Saturday, September 12, 2009

Teruskan menyusu badan walaupun di bulan puasa

Keupayaan untuk melahirkan anak dan menyusu badan adalah kelebihan yang ada pada setiap wanita. Susu badan merupakan sumber yang paling berkhasiat untuk bayi.

Bagaimanapun apabila tiba bulan Ramadan, ramai ibu tertanya-tanya sama ada susu mereka masih lagi memiliki khasiat yang sama.

Antara persoalan yang ada dalam diri ibu yang berpuasa ialah sama ada pengambilan makanan yang kurang akan memberi kesan kepada kualiti dan jumlah susu mereka.

Adakah kekurangan air semasa waktu siang mengubah susu mereka, susu berkurangan dan menyebabkan bayi kelaparan? Adakah saya perlu berhenti menyusu badan dalam bulan Ramadan dan bertukar kepada rumusan bayi?

Jika soalan-soalan ini ditanya kepada perunding pediatrik dan perunding laktasi, Dr. Koe Swee Lee, jawapannya adalah "tidak".

Tidak memberi kesan

Menurut Dr. Swee Lee, berpuasa selama 12 hingga 14 jam sehari tidak memberi kesan langsung kepada kualiti atau jumlah susu badan ibu melainkan jika si ibu mengalami malnutrisi atau ketidakseimbangan makanan yang jarang berlaku di Malaysia.

"Badan ibu mempunyai simpanan nutrien yang cukup untuk susu badan," katanya.
Beliau menambah, walaupun kekurangan air boleh memberi kesan kepada susu ibu kerana tidak minum air semasa berpuasa, ia tidak mempengaruhi susu badan.


"Kebanyakan wanita bukan kekurangan air walaupun mereka mungkin terasa dahaga semasa berpuasa.

"Apabila tidak minum air kerana puasa, tubuh secara automatik tidak menghasilkan urin dan peluh yang banyak untuk mengekalkan cecair dalam badan.

"Tidak perlu risau masalah kekurangan air semasa berpuasa melainkan anda menjalankan aktiviti memerlukan tenaga yang menyebabkan anda kehilangan air yang banyak," katanya.

Sebenarnya pengambilan makanan tidak memberi kesan yang besar kepada pengeluaran susu badan. Jumlah susu badan yang dihasilkan sebenarnya bergantung kepada berapa banyak yang bayi menyusu dan perlukan.

"Apabila bayi mula menghisap puting ibu, satu deria rasa akan ke otak ibu. Otak kemudiannya melepaskan dua jenis hormon - prolaktin iaitu hormon pengeluaran susu dan oksitosin hormon yang membolehkan pengaliran susu.

"Secara ringkasnya lebih banyak susu yang diperlukan oleh bayi, lebih banyak mereka menyusu dan lebih banyak susu akan dikeluarkan," jelas Dr. Swee Lee.

Oleh itu, seorang ibu boleh memenuhi kewajipan berpuasa dan pada masa yang sama memastikan si manja mendapat khasiat yang secukupnya daripada susu badan.

Jangan berhenti menyusu

"Mungkin ada ibu yang mahu berhenti menyusu badan semasa berpuasa kerana merasakan tubuh mereka tidak dapat menanggung kedua-dua beban pada masa yang sama. Nasihat saya ialah ibu patut meneruskan penyusuan semasa berpuasa walaupun keputusan tersebut bergantung sepenuhnya kepada mereka.

"Jika ibu merasa badannya letih kerana berpuasa dan menyusu pada masa yang sama, saya cadangkan agar mereka berpuasa selang sehari atau tidak berpuasa.

"Penyusuan badan patut diteruskan," katanya. Ini kerana pengeluaran susu badan bukanlah sesuatu yang boleh dihentikan dan dimulakan semula oleh ibu sesuka hati.

Beliau menjelaskan bahawa apabila bayi berhenti menyusu selama sebulan dan bertukar kepada rumusan bayi, mereka mungkin tidak mahu lagi menyusu susu badan.

Tubuh ibu pula akhirnya akan berhenti menghasilkan susu kerana tiada lagi susu yang dikeluarkan. Oleh itu sekiranya ibu mahu kembali menyusu badan selepas bulan puasa, ibu mungkin ketiadaan susu untuk bayinya.

Sesetengah ibu mungkin merasakan berhenti menyusu untuk anak mereka adalah baik kerana mereka tidak boleh menyusu bayi mereka terlalu lama.

Walau bagaimanapun para pakar berpendapat mereka wajar meneruskan penyusuan.

"Susu ibu adalah nutrien terbaik untuk bayi dan tidak boleh diganti oleh sumber lain. Melalui penyusuan badan, bayi mendapat perkembangan fizikal dan mental yang sihat, sokongan emosi yang penuh kasih sayang dan antibodi yang kuat untuk melawan jangkitan.

"Dengan susu badan, bayi tidak memerlukan sebarang susu lain, laktogen, puting atau air. Semuanya ini disediakan secukupnya dalam susu ibu," jelas Dr Koe.

Menghentikan penyusuan badan semasa bulan puasa bermakna bayi tidak mendapat kebaikan semula jadi yang diperlukan untuk membesar secara menyeluruh dan dilindungi daripada penyakit.

"Tidak wajar untuk berbuat demikian. Menggantikan susu badan dengan rumusan bayi adalah seumpama menggantikan buah pinggang anda yang sihat dengan buah pinggang tiruan," jelas pakar laktasi ini.

Bukan sahaja kesihatan bayi terjejas, malah ibu juga turut terjejas jika mereka berhenti menyusu badan serta-merta.

Salah satu masalah yang mungkin dihadapi oleh ibu ialah pembesaran payudara atau bengkak. Ini berlaku apabila badan ibu mengeluarkan susu seperti biasa tetapi tidak dikeluarkan. Susu baru yang dibekalkan ke payudara akhirnya menyebabkan urat-urat membesar.

"Bengkak boleh menyebabkan jangkitan payu dara yang dikenali sebagai mastitis. Kadang kala ia menyebabkan pembentukan nanah dan bengkak nanah payudara (tisu di kawasan jangkitan mengeras yang menyebabkan sakit dan simptom seperti selesema)," katanya memberi amaran.

Menyusu badan adalah masa untuk mengeratkan hubungan antara ibu dan anak. Menyusu badan menggalakkan pelepasan oksitosin, yang juga dipanggil 'hormon kasih'. Dalam erti kata lain, ibu yang menyusu akan menikmati perasaan kasih sayang terhadap bayi mereka. Bayi pula akan merasa selamat dan terbelai oleh ibu mereka.

Jika ibu berhenti menyusu walaupun pada bulan Ramadan, bayi mungkin kehilangan minat untuk menyusu badan. Oleh itu saat-saat hubungan ibu dan anak ini mungkin hilang begitu sahaja.

Walaupun berpuasa tidak memberi kesan secara langsung kepada amalan penyusuan oleh ibu, informasi, sokongan dan keyakinan boleh membantu.

Akhir sekali, perunding laktasi ini menggalakkan para ibu bahawa sekiranya mereka mempunyai keyakinan diri dan keazaman untuk menyusu badan, mereka akan dapat memberikan khasiat yang secukupnya kepada bayi mereka.

"Paling penting sekali ialah untuk memastikan penghasilan susu yang cukup semasa bulan puasa, ibu perlu meneruskan penyusuan badan untuk mengekalkan pengeluaran susu," katanya.

(Utusan Online, 10/9/2009)
Post a Comment