Video seks
Peranan ‘Datuk T’ ketika mendedahkan video seks yang dikatakan ada kaitan dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat menarik minat ramai pihak. Pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, kakitangan awam dan swasta, ibu bapa, makcik-makcik dan sesiapa saja kini boeh melihat sendiri apa yang dimaksudkan dengan video lucah. Peranan penjual video haram di Petaling Street kini diambil alih oleh akhbar harian yang tanpa segan silu memaparkan aksi-aksi lucah dan terlampau. Ada akhbar yang menunjukkan adegan tidak sepatutnya diketahui sebahagian masyarakat khususnya pelajar sekolah dan kanak-kanak. Di mana hendak simpan muka depan akhbar ini di dalam rumah, di perpustakaan sekolah atau di pusat jagaan kanak-kanak?
Dalam kes Datuk T, mereka bertiga ini yang didedahkan identitinya bertindak menayang video seks kepada wartawan, seterusnya sebahagian klip video berkenaan dimuat naik ke laman YouTube dan telah tersebar dalam kalangan orang awam. Pihak berkuasa dilihat berlepas tangan apabila tidak mengambil sebarang tindakan yang dapat mencegah penyebaran video ini. Orang yang diugut pula ialah orang awam yang hanya mendapat salinan video berkenaan daripada Internet. Manakala Datuk T bebas dan bersenang-lenang tanpa sebarang dakwaan.
Masyarakat ingin melihat adanya keadilan dalam isu ini dan keadilan tersebut dilaksanakan tanpa memilih bulu. Penyebar video berkenaan mesti didakwa supaya masyarakat berpuas hati dengan peranan pihak berkuasa. Lembutnya pihak berkuasa menangani Datuk T adalah sama dengan lembutnya tindakan mereka ke atas orang-orang yang ada pengaruh dalam politik. Hari demi hari kita memerhati situasi ini tanpa dapat membuat apa-apa kerana perasaan takut telah menyelubungi hati masyarakat.
Datuk T dan media pro kerajaan Barisan Nasional berterusan menyiarkan isu ini sehingga naik muak untuk masyarakat awam mendengarnya. Ada sesetengahnya sudah mula menyampah dan membuat analisis sendiri. Sebaik sahaj video seks itu didedahkan kepada wartawan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat penafian, diikuti rakannya Datuk Johari dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah menafikan penglibatan ketua pembangkang itu. Pendedahan ini sangat bertepatan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak. Kira-kira mudah ialah video seks berkenaan adalah untuk pilihan raya di Sarawak.
Apakah orang di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah terpengaruh dengan bahan politik tidak bermoral ini?
Bagi yang masak dan faham dengan politik, mereka dapat membuat congakan yang cepat. Bagi yag bergantung kepada Utusan Malaysia, blog pro kerajaan atau media Barisan Nasional, video berkenaan adalah benar dan tidak boleh disangkal lagi. Kita perlu lihat juga laman web lain yang menyiarkan maklumat lebih neutral dan merangsang minda berfikir. Antaranya Malaysiakini, Harakahdaily ataupun Sinar Harian. Kajian awal ke atas pandangan pelajar IPT ke atas politik semasa menunjukkan golongan itu ada tahap kesedaran yang baik. Tidak ramai yang setuju dengan dasar kerajaan Barisan Nasional sebaliknya mereka mahukan perubahan yang lebih baik khususnya berkaitan pembelajaran. Bayangkan lebih separuh responden cenderung pada Pakatan Rakyat, sepuluh tahun yang akan datang Barisan Nasional akan menjadi pembangkang.
Kastam
Kematian Ahmad Sarbini Mohamed, Penolong Pengarah Kastam Selangor di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat mengejutkan kerana inilah kali kedua kes kematian berlaku di SPRM. Mangsa memiliki sebuah keluarga yang tidak bermasalah, anak yang sedang meningkat umur dan kerja yang selesa. Namun, kenapa beliau mati di SPRM?
Seorang rakan yang menghampiri usia 70-an tiba-tibamuncul di pintu pejabat dan menyatakan kekesalan ke atas kematian Ahmad Sarbini. Baginya, tidak mungkin dia membunuh diri kerana latar belakang kerjaya dan keluarga yang baik. Tidak perlu baginya untuk mati dengan cara begitu. Lalu saya katakan mangsa telah mengalami tekanan dan panik apabila dipanggil ke SPRM. Namun, apa gunanya mangsa datang secara sukarela ke SPRM pada awal pagi untuk membuat perubahan pada kenyataan awalnya sebelum itu? Tentulah tahap mentalnya ketika itu berada dalam keadaan baik, waras dan boleh berhadapan dengan tekanan.
Walaupun rakan saya ini kurang setuju dengan anggapan mangsa membunuh diri, kita biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana kehilangan RM108 juta adalah serius. Tanpa penyelewengan, kerajaan dapat menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik dan rakyat akan mendapat manfaatnya. Agensi penguatkuasa seperti kastam perlu memastikan anggotanya bebas daripada rasuah kerana 62 orang kakitangannya yang ditahan akibat rasuah amat memalukan. Bagaimanapun kita serahkan kepada kebijaksanaan pengurusan kastam untuk mengembalikan keyakinan orang ramai kepada jabatan itu.
No comments:
Post a Comment