Tuesday, March 17, 2009

Strategi membasmi kemiskinan oleh kerajaan







Kerajaan Malaysia sangat mengambil berat mengenai kemiskinan kerana masalah kemiskinan yang utama ialah di kawasan luar bandar yang melibatkan masyarakat Melayu. Dengan melihat struktur kerja dan tahap pendapatan kelompok ini yang rata-ratanya berkaitan dengan pertanian, mereka menerima pendapatan yang sedikit disebabkan polisi pihak British yang mengamalkan pendekatan “pecah dan perintah.” Kerajaan pernah memperkenalkan Revolusi Hijau bagi menambahkan pengeluaran beras berasaskan pengenalan penanaman padi dua kali setahun dengan menggunakan benih yang berhasil tinggi, bahan kimia, sistem pengairan dan alat jentera.

Istilah Revolusi Hijau merujuk kepada perubahan yang berkaitan pengetahuan teknologi pertanian makanan bijian baru yang mula diperkenalkan di negara-negara Dunia Ketiga pada tahun 1960-an. Para petani di kawasan Revolusi Hijau telah mendapat faedah daripada projek ini seperti di kawasan pengairan Muda di Kedah dan Perlis. Antara tahun 1965 dan 1975, pendapatan petani di kawasan ini telah meningkat sebanyak 2.4 kali ganda (Jomo, 1991).

Usaha kerajaan bagi membasmi kemiskinan secara besar-besaran dimulakan dengan Dasar Ekonomi Baru dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) yang menyatakan salah satu objektifnya ialah pembasmian kemiskinan. Matlamatnya ialah mengurangkan kadar kemiskinan daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 16.7 peratus pada tahun 1990 (Malaysia,1973:73).

Malaysia adalah antara beberapa buah negara membangun yang dikatakan telah berjaya mengurangkan kemiskinan. Sepanjang tempoh DEB, sejumlah RM329,000 juta telah diperuntukkan untuk pembasmian kemiskinan yang meliputi Rancangan Malaysia Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima. Perbelanjaan ini meliputi 73.1 peratus daripada perbelanjaan pembangunan kerajaan bagi tempoh berkenaan (Malaysia, 1989).

Proses pelaksanaan dasar dan strategi pembasmian kemiskinan lebih banyak melalui proses “atas-bawah” yang melibatkan perancangan dan pelaksanaan agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, kementerian-kementerian dan agensi-agensi di bawahnya, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Daerah (Chamhuri Siwar, 1995). Kerajaan menubuhkan beberapa agensi bagi menggerakkan usaha pembasmian kemiskinan seperti FELDA (Federal Land Development Authority), FELCRA (Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority) dan RISDA (Rubber Industry Smallholders Development Authority).

Di samping itu beberapa program khusus yang lebih terancang telah dilaksanakan oleh kerajaan dengan tumpuan kepada masyarakat luar bandar. Salah satu daripadanya Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diperkenalkan pada tahun 1989. PPRT telah diwujudkan khusus untuk membantu golongan miskin seramai 107,000 orang di seluruh negara (Mohd Taib Haji Dora, 2000). Sebanyak RM600 juta telah diperuntukkan bagi program ini dengan matlamat membantu keluarga termiskin di seluruh negara berdikari dan menjayakan diri dalam arus pembangunan negara. PPRT melibatkan enam buah kementerian yang dikoordinasi oleh Jabatan Perdana Menteri.

Kerajaan negeri turut membantu menjayakan projek-projek sosioekonomi PPRT melalui agensi negeri masing-masing seperti DARA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, PERDA, KEDA dan JENGKA. Mohd Taib (2000) menjelaskan bahawa tiga agensi kerajaan yang aktif memberi bantuan ialah KEMAS (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Baitulmal (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan). Setiap agensi ini mempunyai kumpulan sasar masing-masing seperti Baitulmal yang memberi fokus kepada golongan fakir manakala KEMAS dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia memberi bantuan kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM300 sebulan sebagai sasaran.

Melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) 2006-2010, kerajaan bertekad mengurangkan kemiskinan daripada 5.7 peratus kepada 2.8 peratus pada tahun 2010. Sebanyak RM11.52 bilion diperuntukkan iaitu RM4.46 bilion untuk membasmi kemiskinan dan RM7.06 bilion lagi bagi menyusun semula masyarakat.

Kemiskinan tegar akan dikurangkan melalui peluasan program berpakej di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) seperti Program Peningkatan Ekonomi, Pogram Pembangunan Infrastruktur Asas dan Program Pembangunan Insan kepada kumpulan sasar bagi membangunkan modal insan dan bina upaya (Malaysia, 2006: 373).

Walaupun sukar menghapuskan kadar kemiskinan umum, pengurangan daripada 8.5 peratus (1999) kepada 5.7 peratus (2004) adalah sesuatu yang membanggakan. Matlamat mengurangkan kemiskinan tegar daripada 1.9 peratus pada 1999 kepada 1.2 peratus pada 2004 seterusnya kemiskinan tegar sifar akan menjadi kenyataan jika dilihat kepada peruntukan kewangan dan program yang dirancang oleh kerajaan. Tekad dan azam kerajaan untuk mencapai kadar kemiskinan 2.8 peratus selepas berakhirnya tempoh RMK-9 dilihat akan menjadi kenyataan.

Penambahan peruntukan bagi membasmi kemiskinan dalam jangka masa panjang mengikut jangka masa rancangan menterjemahkan usaha membasmi kemiskinan sentiasa menjadi perhatian istimewa pihak kerajaan.

Semasa membentangkan RMK-9 di Dewan Rakyat, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi menegaskan bahawa program pembasmian kemiskinan akan ditumpukan kepada usaha bina upaya dalam kalangan golongan miskin dengan menambah baik akses kepada pendidikan dan kemahiran, memupuk nilai positif serta membina keyakinan dan motivasi diri.

No comments:

Post a Comment