Sunday, April 24, 2011

Mencerna peranan akademik dalam pembangunan sosial






Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Majlis Profesor Negara baru-baru ini menganjurkan ‘Wacana Kepemimpinan Perdana Pembangunan Sosial’ di Melaka dengan tujuan mencetuskan diskusi dinamik betapa pentingnya peranan kepemimpinan akademik terhadap pembangunan komuniti. Tokoh yang dijemput untuk mengupas isu ini ialah Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang telah menghuraikan beberapa isu pokok dalam pembangunan sosial di Malaysia. Para peserta terdiri dari ahli akademik institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pelbagai bidang yang ada sangkut –paut dengan peranan mereka. Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid turut hadir dan memberi ucapan.

Wacana ini adalah program pertama yang bersifat ilmiah bagi MPN di samping pertemuan-pertemuan lain. Dalam kata alu-aluan Pengerusi MPN, beliau menekankan peranan ahli akademik sangat penting kerana mereka memiliki pengetahuan, kepakaran dan profesional dalam pelbagai bidang yang tidak dimiliki oleh orang lain. Beliau juga yakin idea dan buah fikiran intelektual mampu menyumbang kepada pembentukan sebuah negara Malaysia yang sejahtera dan makmur.

Kecemerlangan masyarakat adalah tanggungjawab semua pihak. Melalui wacana ini, kefahaman terhadap peranan ahli akademik dalam pembangunan masyarakat dapat diperjelaskan. Cetusan idea dan pembentukan paradigma pemikiran baru telah dilontarkan oleh Saifuddin kususnya terhadap pembangunan komuniti.

Dalam konteks kepemimpinan akademik, kelebihan yang paling besar dalam usaha membujuk khalayak yang dipimpin wujud dalam bentuk ilmu dan kepakaran yang dimiliki. Kelebihan ini memberikan kredibiliti kepada seseorang pemimpin akademik untuk sentiasa kehadapan bagi mengeluarkan pandangan dan buah fikiran yang mampu memberi idea-idea baru. Namun begitu, hakikat yang harus disedari ialah dunia akademik merupakan rakan akrab kepada dunia realiti. Akademik sangat berkait rapat dengan kehidupan realiti kerana segala ilmu yang digali adalah berpandukan kepada pemerhatian dan kajian terhadap fenomena yang berlaku dalam dunia realiti. Jadi, seharusnya semua dapatan yang diperoleh dapat dikongsi bersama dengan khalayak yang lebih luas, bukannya hanya terhad kepada khalayak akademik semata-mata.

Usaha untuk merentaskan kepemimpinan akademik ini ke dunia realiti menjadi satu kewajipan yang dilakukan secara serius kerana ia mampu mencetuskan pembaharuan bahkan terkadang sebagai pemangkin kepada satu revolusi besar yang menyebabkan perubahan dalam masyarakat. Dengan pendekatan sinergi yang bersifat teori dan praktikal, kemajuan masyarakat yang diidamkan, insya Alah akan tercapai. Ia juga dapat menyumbang ke arah transformasi negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang didokong oleh ilmu.

Justeru, wacana seperti ini amat wajar direncana dan dilaksanakan dengan mengenal pasti bagaimana perentasan pemikiran akademik ke dunia realiti dapat dilakuan dengan jayanya. Usaha ini perlu bermula dari sekarang kerana perubahan di peringkat global ketika ini tidak menunggu kita.


 

No comments:

Post a Comment