Pelajar di peringkat sarjana dan doktor falsafah memahami benar erti viva kerana di penghujung pengajian, mereka akan menempoh peringkat akhir halangan sebelum dianugerahkan ijazah. Berbeza dengan doktor falsafah, peringkat sarjana memberi dua pilihan bentuk pengajian iaitu sama ada bergraduat dengan tesis atau tanpa tesis. Kelebihan pengajian sarjana dengan tesis ialah pengetahuan dan pengalaman membuat penyelidikan.
Dalam proses itu, pelajar didedahkan dengan dua subjek yang sangat penting iaitu statistik dan kaedah penyelidikan (research methodology). Kedua-dua subjek ini menjadi asas kepada penganalisisan data dan pemilihan bentuk penyelidikan yang akan dilakukan. Pada masa yang sama, pelajar juga mendapat pengalaman saintifik membuat pernyataan masalah bagi kajian mereka.
Kita ambil contoh pernyataan masalah dalam kajian di bidang sosial. Biasanya ia muncul kerana ada rungutan dan rasa tidak puas hati yang disuarakan oleh subjek atau responden yang diambil dari keratan akhbar, rungutan klien, laporan-laporan awam dan juga pandangan pakar. Selain itu, pelajar didedahkan dengan kaedah membuat kerangka konseptual kajian yang tepat dan selari dengan objektif kajian.
Bagi pelajar yang melengkapkan pengajian sarjana tanpa tesis, mereka didedahkan dengan teori dan latihan ilmiah yang komprehensif. Cara ini menjadikan perbincangan dalam kumpulan sebagai aktiviti utama. Tanpa perbincangan, seseorang pelajar tidak dapat menjana idea-idea baru untuk tugasan yang diberikan.
Apakah VIVA?
Viva adalah peperiksaan yang dilakukan dalam bentuk perbincangan. Tiga atau empat orang penilai dalaman dan luaran akan memberi maklum balas dan pandangan mereka ke atas tesis yang disemak. Rungutan oleh pelajar ialah masa menunggu yang agak lama, ada yang terpaksa menunggu sehingga enam bulan kerana pelbagai alasan. Namun alasan yang paling kerap ialah pemeriksa sibuk walaupun pejabatnya hanya dua tiga ela dari fakulti pelajar.
Pengendalian viva tidaklah sukar seperti yang disangka kerana pengalaman pelajar adalah berbeza-beza. Ia berkaitan bagaimana kita mempersembahkan hasil kajian dan pemeriksa juga tidak tahu semuanya tentang hasil kajian yang dilakukan. Apa yang mereka mahu tahu ialah sama ada kita mempunyai pandangan yang tepat atau memahami konsep dalam subjek berkenaan.
Kenapa perlu VIVA?
Viva penting untuk pelajar dan kesannya amat menakjubkan. Mereka akan benar-benar memahami beberapa perkara dasar yang terdapat di dalam kajian. Walau bagaimanapun pelajar akan diberitahu tarikh viva yang dicadangkan termasuk tempat yang akan diadakan. Pemeriksa dalaman dan pengerusi akan datang tetapi pemeriksa luar terpulanglah kepadanya kerana tempat yang jauh atau ada urusan lain yang lebih penting dan dia hanya akan hantar laporan.
Seminggu sebelum viva, peringatan kedua akan dimaklumkan melalui telefon.
Bersedia untuk VIVA?
Tesis yang telah siap dihantar kepada pemeriksa wajar dibaca berulang kali supaya pelajar memahami kandungan hasil kajiannya. Fokus patut diberi kepada latar belakang masalah, pernyataan masalah, objektif kajian dan metodologi kajian kerana pemeriksa juga ingin memahami dengan mendalam kenapa kajian itu dilakukan dan bagaimana ia dijalankan.
Contohnya bahagian metodologi, kerangka konseptual kajian yang dikemukakan perlu ada perkaitan dengan penulisan bab kedua iaitu tinjauan literatur. Pemeriksa sangat cekap mencari kesilapan pelajar walaupun kecil. Daripada kecil, ia berkembang menjadi seolah-olah isu besar dan dikaitkan dengan tinjauan literatur dan analisis kajian.
Dari segi penampilan diri, pelajar tidak perlu jadi orang lain untuk memperkenalkan diri kerana tidak ada apa-apa yang hendak dirisaukan. Sebaiknya pakai pakaian yang kemas, digosok dan kasut berstoking. Personaliti yang baik sebegini akan meningkatkan keyakinan pelajar bagi mengurangkan tekanan.
Pastikan pelajar datang awal kerana dapat mengenal pasti bilik viva, menguji kesesuaian perisian komputer di samping menyesuaikan diri dengan suasana viva. Kehadiran yang awal banyak membantu pelajar mengatasi gemuruh. Jika menggunakan Windows Power Point 2007, pastikan pihak penganjur menyediakan perisian berkenaan kerana masih terdapat penganjur yang tidak menaik taraf perisian berkenaan di bilik viva.
Semasa VIVA
Apabila pengerusi dan pemeriksa menunjukkan muka, ambil kesempatan meraikan kehadiran mereka dengan mengucap salam dan berjabat tangan. Ucapan ‘Assalamu’alaikum’ sudah cukup sebagai pembuka kata di antara pelajar dengan mereka. Ambil masa untuk berdiri sehingga pengerusi meminta duduk dan tidak perlu panik yang keterlaluan.
Jadikan senyuman sebagai kubu paling kuat pada diri pelajar kerana pemeriksa boleh cam dengan mudah keadaan pelajar yang menggelabah dan hilang tumpuan.
Jika pelajar tidak tahu jawapan, jangan sekali-sekali menipu. Katakan saja tidak tahu dan pemeriksa akan memberi maklum balas mereka. Seorang profesor pernah berkata, ‘Angguk adalah jawapan paling hebat ketika pemeriksa menerangkan sesuatu perkara tentang kajian pelajar.’ Semasa viva, pemeriksa umpama raja kerana mereka menguasai keadaan ketika itu, pengerusi pula mengawal keadaan tersebut dan menjadi penentu kepada laporan viva selepas itu yang dikeluarkan dalam masa seminggu.
Elakkan bertengkar dengan pemeriksa kerana pelajar mungkin akan lebih sengsara apabila mereka mula menyerang balas. Matlamat hadir ke viva adalah untuk lulus sarjana atau doktor falsafah. Membiarkan pemeriksa memusnahkan usaha selama empat tahun adalah pengalaman yang menyakitkan pelajar.
Pemeriksa bukannya berperanan menggagalkan pelajar sebaliknya cuba membantu membaiki hasil kajian. Benarkan mereka membantu pelajar dengan kritikan-kritikan pedas yang membina supaya pelajar dapat berbangga dan merasa megah dengan tesis yang akan dikeluarkan kelak.
Sebelum sesi viva berakhir, pengerusi akan memaklumkan keputusan viva secara lisan dan umumnya adalah lulus. Perinciannya akan dikeluarkan selepas itu sama ada pelajar perlu melakukan perubahan yang kecil atau besar. Jika ada sebarang perubahan, ia perlu disiapkan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh viva berlangsung.
Ucap terima kasih kepada pengerusi dan pemeriksa selepas viva berakhir dan berjabat tangan.
Nama pelajar akan disahkan pada mesyuarat senat dalam tempoh dua bulan selepas pihak pengajur mengadakan mesyuarat mereka. Pada masa ini tidak ada apa-apa lagi yang hendak dirisaukan dan pelajar boleh merancang masa depannya.
Tertarik dengan pembacaan tentang viva diruangan ini. Diharapkan sesi viva sy akan dipermudahkan olehNya. Setakat ini, saya hanya baru lepas menghantar draf tesis penuh. Saya masih menunggu pendapat Ahli Jawatankuasa Penyelidikan berkenaan persembahan hasil penulisan saya. Hanya Allah yang tahu proses menjalankan tanggungjawab daripada universiti ini.
ReplyDeleteSelamat berjaya
ReplyDeleteTerima kasih tentang penerangan viva..sedikit sebanyak memberi input kps saya.Saya akan menghadapi viva master esok..harapan saya agar sesi tersebut bjln dgn lancar dan saya tidak menggelabah...:)
ReplyDeleteTerima kasih atas maklumat. Akan saya aplikasikan maklumat dan ilmu daripada anda dalam viva Isnin ini 26 Mei 2014, amin.
ReplyDeletePenerangan perjalanan viva yang sangat bagus, saya berada di peringkat diploma dan saya akan viva pada jumaat depan, harapnya dengan perkongsian ini dapat saya praktikkan dan semoga semuanya dapat berjalan dengan lancar in shaa Allah
ReplyDeleteTerima kasih atas info yang diberikan. Esok adalah hari yg amat penting buat saya iaitu viva. Doakan saya semoga dipermudahkan urusan viva. Terima kasih.
ReplyDeleteTerima kasih..perkongsian ini bermakna untuk saya semasa viva nanti..semoga penulis dirahmati dan diberkati selalu..insya allah
ReplyDeleteSemoga Encik Sayuti akan beroleh kejayaan nanti.
Delete