Friday, April 22, 2011

Kematangan media dan hubungan etnik di Malaysia






Selepas merdeka pada tahun 1957, rakyat Malaysia masih mengekalkan identiti mereka dengan pengenalan diri berdasarkan etnik. Kaum Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban menghiasi sebahagian besar borang di sektor awam dan swasta. Istilah bumiputera dan bukan bumiputera menjadi perdebatan umum khususnya dalam kelompok media alternatif bagi menentukan siapa yang lebih dominan. Pemerhatian Ong Puay Liu (2009) ke atas ruangan ‘Letter to Editor’ berkenaan topik hak istimewa Melayu/bumiputera dari Mei 2001 hingga Julai 2004 mendapati sebanyak 152 ulasan dikemukakan dalam topik ini. Ulasan berkenaan dibahagikan kepada tiga iaitu bersetuju, tidak bersetuju dan tidak kisah. Di akhir perdebatan, tidak ada apa-apa yang berlaku kerana rasa tidak puas hati yang diluahkan tidak dapat mengubah apa-apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan bagi Perkara 153.

Tidak adanya tindakan yang mengancam keselamatan masyarakat pelbagai kaum apabila membincangkan isu-isu sensitif seperti ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin matang dalam mengetengahkan idea mereka. Shamsul Amri (2008) menyifatkan keganasan bukannya pilihan rakyat Malaysia untuk menyelesaikan masalah hubungan etnik sebaliknya memilih pendekatan berbincang dan berunding untuk mencapai persetujuan bersama. Justeru beliau menyifatkan situasi ini sebagai ‘ketegangan yang stabil’.

Mengurus hubungan etnik merupakan satu cabaran besar kepada pemimpin Malaysia kerana terdapat proses yang dinamik dalam hubungan berkenaan yang amat berkait rapat dengan corak dan aliran tertentu khususnya hubungan antara etnik. Dengan penduduk yang berjumlah 28,274,729 (Julai 2010) yang merangkumi Melayu 50.4%, Cina 23.7%, bumiputera 11%, India 7.1% dan lain-lain 7.8%, pengurusan etnik perlukan satu mekanisme khusus supaya keamanan dan kesejahteraan mereka dijaga sepenuhnya. Justeru, menguruskan hubungan etnik merupakan satu cabaran besar kepada pemimpin Malaysia supaya kestabilan politik akan berterusan.

Selama beberapa tahun, model pengurusan multietnik yang dilaksanakan Malaysia telah membuktikan bahawa masyarakat yang berbeza budaya dan asal-usul oleh hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni (Asma Abdullah dan Pederson, 2003). Melainkan 13 Mei 1969, kehidupan masyarakat Malaysia tidak pernah diselubungi pertembungan etnik berdarah kerana kerajaan bersama pihak swasta telah mengambil pendekatan berkesan ke arah mencapai integrasi nasional di semua peringkat. Nazaruddin Hj Mohd Jali et al., (2003) menyatakan tujuh cara yang diambil sebagai pendekatan untuk integrasi nasional tersebut iaitu pendidikan formal, aktiviti kokurikulum, pendidikan berterusan, kumpulan sosial, aktiviti-aktiviti sosial, pelancongan dalam negara dan media massa.

Kejayaan Malaysia menguruskan hubungan etnik telah mengundang perhatian orang luar untuk mengetahui formula pengurusan etnik ini. Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie berkata beliau kagum dengan konsep rumah terbuka yang diamalkan oleh masyarakat Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak ketika musim perayaan. Beliau membandingkan keadaan masyarakat Jepun dan Malaysia yang jauh berbeza. Masyarakat Jepun yang bersifat homogen disifatkannya kurang kaya dengan budaya, tradisi dan bahasa berbanding masyarakat Malaysia.

‘Unlike Japan which too homogeneous, where its people share the same culture, tradition and language, Malaysia is unique in many ways’.

Kewujudan masyarakat multietnik telah mula mendapat pengiktirafan masyarakat Eropah melalui pemberian definisi baru ke atas maksud ‘masyarakat moden’. Pada awal abad ke-21 ini, kepelbagaian masyarakat dan budaya telah menjadi takrifan standard tentang masyarakat moden yang dirujuk dengan nada yang lebih positif dan memasukkan elemen kepelbagaian sosial dan budaya bagi menjelaskan inti pati masyarakat moden itu (Widestedt, 2005).


Sejarah Perkembangan Media di Malaysia

Penjajahan menjadikan Malaysia lebih cepat membangun dan berkembang dalam semua sektor. Penglibatan British dalam penerbitan surat khabar bermula dengan memperkenalkan The Government Gazatte di Pulau Pinang pada tahun 1806. Seterusnya Singapore Free Press pada 1825 dan Malacca Observer pada 1826. Penerbitan ketiga-tiga akhbar ini di Negeri-Negeri Selat menunjukkan pengaruh dan dominasi British yang menjangkaui penyebaran maklumat dan keinginan British untuk menguatkan pengaruh mereka di Semenanjung Tanah Melayu.

Akhbar berbahasa Melayu diterbitkan selepas 70 tahun akhbar berbahasa Inggeris, itupun dalam tulisan Jawi yang diberi nama Jawi Peranakan dan diterbitkan di Singapura pada tahun 1876. Jangka hayat akhbar ini tidak lama kerana 19 tahun selepas itu, ia dihentikan. Bagi akhbar Cina, penerbitan awalnya adalah dalam bentuk majalah bercorak agama iaitu The Chinese Monthly Magazine. Akhbar-akhbar bahasa Cina yang lain ialah The Universal Gazette, Lat Pau dan The Penang Sin Poe. Didapati isu-isu yang diberi perhatian oleh akhbar Cina ialah perkembangan politik yang berlaku di Tanah Besar China berbanding isu-isu tempatan (Tang Eng Tek, 1988). Akhbar-akhbar berbahasa Tamil telah diterbitkan sejak 1875 yang menyentuh isu-isu kebajikan masyarakat India di samping isu-isu di negara India. Antara akhbar ini ialah Singai Warthamani, Ulaga Nesan, Singai Nesan dan Hindu Nesan (Krishnan Maniam, 1988).

Penerbitan akhbar di peringkat awal hingga selepas merdeka menyaksikan pelbagai sebab kenapa ia diterbitkan. Antaranya ialah memberi fokus kepada perkembangan masyarakat etnik masing-masing, isu nasionalisme dan keagamaan. Bagaimanapun perkembangan semasa khususnya dalam era globalisasi telah memberi perubahan besar kepada corak laporan dan fungsi akhbar dan media. Pengenalan Internet telah menyusun semula corak penyampaian maklumat kepada masyarakat yang menyaksikan kemunculan media alternatif yang pantas mendapat sambutan. Selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah pencegahan supaya punca kepada rusuhan berkenaan tidak akan berulang pada masa depan. Di samping memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang berperanan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, polisi pendidikan dan peranan media massa dilihat kembali dengan teliti bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu. Kepesatan perkembangan akhbar di Malaysia dapat dilihat dengan kehadiran empat aliran bahasa yang diterbitkan seluruh negara.

Isu-Isu Media dan Hubungan Etnik

Media di Malaysia berhadapan dengan kepelbagaian etnik yang setiap satunya mempunyai keperluan dan aspirasi sendiri. Ia tiak dapat dielakkan kerana media massa akan mempengarui bagaimana orang ramai membuat persepsi mereka, memahami dan membuat pandangan terhadap realiti dan dunia tempat mereka hidup (Baran, 2004). Cabaran ini semakin besar apabila penduduk bandar meningkat kepada 70 peratus dan pengguna Internet meningkat pada 15.355 juta (2009).

Masa hadapan Malaysia sedang bergerak ke arah modenisasi yang perlahan-lahan mengubah lanskap kehidupan masyarakat berbilang etnik. Proses modenisasi telah memandu kehidupan dan gaya hidup masyarakat untuk mengenali cara hidup etnik yang berbeza-beza ini. Kelompok miskin di luar bandar secara beransur-ansur mula keluar daripada lingkaran kemunduran dan kemiskinan ke arah persaingan yang lebih terbuka apabila pembangunan mulai mendekatkan diri dengan kawasan tanah terbiar, kawasan kebun dan ladang.

Kesedaran terhadap keperluan memahami dan mengambil kira kehadiran etnik-etnik lain telah memberi idea kepada kerajaan Malaysia untuk mengadakan program yang dapat mengeratkan perpaduan etnik ini. Justeru setiap kali musim perayaan, berita di muka hadapan akhbar dan televisyen akan memaparkan wajah-wajah pelbagai etnik sedang meraikan perayaan masing-masing. Beberapa tahun yang lepas, kerajaan mula menjadikan sambutan perayaan sebagai acara penting peringkat kebangsaan. Ketika ini, perdana menteri atau menteri besar bergilir-gilir menghadiri majlis makan dan persembahan sebagai sebahagian daripada usaha-usaha perpaduan. Walaupun di peringkat awal program seperti ini kurang mendapat sambutan di samping larangan daripada tokoh-tokoh agama, konsep penganjuran telah diubah suai dan menepati kehendak syarak. Kini, sambutan perayaan hanya dihadkan kepada elemen perpaduan tanpa ada lagi unsur-unsur pemujaan sesuatu agama. Sambutan perayaan setiap etnik di Malaysia diberi liputan meluas sebagai strategi untuk merapatkan hubungan etnik. Biasanya berita majlis sambutan dan pertemuan pemimpin disertakan gambar di muka hadapan akhbar dan berita utama bagi mempengaruhi pembaca dan penonton untuk menilai keakraban hubungan pemimpin pelbagai etnik ini.

Kesungguhan kerajaan Malaysia untuk membina kefahaman dipanjangkan lagi apabila menyambut Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia pada 14 Februari 2011 (The Star, 14 Februari 2011). Perdana Menteri, Najib Tun Razak berkata perbezaan agama di Malaysia tidak dapat menghalang rakyat daripada kenal-mengenal di antara satu sama lain. Beliau mencadangkan Pergerakan Kesederhanaan Sedunia dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2010 sebagai refleksi kepada kejayaan Malaysia menguruskan hubungan etnik. Berita ini menjadi tajuk muka depan yang dilaporkan dalam surat khabar dan media elektronik.

Walaupun media memaparkan ‘senyum dan tawa’ pemimpin-pemimpin ini, keadaan mesra tersebut tidak menghalang rakyat daripada memikirkan isu-isu hubungan etnik yang kadangkala tegang kerana melibatkan masalah-masalah besar yang berkait dengan agama dan politik. Dalam pengamatan Sankar (2010) berkenaan kaitan di antara etnik dan media, beliau mengelompokkan empat masalah yang dikenal pasti iaitu agama, hak istimewa Melayu, sengketa politik dan peluang-peluang persamaan. Kajian ini mendapati isu-isu yang dibincangkan adalah sensitif dan terbuka, namun ia bebas disiarkan oleh media. Contohnya, isu agama yang melibatkan mahkamah syariah, perkahwinan, murtad dan tuntutan jenazah mualaf yang disiarkan secara telus. Salah satu isu yang menjadi perdebatan ialah tuntutan jenazah mualaf yang meninggal dunia tanpa mengisytiharkan keislamannya secara rasmi. Dalam tajuk ‘Syariah court declares deceased a Muslim’ oleh New Straits Times pada 5 Julai 2008, Mahkamah Syariah Parit Buntar telah mengisytiharkan Elangesvaran Benedict adalah seorang muslim biarpun isu berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Tinggi. Elangesvaran, 34, mati kerana membunuh diri pada 22 Jun 2008 dan jenazahnya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat. Bagaimanapun keluarganya dimaklumkan tuntutan jenazah tidak boleh dilakukan kerana Elangesvaran adalah seorang muslim.

Kes lain ialah laporan media ke atas tuntutan jenazah Mohan Singh, 41 yang dikatakan telah menjadi muslim sejak 17 tahun lalu. Beliau meninggal dunia pada 25 Mei 2009 kerana serangan jantung. Keluarga Mohan Singh dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) masing-masing menuntut jenazah berkenaan menyebabkan isu tersebut dibawa ke Mahkamah Tinggi. Keputusan mahkamah berkenaan telah memihak kepada MAIS selepas menerima kesahihan butir-butir pengislaman Mohan Singh. Begitu juga kes berkaitan Maniam ‘Everest’ Moorthy yang meninggal dunia pada 2005. Beliau diisytiharkan Islam dan dikebumikan sebagai muslim. Banyak lagi kes tertunggak yang melibatkan isu agama dilaporkan secara terbuka oleh media tanpa ada konflik yang serius. Bagaimanapun riak-riak tidak puas hati sentiasa wujud namun dapat dihadapi dengan bijak oleh pihak kerajaan sendiri melalui pelbagai mekanisme yang dapat meredakan kegelisahan etnik. Antaranya ialah pengumuman perdana menteri yang menyatakan kanak-kanak di bawah umur tidak boleh lagi ditukar agama sebelum mendapat kebenaran ibu bapa.

Selain daripada isu agama, kedudukan etnik dalam sektor pekerjaan, hak istimewa dan peluang-peluang pekerjaan, berita berkenaan pencapaian ekonomi, masalah sosial dan pendidikan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dapat diurus dengan baik oleh media. Satu sebab yang kuat kenapa media tidak dapat membangkitkan sentimen etnik adalah kerana kawalan media oleh kerajaan melalui akta dan undang-undang yang ketat. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana masyarakat pelbagai etnik mudah terdedah kepada hasutan dan menimbulkan kekacauan. Oleh kerana keadaan masyarakat yang pelbagai etnik, teknik pelaporan yang digunakan oleh media massa adalah lebih khusus kerana mengambil kira sensitiviti etnik (Lent, 1990). Malah, kajian yang dilakukan oleh Junaidi (2009) ke atas media massa di Malaysia mendapati surat khabar negara ini cenderung mengiktiraf pentingnya penerapan multikulturisme dalam pemberitaan. Cenderung menyampaikan mesej bersifat neutral dan ada citra positif. Akhbar juga didapati menunjukkan kecenderungan menyokong multikulturisme melalui informasi dan pandangan yang disiarkan. Justeru keganasan yang bersifat politik dan agama sangat kurang walaupun media memberi keutamaan dalam beberapa isu berkenaan. Keadaannya berbeza dengan negara yang memiliki masyarakat multietnik seperti Sri Lanka, Fiji atau Pakistan.

Peranan Media Memupuk Perpaduan

Jumlah penduduk Malaysia dijangka bertambah sehingga 43 juta orang pada tahun 2050. Bilangan ini diunjurkan sebagai persediaan kerajaan merancang dan melaksanakan dasar yang memberi faedah kepada semua kaum yang bersama-sama hidup dalam negara merdeka. Dijangkakan jumlah pekerja asing sangat tinggi ketika itu dan bakal mengubah sosioekonomi dan sosiobudaya masyarakat. Bilangan kaum Cina dan India akan menurun pada tahun 2025 dan memberi implikasi besar kepada kuasa politik dan ekonomi golongan itu (Tey Nai Peng, 2007).

Pertambahan penduduk yang tidak seimbang ini mengundang tanggungjawab media untuk mempastikan kelompok minoriti mendapat hak dan akses hidup yang lebih baik kerana senario hubungan etnik di Malaysia pada masa hadapan sentiasa menjadi isu dan perhatian. Bagi negara yang berhadapan dengan hubungan etnik yang tegang seperti Palestin-Israel, Bosnia-Herzegovina dan Rwanda, peperangan adalah jalan keluar kepada rasa benci dan meluat di antara etnik. Selepas berperang, perjanjian yang dipersetujui telah mengubah keadaan hidup dan corak berfikir masyarakat. Kaedah konvensional maklumat melalui akhbar akan bertukar secara perlahan-lahan ke bentuk atas talian (online) kerana jumlah pengguna Internet di Malaysia lebih 15 juta dan kadar penembusan hampir 60 peratus.

Pengaruh media baru sebagai sumber maklumat di Malaysia semakin berkembang dan mula menunjukkan perubahan yang ketara ke atas cara gaya berfikir masyarakat. Internet dan media digital memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk membina jaringan komunikasi antara satu sama lain, merentas kelas sosial, agama dan budaya. Teknologi maklumat dan komunikasi mempunyai potensi yang kuat untuk mengubah dan memperkasakan pendidikan, perdagangan, bisnes, kerajaan elektronik dan wanita, justeru implikasinya ke atas institusi asas seperti keluarga, gender, ekonomi dan masyarakat awam adalah serius (Ramli dan Adnan, 2006).

Media harus sentiasa bersandarkan kepada spirit Perlembagaan Persekutuan sebagai pembimbing kepada laporan berita mereka supaya konsep asas perpaduan iaitu kontrak sosial terus dipelihara. Salah seorang pakar dalam hal ehwal Asia, Corrado Letta berkata, banyak perkara yang boleh dipelajari negara-negara Eropah tentang kontrak sosial yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia. Beliau menjelaskan beberapa perkara penting yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik berbanding 50 tahun yang lalu. Dalam ‘Malaysia-Europe: Strategic Partnerships for the Pacific Century’, Corrado melihat kontrak sosial merujuk pada quid pro quo iaitu timbal balas yang dimuatkan pada Perkara 14 hingga 18 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi taraf kewarganegaraan kepada bukan Melayu dan Perkara 153 yang mempastikan hak-hak istimewa Melayu diwujud dan dilaksanakan. Selepas 50 tahun, Perlembagaan yang berasaskan kontrak sosial telah menjanjikan persamaan hak kepada semua warganegara tanpa mengira etnik dan agama.

Pada April 2005, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Media Asia telah berkata;

‘Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana kontrak sosial mempastikan keamanan dan kestabilan selama 50 tahun. Perkara paling penting dalam kontrak ini ialah persetujuan penduduk bumiputera menerima kewarganegaraan imigran China dan India. Kedua-dua kelompok ini boleh berada dalam jemaah menteri dan majlis mesyuarat negeri. Sebagai imbalan, komuniti imigran berkenaan bersedia dengan keistimewaan ekonomi kepada
golongan bumiputera.’
Kedua-dua media elektronik dan cetak memainkan peranan penting di negara ini bagi membina kesedaran dan galakan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum. Maklumat yang disebarkan melalui media massa boleh memberi mesej perpaduan kerana nilai-nilai perpaduan ini boleh dibentuk dalam rancangan terbitan televisyen atau radio di samping paparan artikel di akhbar.

Kajian yang dilakukan oleh Md Salleh Hj Hassan et al., (2009) ke atas keberkesanan media massa dalam memupuk dan memperkukuh perpaduan negara dan integrasi nasional memperlihatkan pengaruh media massa ke atas nilai dan sikap masyarakat terhadap perpaduan telah merumuskan bahawa media massa di Malaysia menjadi elemen yang berkesan bagi memupuk dan memperkukuh perpaduan negara dan integrasi nasional. Dapatan kajian dari Jadual 4 hingga 6 turut memperlihatkan televisyen sebagai sumber utama mesej berbanding radio dan akhbar. TV3 adalah saluran utama yang ditonton dan TV1 adalah saluran yang paling kurang ditonton. Stesen radio Era.fm adalah pilihan utama dan akhbar Utusan Malaysia pula menjadi akhbar pilihan ramai (21.1%), diikuti Berita Harian (16.0%) dan The Star (15.2%). Secara umum dapat diketahui bahawa lebih ramai penduduk Malaysia membaca akhbar berbahasa Melayu dan mesej perpaduan negara telah membawa kesan positif kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

Kejayaan pelaksanaan kontrak sosial telah mengukuhkan perpaduan rakyat sehingga ke hari ini. Ia juga memberi isyarat kepada hubungan etnik yang lebih stabil untuk memajukan ekonomi negara. Pencapaian Malaysia dalam bidang ekonomi ini memberi gambaran bahawa masyarakat pelbagai kaum boleh bersama-sama membina negara asalkan mereka bersepakat ke arah itu. Kejayaan Malaysia menjadi antara 30 negara utama perdagangan dunia juga adalah bukti kekukuhan politik sejak 50 tahun lalu.

Masyarakat Melayu dan bukan Melayu telah mengalami perubahan yang sangat ketara sejak merdeka. Dalam masyarakat Melayu, era 50-an hingga 90-an berubah kerana pendidikan yang diterima telah menjadikan mereka lebih bersedia dengan cabaran dan menerima keadaan bersaing dalam masyarakat pelbagai etnik. Keadaan yang sama turut berlaku dalam masyarakat bukan Melayu yang semakin sebati dalam masyarakat Malaysia. Aspirasi dan pengharapan masa hadapan kedua-dua masyarakat ini lebih menjurus kepada berkongsi nilai-nilai sejagat demi kemajuan negara. Berdasarkan kepada perkembangan ini, media harus melihat bahawa skop kewartawanan sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran kepelbagaian. Tahap pendidikan dan latar belakang seseorang wartawan harus berkembang dan melihat hubungan etnik ada kaitan dengan budaya. Dalam laporan hari ini, terdapat berita yang berkaitan dengan kehebatan hubungan etnik yang kurang diberi pendedahan kepada umum. Contohnya ialah keluarga pelatih India yang datang memohon maaf kepada keluarga pelatih Melayu yang terbunuh dalam pergaduhan di salah sebuah pusat Program Latihan Khidmat Negara. Berita ini dilaporkan tetapi tidak mendapat perhatian penting dan tidak menjadi tajuk utama. Oleh itu, institusi media wajar membina kekuatan baru untuk mengetengahkan isu-isu hubungan etnik melalui penyelidikan, pendidikan dan pemerhatian ke atas kepelbagaian budaya dan agama.

Dari semasa ke semasa, kisah hubungan etnik akan terus dilaporkan oleh media. Walaupun isu ini tidak menjadi topik utama akhbar, masih terdapat berita-berita yang dimuatkan untuk bacaan. Di samping berita-berita yang mengaitkan secara langsung hubungan etnik, namun terdapat laporan yang disiarkan tidak menggambarkan kecurigaan sesuatu etnik melebihi etnik yang lain seperti projek pembangunan bernilai jutaan ringgit ataupun kejayaan pasukan bolasepak menjadi juara biarpun dalam kedua-dua keadaan didominasi oleh satu etnik sahaja.

Kesimpulan

Masalah, konflik dan cabaran dalam hubungan etnik akan sentiasa wujud tanpa mengira sempadan. Andainya muncul satu lagi ‘13 Mei’, ia bukannya kesilapan yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, kontrak sosial ataupun pelbagai dasar, sebaliknya keupayaan menangani perbezaan yang hadir ketika membuat keputusan tentang hala tuju negara. Peranan akhbar semakin jeas untuk mengurangkan penolakan ke atas perbezaan yang ada, membantu mengukuhkan kepentingan politik dan ekonomi melalui kesedaran moral serta menyedari bahawa laporan media yang bersifat berat sebelah boleh mengundang konflik dan polemik etnik yang berpanjangan.

Media juga perlu jelas menunaikan peranan dan tanggungjawab terhadap negara dengan meletakkan kepentingan nasional melebihi kepentingan politik atau etnik. Kemunculan media alternatif dapat mengimbangi media arus perdana namun mesti dalam konteks yang membina keharmonian dan kematangan berfikir rakyat Malaysia. Dalam erti kata lain, media perlu mengambil tanggungjawab ke atas kesan-kesan sosial sebagai sebahagian daripada polisinya.

[Hubungi editor untuk artikel lengkap]
 
Post a Comment