Friday, April 29, 2011

Pelbagaikan program halaqah




 

Halaqah, usrah atau circle merupakan pengukuh kepada sesebuah organisasi dakwah. Gerakan dakwah yang berjaya dan mampu berkembang menjadikan halaqah sebagai elemen paling penting dalam pembinaan kader atau pelapis organisasi. 

Salah sebuah organisasi dakwah yang menjadikan halaqah sebagai sumber kekuatan mereka adalah Ikhwan Muslimin di Mesir. Organisasi ini masih terus wujud sehingga kini dan memiliki sumber kekuatan yang menggerakkan reformasi di Mesir dan di seluruh dunia.

Halaqah amat dititikberatkan oleh pendakwah kerana di sinilah asas kepada pembinaan watak seorang pemuda Islam. Melalui aktiviti yang dirancang, pemuda dan pemudi Islam dapat memiliki peribadi Islam yang sahih, kejelasan fikiran dan kebulatan hati untuk memahami dan melaksanakan cara hidup Islam. 

Di sini juga perlakuan dan fikiran yang bercanggah dengan kefahaman Islam dibaiki supaya kehidupannya dijernihkan dalam semua aspek kehidupan.

Umumnya, aktiviti halaqah masih didominasi oleh perbincangan yang meliputi pelbagai topik seperti tafsir al-quran dan hadis, sirah para sahabat dan isu-isu semasa. Ahli halaqah terdiri daripada pelbagai lapisan pekerjaan dan latar belakang serta memiliki kemahiran khusus. Biar pun ada yang profesional, namun tahap pengetahuan dan kefahaman Islam lebih kurang sama dengan rakan-rakan yang bukan profesional dan mereka masih boleh berbincang dengan baik dan bernas.

Biasanya, kalau aktiviti halaqah yang bersifat tradisional ini dibuat, lebih ramai ahli yang boleh datang, namun jika riadah dijadikan sebagai salah satu aktiviti halaqah, tidak ramai yang dapat datang. Banyak sebab kenapa program intervensi seperti riadah kurang mendapat sambutan dalam halaqah.

Pertama, aktiviti rutin dalam halaqah telah digantikan dengan suatu yang baru dan di luar kebiasaan. Keadaan ini menjadikan ahli halaqah yang sudah biasa berbincang berasa kelainan apabila diadakan aktiviti di luar bangunan. Wujud sedikit ketidakselesaan di sini.

Kedua, bagi ahli yang telah lama tidak memanaskan badan melalui aktiviti berlari, bermain badminton dan sebagainya, riadah dirasakan agak membebankan kerana keletihan dan penat. Mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan riadah. 

Ketiga, jika ahli halaqah sudah berumur, banyak pula alasannya kerana orang yang berumur ini agak jarang melakukan aktiviti menyihatkan badan kerana ia tidak menjadi rutin harian mereka.

Pemimpin halaqah atau mas’ul wajar memikirkan kaedah yang kreatif dan dapat menerapkan unsur-unsur dakwah dalam kalangan ahli supaya perjalanan halaqah tidak statik.

 

No comments:

Post a Comment