Monday, September 14, 2009

Halaqah keluarga

Penulis: Badan Penyelaras, Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)
Penerbit: HALUAN Malaysia
Muka Surat: 116

Halaqah Keluarga pada awalnya merupakan nota-nota ringkas yang digunakan untuk bacaan umum dalam usrah-usrah kecil pembentukan kefahaman Islam. Setelah beberapa lama dibahaskan, bahan-bahan tersebut dikumpul dan dijadikan sebuah buku supaya menjadi panduan yang berguna khususnya kepada ibu dan bapa yang menjadi ketua dalam rumah tangga.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada tiga bab utama iaitu al-quran, hadis dan sirah. Dalam bab al-quran, pemilihan artikel menekankan kebesaran Allah SWT melalui 38 tajuk. Tujuan utama tajuk-tajuk ini dimuatkan ialah mengukuhkan aqidah keluarga muslim terhadap Islam. Justeru, separuh daripada tajuk ini berkaitan surah Al-Fatihah yang menyentuh sifat-sifat Allah SWT. Selebihnya adalah ayat-ayat pilihan seperti surah Al-A’raaf ayat 11 yang berkaitan iblis sebagai musuh manusia yang nyata, surah Fathir ayat 32 yang berkaitan tiga golongan manusia dan surah Ar-Ra’d ayat 28 yang membicarakan rahsia mencari hati yang tenang.

Bab kedua berkaitan hadis. Terdapat 13 artikel yang menyentuh kehidupan seharian, ibadat dan pengukuhan jati diri yang kesemuanya diambil dari sumber yang sahih. Antara tajuk artikel ialah jangan marah, sifat-sifat iman yang diiktiraf dan kelebihan berwudhuk. Huraian yang ringkas dan mudah difahami dapat memudahkan ibu dan bapa membantu menambah kefahaman anak-anak mereka.

Dalam bab ketiga, buku ini memuatkan kisah-kisah sahabat Rasulullah SAW yang telah banyak berkorban untuk menegakkan Islam. Antaranya kisah penderitaan Bilal yang boleh menjadi renungan kepada pendengar untuk berfikir. Begitu juga kisah empat khalifah Islam yang awal: Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali di samping beberapa orang sahabat yang lain seperti ‘Amr bin Jamuh dan Usamah bin Zaid.

Secara keseluruhannya kandungan buku ini boleh menjadi bahan bacaan selepas solat yang sangat baik untuk seisi keluarga khususnya yang mempunyai anak-anak di bawah 12 tahun. Artikel sedia ada boleh ditambah penerangannya supaya anak-anak tidak jemu di samping dapat menekankan nilai-nilai jati diri kepada mereka. Ayah dan ibu boleh membaca setiap artikel dalam masa 10 hingga 15 minit mengikut kesesuaian. Sekiranya tidak dapat dilakukan setiap hari, ia boleh direncanakan seminggu sekali dalam halaqah atau liqa’ mingguan. Sesi penyampaian boleh dipelbagaikan supaya wujud perkongsian ilmu yang lebih mantap.

Di samping untuk keluarga, kandungan artikel juga sesuai digunakan sebagai bahan kuliah untuk peserta-peserta kursus pembangunan diri yang boleh dibaca selepas solat lima waktu.

No comments:

Post a Comment