menyokong pengguna untuk ke situ. Gerai-gerai jualan turut menjual barang yang boleh didapati di pasar raya seperti Hua Ho, Giant ataupun Supa Save.
Namun keadaanya jauh berbeza dengan suasana hari minggu di Pantai Serasa, Muara. Deretan kereta yang diletakkan di kiri dan kanan laluan menunjukkan ramai orang datang ke sini. Sepanjang jalan terdapat gerai yang menjual berbagai-bagai jenis barangan keperluan rumah, haiwan peliharaan, makanan dan minuman, pakaian dan aksesori kereta. Penjual terdiri daripada usahawan-usahawan segera yang ada minat menjual dan sekelompok usahawan muda yang kebanyakannya wanita dilihat agak malu-malu dengan sapaan pembeli.
Situasi ini sangat menarik kerana kehadiran bakat-bakat muda ini mampu mengubah paradigma mereka terhadap perniagaan. Dengan keberanian menggantungkan pakaian, kikik (layang-layang), menyediakan burger atau coconut shake, mereka belajar budaya bisnes yang sebenar.
Menarik pelanggan ke gerai juga perlukan persaingan justeru, ada usahawan muda yang sanggup menyediakan kain rentang dan pemidang yang kreatif sebagai permulaan ke arah keusahawanan mikro di Brunei.
Usahawan-usahawan muda ini tentu bergerak sendiri di samping galakan daripada keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan. Keberanian berniaga perlukan sokongan yang beterusan kerana sudah ramai yang kecundang dalam perniagaan kerana tidak sanggup menghadapi risiko.
Keadaan mereka ini jauh bezanya dengan peserta yang menyertai program LiveWIRE anjuran sebuah syarikat minyak. Peserta program ini dipilih dan diberi didikan yang lebih bersistematik dengan galakan yang maksimum. Keadaan usahawan muda di Pantai Serasa tentu tidak sebaik ini. Mereka perlu berfikir sendiri untuk mencari dana, memilih lokasi yang sesuai dan paling penting ialah jenis perniagaan yang diceburi. Mereka juga tidak ada pelan perniagaan kerana yang ada adalah terus saja berjual.
Justeru ada yang menjual tudung, pakaian bundle, jagung bakar, bunga dan aksesori pakaian. Melihat kepada jenis perniagaan yang dipilih, boleh diagak mereka ini memiliki modal yang sangat terhad tetapi inspirasi yang sangat hebat untuk menjadi usahawan.
Premis perniagaan yang boleh dikembangkan |
Kerajaan Brunei wajar menggunakan peluang ini untuk melatih dan membimbing usahawan-usahawan muda berdikari dan memupuk perniagaan mereka supaya berkembang. Oleh kerana kadar pengangguran yang bertamba dan ruang kerja yang terhad, program pembangunan keusahawanan khusus kepada bakat-bakat muda harus diberi perhatian. Agensi seperti Brunei Industrial Development Authority (BINA) boleh meneruskan aktiviti pembangunan usahawan dalam skala kecil yang berfokus.
Kursus dan pendedahan dalam pelbagai peringkat keusahawanan boleh diperkenalkan supaya usahawan muda ini dapat memberi tumpuan memajukan bidang perniagaan mereka daripada berfikir untuk kerja makan gaji.
Begitu juga dengan kemudahan mendapat tunai daripada agensi bantuan modal termasuk bank, koperasi dan TAIB boleh menggembling sumber membentuk usahawan muda yang kental dan dapat melebarkan sayap perniagaan ke luar negara. Kita juga ingin melihat syarikat-syarikat seperti Adinin Group of Company, Mashhor Group of Company atau NBT Brunei yang telah berjaya dalam negara dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dengan usahawan muda supaya minat dan dorongan ke arah kecemerlangan bekerja sendiri dapat disuburkan.
Polisi yang mesra usahawan muda wajar menjadi pertimbangan kerajaan Brunei sebagai satu kaedah menurunkan kadar pengangguran dan galakan bekerja sendiri. Walaupun pasaran Brunei secara relatifnya kecil, pendidikan yang berkualiti boleh menjamin perubahan paradigma golongan muda untuk memajukan pelbagai jenis industri tanpa bergantung sepenuhnya kepada minyak dan gas.
No comments:
Post a Comment