Tuesday, January 10, 2017

Santai bersama Firdaus Wong







Firdaus Wong Wai Hung merupakan seorang pengasas dan presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) yang aktif dalam menganjurkan pelbagai program dakwah kepada bukan muslim di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

Beliau juga tersenarai sepuluh calon terbaik Anugerah Tokoh Dakwah Negara kategori Saudara Kita (2015) serta pernah mengacara program “Tetamu Masjid China” dan “ Dialog Harmoni” di TV Al-Hijrah.

Selain itu, pernah menjadi panelis bagi program “Himpunan Murabbi” di Astro Oasis dan program rancangan Persepsi & Pentas Dakwah di TV Al-Hijrah.

Daripada ceramah oleh Ustaz Firdaus Wong, apa yang dapat dirumuskan adalah meskipun Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama tetapi masyarakat saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Hal ini terbukti daripada kata beliau bahawa selepas memeluk Islam, kebanyakan masyarakat menyokong keputusan dan membantu beliau untuk mendalami agama Islam. Inilah budaya yang dikehendaki untuk membangunkan sebuah negara yang harmoni dan bersatu-padu.

Seterusnya, program yang dianjurkan seperti ini, dapat menyedarkan golongan muda yang mudah terpengaruh dengan idoelogi daripada kumpulan tertentu yang akan memesongkan akidah mereka dan seterusnya menyebabkan mereka murtad atau keluar daripada agama.

Selain itu, kepelbagaian etnik yang terdapat di Malaysia juga kaya dengan budaya dan cara hidup tersendiri yang telah diamalkan sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Disebabkan itu, pada pendapat beliau, ada sesetengah adat itu tidak sesuai untuk diamalkan oleh umat Islam di Malaysia kerana majoriti daripad adat yang diamalkan oleh orang Melayu datangnya daripada adat agama Hindu yang diamal oleh penduduk Tanah Melayu sebelum datangnya Islam.

Malahan adat tersebut tidak terdapat dalam al-quran dan hadis meskipun sesetengah masyarakat Islam di Malaysia menganggap adat ini sebagai sebahagian daripada adat agama. Oleh itu, para muslim haruslah sedar dan mengkaji semula adat-adat yang mereka lakukan, adakah salah dari segi agama atau tidak.

Akhir sekali, untuk mewujudkan suasana aman dalam sesuatu komuniti yang berbilang kaum, masyarakat perlulah bersikap toleransi dan tidak menanamkan sikap suka akan mencetuskan perbalahan.

Hal ini kerana, kemakmuran tidak dapat diperoleh apabila sesetengah kaum yang bersikap toleransi, tetapi semua rakyat Malaysia harus memainkan peranan dalam membentuk keharmonian negara. Maka, kita sebagai rakyat Malaysia harus menyemai nilai-nilai positif dalam diri masing-masing agar peristiwa gelap 13 Mei 1969 yang menyebabkan banyak pertumpahan darah tidak akan berulang kembali pada masa akan datang.


Post a Comment