Sunday, September 27, 2009

EPU tumpu golongan berpendapatan rendah

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebenarnya sudah mengambil kira pelbagai aspek penting terutama membabitkan keperluan makanan seimbang seseorang penduduk di negara ini.

Timbalan Pengarah Pengagihan EPU, Mohamad Idris, berkata PGK adalah purata pendapatan minimum yang diperlukan sesebuah keluarga untuk hidup terutama kemampuan mendapatkan makanan seimbang bagi menjalani kehidupan aktif dalam masyarakat.

Beliau berkata, sebenarnya PGK bukan setakat perlu berbeza bagi setiap negeri atau lokasi tetapi lebih tepat lagi, setiap keluarga mempunyai PGK mereka sendiri kerana keperluan makanan seimbang setiap keluarga berbeza.

“Bagi keluarga yang ramai anak, keperluannya pasti lebih tinggi. Tak ramai anak tapi badan besar pun perlu dapatkan lebih kalori, bermakna lebih besar keperluannya. Jadi, PGK setiap keluarga berbeza.

“Namun, EPU hanya mampu mengeluarkan PGK secara purata selepas membuat analisis di setiap kawasan dan membabitkan beberapa keluarga. Untuk mewujudkan PGK yang lebih terperinci berdasarkan lokasi, perbelanjaannya terlalu besar,” katanya.

Mengakui hakikat bahawa PGK di setiap lokasi sepatutnya berbeza, Mohamad berkata, EPU sentiasa menekankan toleransi dalam menyalurkan bantuan, bukan sekadar membantu mereka yang miskin atau di bawah PGK, tetapi juga yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata, senario kemiskinan di bandar lebih meruncing tetapi realitinya peluang mendapatkan wang di bandar lebih banyak selain barang keperluan yang lebih murah berbanding luar bandar.

“Orang di bandar, jika terdesak, boleh lagi cari jalan lain seperti berniaga atau apa saja. Jaga tempat letak kereta pun dapat duit. Di luar bandar, kalau berlaku sesuatu yang di luar dugaan, mereka akan hilang punca. Tak banyak jalan keluar,” katanya.

Beliau berkata, jika merujuk statistik, kemiskinan di bandar sudah berjaya dikurangkan dari 3.8 peratus pada 1999 kepada 2.3 pada 2007, namun ia hanya berdasarkan PGK sedangkan diakui kemiskinan perlu dilihat dalam pelbagai sudut lain seperti tempat tinggal, pendidikan dan minda.

Katanya, kemiskinan di bandar lebih banyak membabitkan kelompok kampung tradisi dalam bandar selain setinggan kerana mereka berdepan jurang perbezaan taraf hidup yang sangat besar.

“Meskipun dari konteks pendapatan, mereka tidak miskin kerana di atas paras kemiskinan, tetapi dimensi fizikal memberi persepsi sebaliknya. Mereka mungkin kelihatan sangat miskin. Itulah masalah utama di bandar. Jurang taraf hidup sangat besar. Rumah pangsa dan banglo memberikan gambaran yang sangat berbeza.

“Keadaan persekitaran termasuk peluang pendidikan dan kemudahan lain turut memberikan persepsi seseorang itu daif, walaupun pendapatannya melebihi RM740. Kerana itu, dasar kerajaan adalah membantu semua yang memerlukan termasuk mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan EPU, PGK yang digunakan untuk mengkelaskan kemiskinan di bandar ialah di bawah RM740 (Semenanjung), RM860 (Sarawak) dan RM970 di Sabah dan Labuan manakala bagi kategori miskin tegar di bandar pula, PGK yang digunakan ialah RM420 (Semenanjung), RM540 di Sabah dan Labuan serta RM530 di Sarawak.

Statistik yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menunjukkan penerima bantuan paling ramai sehingga 2008 adalah di Pahang dengan 36,600 diikuti Terengganu (22,710), Kedah (21,393) dan Perak (17,722). Negeri yang mencatat jumlah bantuan paling tinggi pula ialah Terengganu dengan penyaluran bantuan lebih RM57 juta diikuti Kedah (RM41 juta), Kelantan (RM40 juta), Johor (RM35 juta) dan Perak (RM34 juta).

Berdasarkan bangsa pula, Melayu mencatatkan jumlah penerima bantuan paling tinggi iaitu 147,325 kes diikuti India 28,007 kes dan Cina (22,805). Di Kuala Lumpur pula, 14,326 penerima bantuan JKM dicatatkan sehingga Mac 2009 membabitkan peruntukan RM6.9 juta.

Senario yang sama dengan penerima bantuan pada peringkat kebangsaan, Melayu adalah penerima bantuan paling ramai di Kuala Lumpur iaitu 5,600 kes diikuti India 4,100 kes dan Cina 2,250 kes.

Perincian berdasarkan kawasan Parlimen di Kuala Lumpur pula menunjukkan Parlimen Batu mempunyai bilangan orang miskin paling ramai diikuti Bandar Tun Razak, Setiawangsa, Wangsa Maju, Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong, Seputeh, Bukit Bintang, Cheras dan Segambut.

(Berita Harian Online, 25/9/2009)

No comments:

Post a Comment