Masalah kelewatan pengagihan bantuan di semua peringkat terutama di sekolah menjadi antara faktor utama yang paling membebankan golongan miskin dan ia lebih kritikal di kalangan mereka yang tinggal di bandar.
Malah, kaedah mengagih bantuan kepada golongan tertentu juga dilihat kurang mencapai matlamat kerana masih ada yang layaknya tidak dibantu lantaran mempunyai pendapatan melepasi garis kemiskinan sedangkan realitinya hidup mereka melarat di tengah bandar.
Senario itu dilihat sendiri hasil kunjungan ke beberapa keluarga di Kuala Lumpur dan mendapati masalah kewangan menjadi lebih kritikal kerana mempunyai ramai anak sehingga menyebabkan kesukaran menangani perbelanjaan harian.
Tukang sapu di sebuah pasar raya di Selayang, dekat Kuala Lumpur, Abdul Razak Yahya, 57, mempunyai lima anak dengan dua daripadanya belajar di sebuah asrama bantuan, manakala dua lagi masih bersekolah di sekolah rendah sekitar Kepong.
Dengan pendapatan RM600 sebulan dan sekadar menerima bantuan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), keluarganya hidup kais pagi makan pagi dan keadaan itu semakin menekan setiap kali tiba musim awal persekolahan.
“Bantuan memang ada tetapi selalunya lambat sehingga dua atau tiga bulan. Setiap kali sekolah bakal dibuka, saya pening kepala dan tertekan sangat sebab terpaksa beli pakaian sekolah untuk empat anak sedangkan gaji terlalu sedikit.
“Saya sebenarnya sangat berharap bantuan itu dapat disalurkan awal supaya dapat meredakan masalah kami sekeluarga. Namun, sepanjang anak saya bersekolah, bantuan tak pernah diterima awal,” katanya.
Melihat keadaan dirinya, pelbagai persepsi boleh dibuat kerana dalam usia setua itu dengan anak masih kecil, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan sewajarnya ada kaedah khusus membantu mereka untuk keluar dari belenggu kemiskinan.
“Kami nak berniaga dan pernah berniaga kecil-kecilan di depan pangsapuri ini, tetapi apabila lesen tamat tempoh, sukar nak perbaharui kerana dikatakan kami berniaga atas tapak yang tidak dibenarkan,” katanya yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri dengan sewa RM124 sebulan.
Abdul Razak juga mengakui pendidikan penting untuk memastikan anaknya berjaya tetapi dengan situasi kewangan yang dihadapinya dan tiada bantuan khusus untuk pelajaran, dia tidak mampu menghantar anak tuisyen meskipun berkali-kali anaknya meminta.
Pemandu teksi, Md Ali Mohamad, 52, yang mempunyai purata pendapatan RM1,500 sebulan pula menghadapi dilema sukar mendapat bantuan kerana pendapatannya melepasi garis kemiskinan iaitu RM740 yang ditetapkan bagi penduduk bandar.
Namun, menjengah ke kediamannya di Jalan Pantai Dalam, realiti yang terpampang menjelaskan senario sebenar bahawa dia sangat layak mendapat apa saja jenis bantuan kerana terpaksa hidup umpama tinggal dalam ‘rumah kongsi’ bersama isteri dan lapan anaknya.
Keadaan rumah kecil yang mempunyai satu bilik itu serba kekurangan dengan atap bocor di sana sini menyebabkan seluruh ruang rumah akan basah ketika hujan, malah bekalan elektrik juga sudah dipotong lantaran kegagalan menjelaskan bil tertunggak berjumlah hampir RM1,000.
Lapan anak dengan empat daripadanya sudah bersekolah menyebabkan tekanan hidupnya lebih terasa tambahan pula tuntutan kehidupan di bandar yang menuntut kos sara hidup tinggi.
“Pakaian anak tak pernah dan tak ada yang baru. Semuanya beli pakaian terpakai. Saya pula bawa teksi dan jika tak sihat, bagaimana nak cari belanja untuk hari itu. Hidup kami kais pagi makan pagi tetapi yang penting, anak cukup makan.
“Bantuan persekolahan memang ada termasuk biasiswa tetapi tak menentu. Kadang-kadang ada, ada kalanya lambat dan pernah juga tak dapat. Cikgu di sekolah kata bantuan tak dapat sebab gaji RM1,500 sedangkan mereka tak tengok sendiri realitinya,” katanya.
Mengulas senario itu, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, mahu Kementerian Pelajaran lebih peka dan proaktif mengagih bantuan supaya dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, kaedah dan sistem pengagihan bantuan itu perlu diperbaiki dengan mewujudkan satu panel bertindak di setiap sekolah terdiri di kalangan guru dan ahli PIBG supaya setiap permohonan dapat disemak dan diteliti supaya tiada tercicir.
“Ikut sistem JKM. Jangan sekadar tengok gaji. Pergi lawat rumah mereka dan tengok sendiri keadaannya. Bantuan pula perlu disegerakan. Selesaikan semuanya pada awal tahun atau sebelum sekolah dibuka,” katanya.
Ia penting kerana ibu bapa nak menghantar anak ke sekolah dan ketika itu belanjanya tinggi. Saya akui, banyak terima aduan mengenai kelewatan bantuan ini.
“Bantuan lain seperti tuisyen dan makanan seimbang juga penting. Malah ia lebih penting untuk memastikan anak orang miskin dapat faedah daripada bantuan itu,” katanya yang mahu fokus utama diberikan kepada golongan miskin di bandar kerana ia diakui lebih kritikal.
(Berita Harian Online, 25/9/2009)
No comments:
Post a Comment