Friday, September 11, 2009

Pengaruh dolar Amerika semakin goyah

oleh Azizi Othman

Unctad syor tukaran asing ikut kuasa beli selaras kadar inflasi, tahap pembangunan

Buat pertama kalinya dalam sejarah sistem ekonomi moden, kedudukan dolar Amerika sebagai mata wang perantaraan bagi perdagangan antarabangsa benar-benar goyah. Selepas sekian lama hak eksklusif dolar Amerika mendominasi sistem ekonomi dunia sukar digugat, kini ia semakin dipertikaikan. Jika sebelum ini hanya negara membangun, khususnya Malaysia lantang mempersoalkannya, gelombang menuntut perubahan semakin membesar dan terbaru, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyuarakan perkara sama.

Kejutan besar menggegarkan Washington pada Rabu lalu apabila Laporan Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pembangunan dan Perdagangan (Unctad) yang dikeluarkan di Geneva menyebut pengaruh dolar Amerika dalam perdagangan antarabangsa harus dikurangkan. Ia mencadangkan satu sistem mata wang baru diwujudkan bagi melindungi pasaran membangun daripada permainan spekulasi dalam pasaran kewangan. Unctad juga mahu negara anggota PBB berusaha ke arah penubuhan satu bank rizab sejagat sebagai pengeluar mata wang baru itu dan memantau kadar tukaran asing bagi setiap negara anggotanya.

Sejak sekian lama, Malaysia khususnya ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa perlu perdagangan antarabangsa dilakukan dengan menggunakan dolar Amerika semata-mata. Bukankah dunia berhak menentukan mata wang perantaraan dagangan mereka sendiri. Satu daripada alternatif dicadangkan Kuala Lumpur, khususnya pasca krisis kewangan serantau pada 1997/98 ialah untuk menggunakan dinar emas.

Awal tahun ini, China, India, Brazil dan Russia mencadangkan kedudukan dolar Amerika sebagai mata wang rizab kebanyakan negara, diubah. Ia berikutan krisis kewangan yang kini melanda dunia berpunca daripada keruntuhan pasaran sewa beli Amerika Syarikat. Akibatnya, China sebagai negara yang memegang rizab dolar Amerika terbesar, mendesak satu mata wang antarabangsa seperti Hak Pengeluaran Khusus (SDR) di Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) diwujudkan bagi menjamin kestabilan.

Pada sidang media selepas mengumumkan laporannya di Geneva, Pengarah Unctad, Heiner Flassbeck, berkata keadaan semasa menunjukkan wujud peluang lebih baik untuk dunia mencapai aliran kadar tukaran asing stabil berdasarkan satu rangka kerja pengurusan yang dipersetujui bersama secara pelbagai hala. Beliau yang juga pengarang bersama laporan itu berpendapat, satu inisiatif seperti institusi Bretton Woods yang melahirkan IMF serta Bank Dunia pada 1944 atau Sistem Mata Wang Eropah (EMS) adalah amat diperlukan.

Umumnya, masyarakat antarabangsa kini semakin mengakui sistem ekonomi dan kewangan Amerika Syarikat wujud serta bertahan atas dasar pinjaman tanpa had yang dinikmatinya dari seluruh dunia. Itulah sebabnya bon dalam denominasi dolar Amerika dibeli semua negara di dunia, dengan andaian ia akan membentuk sebahagian daripada rizab mereka. Namun bon terbabit tidak bersandarkan sebarang aset dan kerana itu ia boleh diterbitkan sepanjang masa dan kelihatan tidak mempunyai had tertentu.

Bagaimanapun, jika dolar Amerika tidak digunakan untuk pembayaran pinjaman dan perdagangan antarabangsa, maka tidak akan wujud permintaan terhadapnya. Sudah tentu ini akan menyebabkan nilai dolar Amerika merosot. Jika ia berlaku, kebanyakan negara di dunia yang memegang bon dalam mata wang berkenaan sebagai rizab mereka akan berdepan susut nilai mendadak. Itulah sebabnya negara yang mempunyai rizab dolar Amerika yang besar akan sedaya upaya cuba mempertahankan nilai mata wang berkenaan, walaupun ia bukan milik mereka.

Pada masa sama, Amerika Syarikat sendiri sudah tentu sanggup berbuat apa saja demi mempertahankan nilai mata wangnya. Soal sama ada tindakan itu akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi dunia kerana berada di ambang kemusnahan, tidak penting. Perkara utama bagi Washington ialah untuk memastikan dolar Amerika Syarikat kukuh. Kejatuhan nilai mata wang itu akan menjadikan negara terbabit miskin. Walaupun secara realitinya itu memang sudah lama berlaku, sokongan dunia terhadap dolar Amerika membolehkannya terus bertahan. Kebimbangan terbesar Amerika Syarikat ialah kadar kemiskinan akan menyebabkannya hilang pengaruh sebagai kuasa besar yang mampu mencaturi hala tuju dunia.

Dalam pada itu, cadangan Unctad menggunakan mekanisme SDR yang berasaskan sekelompok mata wang asing sebagai alternatif kepada dolar Amerika dalam perdagangan dunia, masih mempunyai kekurangannya sendiri. Flassbeck yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan Jerman, berpendapat ia belum cukup untuk menampung kehendak ekonomi membangun yang memerlukan kecairan. Oleh kerana ketika ini jumlah perwakilan negara membangun di IMF adalah kecil, ia tentunya mengehadkan keberkesanan mekanisme SDR. Sebagai penyelesaiannya, Unctad mencadangkan satu entiti khas diwujudkan bagi mengurus kadar tukaran asing antara negara, berdasarkan kuasa beli masing-masing yang diselaraskan dengan kadar inflasi serta pembangunan mereka.

Pendapat itu dipersetujui Profesor Ekonomi di University of California Berkeley, Barry Eichengreen yang berpendapat langkah itu boleh ditangani dengan IMF mewujudkan Kemudahan Kecairan Jangka Pendek (STLF). Pakej itu akan membolehkan negara yang mempunyai dasar kewangan ketat membuat pinjaman sehingga lima kali kuota mereka tanpa syarat. Bagaimanapun, yang mengekang keberkesanan mekanisme itu ialah proses permohonannya terlalu rumit. Sehingga ini hanya Mexico, Columbia dan Poland sanggup menghadapinya, itupun kerana terpaksa.

"Pengajaran paling berguna daripada keseluruhan krisis yang melanda dunia ketika ini ialah pasaran kewangan biasanya gagal mentafsir nilai sebenar dengan baik. Kebanyakan negara terdorong dengan jangkaan keyakinan yang dilakukan peserta pasaran kewangan walaupun mereka sudah terbukti gagal membuat tafsiran yang tepat sejak sekian lama," kata Flassbeck yang pernah berkhidmat dengan Timbalan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Lawrence Summers bagi mengekang krisis kewangan Asia pada 1997/98.

Keseluruhannya, persoalan berhubung kedudukan dolar Amerika sebagai mata wang perantara dagangan antarabangsa yang ditimbulkan Unctad itu amat menarik, khususnya jika dilihat dari matlamat sebenar kewujudan badan dunia itu 45 tahun lalu iaitu 'memupuk integrasi negara membangun dalam ekonomi dunia'. Soalnya, adakah badan dunia itu akan bersetuju dengan saranan sesetengah pihak supaya negara ekonomi membangun menimbang kemungkinan mengehadkan aliran modal sehingga dunia mempunyai kerangka kewangan baru.

Mengambil kira Unctad yang kini diterajui bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Supachai Panitchpakdi, sudah memberi amaran bahawa kepincangan sistem kewangan itu yang boleh membawa kepada kemelesetan sejagat sejak sekian lama, persoalan yang ditimbulkannya dijangka mengundang reaksi. Jika sebelum ini kepincangan, monopoli dan ketidakadilan yang dicetuskan dolar Amerika Syarikat dalam dagangan dunia hanya dilaungkan ekonomi membangun, kini gegarannya datang dari badan dunia pelbagai hala. Ketika kita berharap ia akan mencetus perubahan, natijah sebenarnya masih sukar diramalkan.

Penulis ialah Timbalan Pengarang Eksekutif (Rencana) Berita Harian.

(Berita Harian Online, 11/9/2009)

No comments:

Post a Comment