Thursday, April 28, 2011

Jalan-jalan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011






Saya mengambil cuti untuk ‘membeli-belah’ di pesta buku yang sedang berlangsung ketika ini. Kuala Lumpur menjadi riuh-rendah dengan kelaku pelajar sekolah yang menjadi pengunjung utama. Mereka datang secara rombongan dari seluruh negara. Pesta buku tahun ini dirasakan lebih besar daripada tahun lepas kerana lebih banyak ruang pameran dibuka.

Di bahagian buku akademik, syarikat-syarikat buku yang terlibat semakin bertambah, lebih banyak buku baru ditampilkan dan saya boleh buat pilihan. Pembelian kali ini adalah untuk memenuhi kajian saya dalam bidang sains sosial iaitu dasar sosial. Isu ini lebih banyak didapati dalam bahasa Melayu berbanding Inggeris. Topik lain yang agak menonjol ialah ‘terrorist’ yang dipamerkan di bahagian ‘security’.

Ketika lalu di hadapan sebuah syarikat buku antarabangsa, saya bertanyakan katalog buku yang diterbitkan kepada seorang petugas. Selepas sahaja ditanya, salah seorang petugas memberikan saya sebuah beg kecil beserta dua katalog buku yang cantik dan padat. Nama syarikat ini ialah Thomson Reuters yang diwakili oleh Sweet & Maxwell Asia. Ejen syarikat ini ada di banyak negara.

Selepas itu saya berpindah pula ke sebuah gerai buku syarikat tempatan dan bertanyakan katalog kepada seorang petugas yang sedang menulis rekod buku-buku yang dipamerkan. Mungkin sibuk agaknya, pertanyaan saya tidak dilayan, lalu saya pun beredar. Gerai-gerai buku yang seterusnya tidak lokek dengan layanan dan sedia menghulurkan katalog buku masing-masing.

Saya bertanyakan katalog kerana hendak memilih buku yang sesuai dan dimajukan kepada perpustakaan supaya dapat dibuat pemilihan. Ada buku-buku ini yang sesuai dijadikan rujukan pelajar dalam bidang sains sosial.

Harga buku yang dijual amat menarik kerana kadar diskaun yang agak besar. Ada yang memberi diskaun sehingga 50 peratus. Diskaun 10, 15 dan 20 peratus adalah biasa. Ada juga buku yang berharga 50 sen, tapi untuk kanak-kanak. Jarang kita dapat beli buku bacaan dengan harga 50 sen sekarang ini.

Di aras bawah, berhadapan pintu masuk PWTC, gerai menjual buku kanak-kanak, buku agama dan kaedah pengajaran kepada kanak-kanak dikumpulkan. Saya terserempak dengan rakan lama yang menjual buku di Puduraya. Syarikatnya ialah Sarjana Media. Rupa-rupanya syarikat ini semakin besar dan ada karisma. Di Puduraya, gerainya menjual kaset dan cakera padat al-quran dan ceramah agama, kini dibesarkan lagi dengan dua cawangan. Satu di Carrefour Wangsa Maju, satu lagi di Carrefour Kota Damansara. Konsep perniagaan syarikat ini ialah sebagai penerbit, pengedar dan pemborong (3P). Bisnes mereka adalah buku, poster, CD, MP3 dan kaset.

Sehari di pesta buku pada tahun ini terasa lebih seronok dan meriah kerana dua perkara. Pertama, banyak buku bahasa Melayu yang telah diterbitkan dan menjadi pilihan ramai. Kedua, kesedaran terhadap ilmu semakin tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia, justeru banyak syarikat buku yang muncul setiap kali pesta buku diadakan.

Insya Allah, tahun hadapan saya akan datang lagi.


 

No comments:

Post a Comment