Tuesday, January 03, 2012

AIM sasar salur bantuan RM2.1 bilion

Oleh Zuraidah Mohamed
Amanah Ikhtiar Malaysia telah
banyak membantu mengatasi kemiskinan
di Malaysia

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasar menyalurkan pembiayaan berjumlah RM2.1 bilion pada 2012 ini sejajar usahanya melahirkan kira-kira 100,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang 2015.

Pengarah Urusannya, Datuk Zabidah Ismail, berkata sejak penubuhannya 25 tahun lalu, sekitar 20 peratus atau 49,000 daripada 294,426 peminjam AIM telah mencapai status usahawan mikro dengan menjana pendapatan lebih RM3,500 sebulan.

Katanya, pada 2012 ini, tumpuan adalah bagi membantu usahawan mikro ini untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“AIM bukan saja bermatlamat mengeluarkan kalangan peminjam daripada kepompong kemiskinan, tetapi kami juga berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya sehingga mencapai tahap PKS.

“Inisiatif ini akan kami laksanakan secara agresif pada 2012 menerusi pelbagai program dan aktiviti keusahawanan yang berasaskan pengetahuan, kemahiran tinggi, inovasi dan pemasaran,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, AIM turut merancang untuk meningkatkan had pinjaman yang ditawarkannya susulan kejayaan program latihan keusahawanan serta pembiayaan yang diberikan kepada peminjam.

Pada masa ini, AIM menawarkan pembiayaan dari RM3,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik antara setahun hingga lima tahun, menerusi kaedah bayaran balik secara mingguan.


Zabidah berkata, setakat ini, AIM telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM6.2 bilion kepada 294,426 peminjam.

Pada 2011 saja, sekitar RM1.4 bilion disalurkan bagi pelbagai aktiviti perniagaan kecil-kecilan.

“Ketika ini, lebih 60 peratus pembiayaan disalurkan bagi sektor peruncitan, manakala 40 peratus lagi membabitkan pengeluaran produk berasaskan pertanian dan perikanan selain perkhidmatan merangkumi perniagaan seperti spa dan salun, perkhidmatan komputer, serta menjahit baju yang dijalankan secara kecil-kecilan,” katanya.

Beliau juga berkata, sudah ada di kalangan peminjam AIM yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei menerusi produk ikan pekasam walaupun mereka hanya bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan.

Dalam pada itu, katanya AIM kini dalam perancangan menubuhkan akademi usahawan bagi melatih lebih ramai golongan miskin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan, seterusnya mewujudkan usahawan berdaya saing.

Katanya, akademi berkenaan akan menyediakan latihan serta memberikan bimbingan bukan saja untuk usahawan tempatan tetapi juga dari negara di rantau Asia.

“Kami kini masih mengenalpasti lokasi sesuai bagi akademi usahawan itu kerana memerlukan kawasan yang besar bagi menjalankan pelbagai program latihan keusahawanan ini,” katanya.

Beliau juga berkata, AIM yang ketika ini beroperasi menerusi 106 cawangan di seluruh negara, merancang memperluaskan capaiannya dengan membuka tujuh cawangan baru tahun depan khususnya di lokasi luar bandar di Sabah, Sarawak, Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, AIM menyasarkan memiliki 132 cawangan menjelang 2015.


(Berita Harian, 3 Januari 2012)

No comments:

Post a Comment