Saturday, September 26, 2009

Kemiskinan di bandar kena ambil kira inflasi, kos hidup

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang diguna pakai untuk mengklasifikasikan golongan miskin di negara ini sudah tidak relevan dan tidak sesuai dijadikan panduan untuk penyaluran sebarang jenis bantuan terutama membabitkan golongan miskin di bandar. PGK yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menggariskan pendapatan yang dianggap miskin bagi penduduk bandar ialah di bawah RM740 sebulan dan angka itu digunakan bagi semua bandar di Semenanjung.

Ia menjadikan kaedah penetapan untuk mengagihkan pelbagai bantuan yang berdasarkan PGK sebagai syarat utamanya tidak relevan kerana meletakkan penduduk besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang setara dengan bandar kecil seperti Alor Setar dan Kangar.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin, berkata PGK yang digunakan terutama bagi bandar besar seperti Kuala Lumpur perlu dikaji semula supaya lebih menggambarkan situasi sebenar keperitan hidup di tengah bandar raya. Malah, beliau mahu mencadangkan satu kajian menyeluruh dibuat bagi mengkelaskan PGK mengikut kawasan dan tidak dibuat secara umum seperti ketika ini.

“PGK adalah satu angka yang dibuat selepas mengambil kira semua faktor dan ia selaras dengan pendapatan perkapita selain gaji buruh yang tidak kurang RM30 sehari. Sebenarnya ia sangat sesuai dijadikan panduan untuk menilai kemiskinan apatah lagi apabila ia kini dinaikkan kepada RM740 berbanding sekitar RM500 sebelum ini.

“Namun, saya akui adalah tidak sesuai jika angka itu digunakan secara menyeluruh untuk semua bandar di negara ini. Ia perlu dikaji semula kerana situasi di setiap bandar berbeza. Perlu ada pengkhususan dan angka lain untuk bandar berbeza.

“Penduduk di Alor Setar tak boleh disamakan dengan Kuala Lumpur. Justeru, kajian perlu dibuat secara teliti dan satu PGK lebih tepat berdasarkan kawasan perlu disediakan. Kementerian kami akan cuba lanjutkan cadangan ini,” katanya.

Sehubungan itu, kajian untuk menetapkan PGK perlu dibuat secara berbeza bagi setiap lokasi dan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan angka yang dijadikan penanda aras sentiasa sejajar tuntutan semasa.

Merujuk isu kemiskinan di bandar terutama Kuala Lumpur, Lajim berkata perlu ada usaha berterusan dan serius dalam menanganinya dengan cara memperbanyakkan program motivasi supaya masyarakat miskin di bandar tidak terus mengharapkan bantuan, tetapi menggunakan peluang yang ada untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Walaupun sukar, miskin di bandar mempunyai lebih peluang untuk berjaya dan keluar daripada kelompok kemiskinan berbanding di luar bandar kerana banyak peluang pekerjaan tersedia selain potensi menjalankan perniagaan sendiri.

“Kerajaan sentiasa menyediakan peluang pinjaman untuk memulakan perniagaan selain turut membina gerai untuk mereka berniaga. Bantuan bulanan orang miskin yang ada selama ini hanya sementara dan takkan bantu mengeluarkan mereka daripada kemiskinan. Mereka perlu ada pendapatan sendiri,” katanya.

Isu kemiskinan di bandar perlu diselesaikan segera kerana ia memberi kesan kepada penampilan wajah bandar itu sendiri khususnya kawasan tumpuan pelancong. Bandar juga seharusnya mempunyai penduduk berpendapatan tinggi serta mengambil bahagian dalam pembangunan bandar.

“Bandar besar dan menuju status negara maju tetapi ada pula rumah yang usang, ia pastinya memberikan imej kurang elok dan tak indah dipandang. Kerana itu, kita mempunyai visi menghapuskan sepenuhnya setinggan menjelang 2015.

“Selain itu, kerajaan perlu melihat generasi muda sebagai golongan penting yang perlu digerakkan untuk membasmi kemiskinan. Beri pinjaman perniagaan kepada anak muda dari keluarga miskin ini. Gabungkan kemahiran beberapa orang daripada mereka untuk wujudkan perniagaan,” kata Lajim.

Sementara itu, Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emiritus Chamhuri Siwar, berkata isu kemiskinan di bandar sangat dinamik dan takrifan mengenainya perlu dibuat dengan mengambil kira inflasi serta kenaikan harga barang.

Justeru, PGK yang diguna pakai ketika ini sebenarnya sudah ketinggalan kerana dihasilkan ketika pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 2006 sedangkan senario ekonomi semasa banyak berubah.

“PGK perlu dilihat dan dikemas kini setiap tahun. Angkanya pasti berbeza dan ia perlu mengambil kira semua aspek. Selain itu, logik pada PGK itu perlu ada kerana ketika ini pendapatan yang layak dikategorikan sebagai miskin tidak banyak berbeza antara bandar dan luar bandar.

“Sepatutnya PGK di bandar dibuat berdasarkan indeks sara hidup di lokasi itu sendiri, bukannya dibuat secara umum. Di Johor Bharu umpamanya, kemasukan orang Singapura menyebabkan harga barang naik. Ia memberi kesan kepada penduduk setempat. Malah, sewa rumah dan pengangkutan di bandar sangat tinggi,” katanya.

Beliau yang aktif menjalankan kajian mengenai kemiskinan di bandar selain terbabit aktif menghasilkan penulisan mengenai isu itu berkata, PGK di bandar perlu dinaikkan daripada RM740 ke RM1,000 kerana angka terbabit lebih relevan.

Jika mengambil kira PGK, jumlah kemiskinan di bandar pada 2007 hanya 2.3 peratus sedangkan realitinya ramai yang hidup susah meskipun mempunyai pendapatan melebihi RM740, malah ada yang masih susah dengan gaji melebihi RM1,000.

“Kemiskinan di bandar lebih bersifat relatif dan berubah-ubah mengikut senario semasa. Ia menjadi lebih meruncing ketika kegawatan ekonomi dengan ramai kelompok pendapatan rendah dibuang kerja terutama di sektor perkilangan.

“Di bandar, bukan pendapatan saja isu utama yang perlu diambil kira dalam mengkategorikan kemiskinan, banyak lagi elemen lain termasuk keselesaan tempat tinggal, persekitaran, kemudahan dan pendidikan.

“Semuanya bersangkut paut. Keadaan rumah yang tidak selesa menjejaskan prestasi pembelajaran. Keadaan persekitaran yang tidak selesa pula menjejaskan kesihatan. Ia terbukti kerana kebanyakan kes penyakit berjangkit berlaku di kawasan penduduk berpendapatan rendah,” katanya.

Selain itu, katanya perlu diakui bahawa senario kemiskinan turut menyumbang kepada pelbagai kes jenayah serta gejala sosial tidak sihat seperti lepak dan rempit.

Menjelas lebih lanjut, Chamhuri berkata, jurang pendapatan di bandar terlalu besar dan memberi banyak tekanan kepada mereka yang berpendapatan rendah terutama kepada penduduk asal kerana menerima impak akibat pembangunan pantas di kawasan mereka.

“Pembangunan sebenarnya meminggirkan mereka yang tidak berkemampuan. Jurang pendapatan akan jadi semakin jauh. Memang diakui ada banyak faedah daripada pembangunan tetapi orang susah akan semakin susah kerana terpaksa menerima peningkatan kos sara hidup.

“Tambahan pula, jika dilihat secara teliti, perlu diakui pembangunan memberi banyak keuntungan kepada pihak tertentu. Contohnya pemilikan rumah, kebanyakan golongan pendapatan rendah hanya mampu menyewa.

“Kerana semua sebab itu, PGK di bandar perlu dinaikkan dan mengambil kira semua faktor. Perlu dikategorikan supaya semua kawasan ada PGK tersendiri. Tak sama di semua kawasan,” katanya.

(Berita Harian Online, 25/9/2009)

1 comment:

  1. Kemiskinan... apa yg sy selidiki, rakyat Malaysia sendiri tidak menyedari tentang betapa pentingnya masalah ini kerana ianya adalah sebahagian faktor yg boleh menerencatkan pembangunan negara, apatah lagi utk menggapai Wawasan 2020. sekurang2nya pihak berwajib (kerajaan/swasta/berkanun) yang bertanggungjawab tentang perkara kemiskinan ini harus lebih aktif dlm menyebarkan maklumat tentang perkara ini... tanya hanya satu soalan kepada masyarakat Malaysia. 'apakah PGK?' inikan pula rakyat Malaysia kan tahu berapakah garis kemiskinan di bandar dan di luar bandar, semenanjung, sabah, dan sarawak..? beza antara miskin dan miskin tegar pun ramai antara kita tidaj pernah tahu apakah itu... jadi pihak berwajib harus 'mempromosikan' maklumat tentang kemiskinan di Malaysia ini.

    ReplyDelete