Dalam masa seminggu ini saya membuat pemantauan ke atas portal berita utama dunia seperti Reuters, CNN, Al-Jazera dan BBC untuk mendapat liputan berkaitan perkahwinan diraja Britain. Tumpuan masyarakat dunia ke atas perkahwinan ini menarik minat banyak pihak daripada perspektif masing-masing. Contohnya, butik pengantin akan melihat pakaian mempelai, pengurus majlis akan melihat atur cara yang disusun manakala pasukan keselamatan belajar tentang langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh Scotland Yard. Pendek kata, majlis tersebut banyak mengundang tarikan agensi kerajaan dan swasta, syarikat korporat dan individu untuk mempelajari sesuatu. Semua tahu, majlis perkahwinan itu telah selamat dilaksanakan dan semua pihak berpuas hati.
Tidak ada ancaman bermakna langkah-langkah keselamatan telah berjaya. Ia berakhir dan menjadi kenangan seumur pasangan diraja itu.
Pengumuman presiden Amerika Syarikat tentang kematian Osama ben Laden memadam sedikit berita kemeriahan perkahwinan di Britain. Yahoo! memaparkan berita terkini berwarna jingga berkaitan pengumuman berkenaan dari Reuters dan kebanyakan media menyiarkan kejayaan pasukan komando Amerika selepas itu. Tidak ada gambar Osama ditembak sebaliknya gambarnya yang diubah suai dari Internet. Barack Obama berjanji akan menyiarkan gambar-gambar ketika operasi pembunuhan dilakukan sedikit masa lagi.
Masyarakat Amerika Syarikat menyambut berita tersebut dengan pesta di sebalik ketakutan pasukan keselamatan di seluruh dunia terhadap ancaman serangan balas kumpulan Al-Qaeda. Pemimpin-pemimpin dunia turut bergembira di atas pembunuhan tersebut termasuk pemimpin negara-negara Islam. Bagi mereka, ancaman keganasan telah berakhir dan dunia kembali aman.
Banyak kali Amerika Syarikat menggunakan propaganda untuk memaklumkan kejayaan membunuh musuh-musuhnya. Saddam Hussein, Hosni Mubarak dan terkini, Muamar Ghadafi dijadikan sasaran untuk kepentingan politik dan ekonomi pemimpin-pemimpin negara itu. Siapa sahaja yang tidak sehaluan dengan polisi luar negara itu akan dimasukkan dalam senarai musuh. Satu-satunya negara dan pemimpin yang bebas ialah Israel dan rakyat Yahudi. Semakin hari semakin payah bagi rakyat Palestin untuk hidup kerana Amerika Syarikat tidak pernah ‘menjentik’ apa-apa tindakan yang dilakukan oleh negara Yahudi itu ke atas orang Palestin.
Propaganda kematian Osama ben Laden menjadi isu utama hari ini. Berita kematian ketua Al-Qaeda itu beberapa kali disiarkan namun kali ini adalah paling meluas. Kenapakah begitu mudah Osama dijejak dan ditembak sedangkan selama sepuluh tahun, beliau tidak diketahui kedudukannya dengan tepat? Penggunaan teknologi moden juga tidak dapat memberi bantuan sehingga proses memburu terpaksa mengambil masa yang lama. Adalah lebih baik bagi Amerika Syarikat mengebom rumah yang dikatakan sebagai tempat sembunyian Osama daripada menyerang dengan pasukan komando kerana Osama sentiasa di kelilingi orang-orangnya. Progapanda Amerika di sini ialah menaikkan nama pasukan komando marin yang terlibat dalam serangan itu.
Gambar keadaan bilik dan katil Osama juga menimbulkan tanda tanya kerana sebagai pejuang, Osama boleh tidur di mana-mana saja hatta dalam gua. Mati di bilik tidur dengan tilam yang empuk bukannya kematian seorang pejuang yang mempunyai pengikut di seluruh dunia.Andai kata kediaman Osama dibom atau diletupkan dalam gua adalah lebih realistik dan boleh dipercayai. Amerika Syarikat boleh memusnahkan sasaran walaupun di dalam gua kerana mereka memiliki kepakaran dan senjata yang hebat. Peri kemanusiaan askar-askarnya juga sangat kurang kerana dilatih untuk membunuh tanpa belas ihsan terhadap musuh.
Kematian Osama dan kejayaan pasukan komando Amerika Syarikat mungkin menjadi agenda politik presiden negara itu yang baru-baru ini dikatakan bakal menerima saingan daripada Republikan. Di samping itu, isu kontroversi kelahirannya turut memberi imej yang salah. Bagi menaikkan imej dan reputasi Obama, dia perlukan lakukan sesuatu di peringkat global supaya dapat dilihat sebagai seorang hero dan wajar dipilih semula.
Kita menunggu dengan penuh minat perkembangan seterusnya kerana ramai yang berpendapat membunuh Obama ben Laden bukannya mudah lagi pun beliau sanggup mati daripada ditembak oleh peluru Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.
No comments:
Post a Comment