Thursday, September 03, 2009

Kemiskinan bandar: guna model Amanah Ikhtiar Malaysia

Hasrat kerajaan untuk membantu rakyat yang berpendapatan RM3000 dan ke bawah adalah langkah yang sangat sesuai dengan keadaan ekonomi semasa apatah lagi kenaikan harga minyak RON95 tambah membebankan rakyat marhaen. Jumlah RM3000 sebulan bagi orang bandar secara relatifnya adalah sedikit dibandingkan orang luar bandar kerana harga barang lebih mahal di bandar. Sebagai contoh, harga sewa rumah di bandar lebih tinggi berbanding di pekan atau kawasan kampung.

Kerajaan telah menggariskan beberapa strategi bagi membantu mereka yang dimasukkan dalam kategori berkenaan melalui galakan berniaga, peningkatan kemahiran dan mengurangkan perbelanjaan. Sejumlah 40 peratus daripada mereka adalah rakyat Malaysia yang setiap hari memikirkan bagaimana hendak mencari wang untuk makan dan sekolah anak-anak.

Apakah pilihan terbaik kerajaan untuk membantu 40 peratus rakyat yang mendapat RM3000 ini?

Sekiranya kita melihat model ekonomi yang menggunakan kaedah pinjaman mikrokredit, contoh terbaik ialah pelaksanaan pinjaman perniagaan projek Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang telah berjaya membantu keluarga miskin keluar daripada kesusahan hidup sejak 22 tahun yang lalu. Matlamat penubuhannya ialah mengeluarkan isi rumah termiskin melalui pembiayaan kredit mikro tanpa mengambil kira fahaman politik, agama dan kaum.

Sistem kredit mikro ini diperkenalkan oleh Profesor Muhamad Yunus, seorang pensyarah ekonomi di Universiti Chittagong, Bangladesh melalui hasil kajiannya pada tahun 1976. Konsepnya ialah mengawal pendapatan untuk belanja isi rumah, mencari wang untuk keluarga dan membayar balik pinjaman dalam jumlah yang kecil tetapi kerap. Idea ini sebagai jalan keluar kepada masalah yang dihadapi oleh kebanyakan penduduk miskin di Bangladesh yang terpaksa bergantung kepada orang tengah untuk mencari wang sara hidup.

Kaedah ini diguna pakai di Malaysia melalui kerjasama Universiti Sains Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Pusat Pembangunan Asia Pasifik (APDC) dan kerajaan negeri Selangor. Pada peringkat awal, YPEIM menyediakan dana sebanyak RM300,000 sebagai modal pinjaman dan kerajaan negeri Selangor menyediakan tapak permulaan di Sabak Bernam sebagai kawasan perintis selama dua tahun melibatkan 373 ketua isi rumah.

Seterusnya sebuah badan amanah persendirian, Amanah Ikhtiar Malaysia ditubuhkan. Projek AIM berkembang ke seluruh negara khususnya di utara Semenanjung Malaysia dan Pantai Timur. Sehingga Mac 2007, AIM mempunyai 162,756 peserta dengan jumlah pinjaman RM330.3 juta. Hampir 97 peratus peminjam cenderung membayar balik pinjaman mereka.

Kejayaan projek AIM menjadi pemangkin kepada usaha-usaha kerajaan bagi membantu mengatasi kemiskinan tegar di seluruh negara. Kajian oleh Ishak Abdul Rahman pada tahun 1994 di Sik, Kedah menyatakan kejayaan program ini telah mengubah keadaan taraf hidup peserta projek.

Kerajaan boleh mengguna pakai model projek AIM untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin bandar dengan menjadikan kegiatan ekonomi dan bayaran balik pinjaman sebagat matlamat utama. Projek AIM telah berjaya dilaksanakan kepada penduduk miskin luar bandar kerana ada dalam kalangan mereka ini yang mampu mendapat wang sebanyak RM1000 hingga RM3000 sebulan melalui kegiatan ekonomi kecil-kecilan.

Suasana hidup di bandar lebih mencabar. Malahan kelompok sasar yang mempunyai pekerjaan tetap sekalipun tidak dapat melakukan kegiatan jual beli semasa bekerja. Justeru mekanisme pelaksanaan program bantuan ini perlu memikirkan kaedah yang lebih praktikal iaitu tanpa menjejaskan pekerjaan utama mereka.

Disarankan kerajaan membuka lebih banyak kawasan pasar malam, gerai berniaga, kebenaran berniaga sehingga lewat pagi dan bantuan sara diri yang diiringi kursus kemahiran berniaga dan kemahiran kewangan. Perusahaan kecil-kecilan di belakang rumah seperti pembuatan kek, kraftangan atau bisnes perkhidmatan diberikan kelulusan yang mudah. Pada masa yang sama, konsep SOHO (pejabat di rumah) diberikan keutamaan dan kempen yang berterusan.

Masalah modal adalah perkara pokok yang sering ditimbulkan oleh peniaga yang baru memulakan bisnes pilihan mereka. Dicadangkan dana untuk memulakan bisnes ini tidak diberi melalui bank kerana biasanya syarat yang dikenakan untuk meminjam adalah ketat dan pihak bank sendiri tidak mempunyai kepakaran untuk memujuk peminjam membayar hutang mereka seperti mana yang dilakukan oleh AIM. Oleh itu, peranan dan sumber manusia AIM perlu diperkasakan supaya agensi itu bersama-sama mengambil tanggungjawab membantu kerajaan mengurangkan kemiskinan bandar pada masa depan.

No comments:

Post a Comment