Wednesday, September 23, 2009

Potong rumput

Ada di antara kita yang malas hendak memotong rumput di halaman. Barangkali kerana tidak ada masa, tidak biasa atau inginkan orang lain memotong rumput dengan kemahiran mereka. Kalau memotong sendiri mungkin ia tidak secantik tukang potong rumput.

Rakan saya di Bangi, Hanizam, meminjamkan sebuah mesin pemotong rumput kepada jiran sebelah rumah yang menganggur kerana tidak mahu bekerja. Banyak sudah tempat yang dipohon tetapi semuanya tidak berjaya. Dengan mesin potong rumput itu, dia mula memotong rumput di kawasan rumah Hanizam dan rumahnya sendiri.

Untuk membiasakan diri dengan kerja potong rumput, dia memberikan khidmat percuma kepada jiran-jiran yang ada halaman dan ingin dipotong rumput. Setelah dua bulan, timbul difikirannya untuk mengambil upah memotong tumput dari rumah ke rumah.

Peringkat awal, dia mengenakan bayaran RM15 hingga RM30 mengikut saiz kawasan. Kos ini untuk menampung minyak petol dan selebihnya untuk bisnes. Setiap hari dia akan bergerak dari rumah ke rumah, bertanyakan sesiapa yang ingin mendapatkan khidmatnya. Kadangkala dalam sehari boleh dapat 7 hingga 10 rumah. Kalau hari minggu, bisnesnya lebih baik.

Selepas setahun menjadi pemotong rumput sepenuh masa, Hanizam memberitahu, ‘Pemotong rumput kini sudah ada pekerja.’ Terkejut saya dibuatnya. Seorang yang tidak mahu bekerja, duduk di rumah dan akhirnya menjadi bos sendiri. Bisnesnya pula bukanlah susah sangat. Namun kesungguhan dan ingin berusaha sendiri menjadikannya berubah.

Dengar kata kini dia sudah membeli sebuah van second hand untuk membawa mesin pemotong rumput dan pekerjanya. Kawasan bisnes mereka juga tidak lagi di sekitar Bangi, malah menjangkau ke Sepang, Nilai dan Semenyih.

Peralatan yang diperlukan sebagai pemotong rumput sangat mudah iaitu mesin potong rumput, cermin mata keselamatan, alat ganti dan sedikit pengetahuan mengenai teknik memotong rumput di lereng bukit, kawasan rata dan mencantikkan potongan.

Rezeki pemotong rumput amatlah senang jika mahu melakukannya. Banyak kawasan yang masih dilitupi rumput hijau yang tidak diurus yang memerlukan seseorang untuk memotongnya.


Bagaimana pula pendapatan menjadi bos sendiri dalam bisnes ini? RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

Bagi melengkapkan kemahiran anda demi bisnes masa depan, alangkah baiknya jika anda dapat mempelajari teknik dalam penceriaan taman, hiasan dan perkebunan. Manalah tahu jika anda berminat, bisnes seperti ini dapat menjadi penjana wang untuk anda kelak.

No comments:

Post a Comment