Mati- akhir sebuah kehidupan |
Tahun
baru 2012 hanya empat hari, tetapi kematian sudah hampir 20 orang. Kemalangan
jalan raya, pembunuhan, bunuh diri dan mati mengejut mewarnai minggu awal tahun ini. Harapan kita untuk melihat
suasana negara yang aman dan selamat agak kabur kerana prinsip ‘semakin maju
rakyat semakin bermasalah’ seakan menjadi realiti.
Ditambah
pula kebangkitan golongan mahasiswa yang punya kesedaran politik menuntut
kebebasan dan keadilan. Sudah lama juga kita tidak melihat senario ini dan
sekali-sekala membuatkan kita terfikir ke mana hala tuju mahasiswa dan
institusi pengajian tinggi ketika ini. Sembilan Januari ini juga menjadi medan
kepada penyerlahan politik matang di negara kita.
Apabila
kita berfikir tentang masyarakat dan negara kita, apakah asas yang hendak
diletakkan? Bangsa, agama, status sosial, kekayaan atau Satu Malaysia? Bagi
mereka yang gusar terhadap apa yang sedang berlaku dalam negara, tentulah tidak
dapat melelapkan mata kerana takut-takut ada orang yang menceroboh rumah dan
memukul anak-beranak. Bagi yang terlibat dalam bisnes, mungkin takut dipukul
kalau tidak bayar ‘wang selamat’. Bagi pelajar sekolah yang baru memulakan sesi
pengajian, buli dan pukul sesama sendiri mungkin semakin galak.
Jika
kita memikirkan masalah, jiwa dan fikiran akan tertekan kerana punca kepada
penyelesaian tidak diurus dengan betul. Kita ambil satu kes yang sering kali memeningkan
kepala pegawai dan guru iaitu ponteng kelas dan lari ikut pintu pagar.
Rata-rata sekolah di bandar malah di kampung menghadapi masalah ini. Walaupun
didirikan pagar tembok, pelajar masih dapat melompat keluar secara bersahaja
seolah-olah sekolah itu bapa mereka yang punya. Walaupun ada pengawal dan
pengawas sekolah, ia tidak memberi banyak perubahan ke atas pelajar yang memang
tidak mahu belajar dan bermasalah.
Berbeza
pula dengan sesetengah sekolah yang dibina atas dasar taqwa dan iman kepada
Allah swt. Kalau dilihat dari jauh, sekolah-sekolah ini kelihatan uzur dan daif,
kemudahan pembelajaran juga sederhana, gurunya lebih banyak berkorban daripada
mengejar wang ringgit dan tempat tinggal pelajar (jika ada) amat jauh beza daripada
sekolah bantuan kerajaan. Namun, pelajar-pelajar di sini tidak menghadapi
masalah ponteng kelas, makan dan minum sekadar menghilangkan lapar dan yang
anehnya, sekolah tidak ada pagar! Pegawai
pendidikan yang membuat lawatan juga hairan bagaimana sekolah tanpa pagar boleh
diurus dengan sempurna. Pelajar-pelajar juga tidak ingin hendak ponteng atau
lari dari kelas.
Saya
menceritakan soal sekolah ini kerana pendidikan adalah asas kepada pembentukan
sebuah masyarakat yang aman dengan persekitaran yang selamat. Pelajar yang
ponteng kelas ada hubungan dengan pencapaian akademik. Kajian yang dilakukan ke
atas pelajar UiTM Kedah oleh Norhidayah pada tahun 2009 merumuskan bahawa
pelajar yang sering kali ponteng kuliah kerap kali mendapat keputusan
peperiksaan yang merosot. Situasi ini berlaku kerana pelajar tidak dapat
melibatkan diri sepenuhnya dengan aktiviti pembelajaran.
Kenapa
ponteng kelas? Soalan ini menarik kerana soalan ini ada jawapannya. Satu
jawapan yang tegas dan kukuh ialah sikap atau sick up. Zainab (2010) telah
melihat sikap sebagai penyumbang utama kepada gejala ponteng kelas dalam
kalangan pelajar. Zainab mengkaji gejala ponteng pelajar-pelajar di kolej
komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mengesahkan betapa malas, kurang
minat mengikuti pelajaran dan keluarga yang memaksa untuk belajar menjadi punca
kepada kegagalan akademik yang bermula dengan ponteng.
Saya
melihat masalah yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada masyarakat hari ini
adalah kerana kegagalan pembuat polisi untuk mengenal pasti dengan jelas dan
tepat masalah sebenar yang sedang dihadapi oleh keluarga. Pembuat polisi tidak
boleh mengikut telunjuk ahli politik yang sentiasa ingin menjadi jaguh dan
memaksa idea mereka ke atas sistem keluarga dan pendidikan negara. Ahli politik
tidak boleh mengerahkan ibu bapa menghantar semua anak mereka ke sekolah
kebangsaan atau jenis kebangsaan semata-mata ingin melahirkan modal insan yang
berkualiti dalam kecerdasan intelektual tetapi akal dan budi di letak tepi.
Kita tidak mahu anak-anak yang mendapat 17A atau 20A tetapi apabila dihantar ke
luar negara, habis tudung ditanggal, rambut hitam bertukar perang dan tanpa
segan silu berpeluk dengan lelaki bukan muhrim. Bukan anak jenis ini yang ibu
bapa mahukan.
Masalah-masalah
yang berlaku dalam masyarakat setiap hari mesti ada sebab-musababnya. Pembuat
polisi harus mengambil kira banyak perkara untuk merancang dan melaksanakan
penambahbaikan yang terbaik.
saya sebenarnya bukan lah peminat blogger...tetapi setelah membaca topic2 yang anda bicarakn telah membantu saya utk lebih memahami masalah yang wujud dalam sesebuah negara...anda mempunyai sisi pandangan yang berbeza dari yang lain..
ReplyDeleteterima kasih kerana sudi meluangkn masa di sini dgn post2 yg menarik