Friday, January 27, 2012

Ombak cemerlang Ikhwanul Muslimin di Mesir





Kemenangan parti yang mewakili pertubuhan Ikhwanul Muslimin dalam pilihan raya di Mesir menjadi motivasi kepada kebangkitan Islam di rantau Arab dan Afrika malah Asia. Penguasaan Ikhwanul Muslimin dalam masyarakat Islam Mesir sangat kuat sehingga dipilih menjadi sebahagian daripada pencorak masa depan negara itu. 

Perjuangan Ikhwanul Muslimin telah lama. Sejak kejatuhan pemerintahan khalifah Othmaniyah di Turki, perjuangan mengembalikan maruah Islam terus dilakukan oleh Imam Hassan Al Banna bersama pemuda-pemuda Islam yang menyedari bahawa dengan dakwah dan tarbiyah, masyarakat dapat dibebaskan daripada belenggu penjajahan pemikiran dan jiwa mereka. Pemuda-pemuda pembawa risalah dakwah itu terus menyusun langkah dan memadu tenaga membebaskan Palestin dan negara-negara Islam yang dijajah.

Perjuangan pemuda-pemuda yang kental itu tidak pudar walaupun Hassan Al Banna dibunuh. Musuh-musuh beranggapan dengan memusnahkan ketua, pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang bergerak atas dasar iman dan taqwa akan hancur, namun telahan itu buka sahaja salah malah Ikhwanul Muslimin semakin mendapat sambutan di seluruh dunia. Inspirasi dan model gerakan Islam yang mencakupi dunia, akhirat, kekuatan ilmu dan minda semuanya digabungkan dalam jemaah yang digelar Ikhwanul Muslimin. 

Jatuh bangun perjuangan Ikhwanul Muslimin tidak dipatahkan oleh sikap anggota yang menikam dari belakang, tidak juga dapat diserak-beraikan oleh janji mulus pemerintah untuk memberi kuasa, sebaliknya kekuatan terus dijana dengan susunan tanzim yang kemas, melatih kader-kader baru yang berhajat kepada dakwah dan tarbiyah, mencari mad’u yang beriltizam dengan cara hidup Islam, menyeru kepada pengamalan cara hidup Islam kepada seluruh masyarakat dan menentang kezaliman dan penindasan tanpa jemu. 

Kemenangan Ikhwanul Muslimin seterusnya membentuk kerajaan yang kuat sudah diberi oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang dikasihi di Mesir. Perubahan politik yang bermula ini akan menjadi perhatian kerana terdapat kemungkinan mengalami impak ke atas negara-negara yang telah lama dicengkam kezaliman dan penindasan.


No comments:

Post a Comment