Thursday, January 05, 2017

Kepentingan status halal







Menyediakan makanan halal menjadi keperluan syarikat-syarikat makanan di Malaysia. Tujuannya supaya syarikat ini mendapat sijil pengesahan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Oleh kerana prosedur halal yang ditetapkan oleh Jakim sangat teliti dan merangkumi pelbagai sudut, sijil halal ini telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dan diyakini. 

Antara negara yang mendapat khidmat nasihat dan kepakaran halal ialah Jepun. Negara itu akan menganjurkan SUkan Olimpik 2020 nanti dan menyediakan pelbagai jenis makanan halal merupakan salah satu keutamaan mereka.

Kesungguhan kerajaan Jepun mendapatkan status halal bagi penyediaan makanan di negara itu dilihat dari kesungguhan mereka menghantar pegawai dan tukang masak untuk mengetahui selok-belok status halal yang dimaksudkan oleh Jakim. Kita dapat melihat kesungguhan ini dalam Youtube yang mana proses mengenal pasti kehalalan makanan dan penyediaan makanan halal ditunjukkan.

Di Malaysia, mendapat sijil halal daripada Jakim adalah satu kebanggaan dan penghormatan. kerana kesukarannya. Status halal tersebut boleh digunakan di banyak negara dan menjadi pintu masuk kepada pelbagai jenis barangan makanan.

Status halal juga menjadi penting dalam pasaran domestik Malaysia kerana lebih separuh daripada penduduk negara ini pun mengutamakan makanan halal. Malah mereka lebih menekankan kesucian dan keberkatan. 

Jika status halal ditarik balik dan disiarkan di media, barangan berkenaan mungkin dipulaukan dan akhirnya ditarik dari pasaran.

Dalam kes yang melibatkan sebuah syarikat pembuat coklat terkenal, pengesahan tidak halal ke atas salah satu coklat syarikat itu (biarpun dibuat oleh pihak lain) telah mengundang keresahan masyarakat awam. Coklat syarikat berkenaan mengalami penurunan jualan yang serius sehingga memaksa syarikat membuat penafian melalui  pelbagai saluran media dan membuat satu iklan khas yang menerangkan keadaan sebenar.

Syarikat itu juga menerima pelbagai saranan untuk mengembalikan keyakinan orang ramai di samping mengambil inisiatif menjemput tokoh-tokoh agama Islam untuk membuat lawatan ke kilang pengeluaran coklatnya.

Isu halal bukannya isu kecil di Malaysia. Ia boleh menaikkan sesuatu produk dan pada masa yang boleh meruntuhkan sebuah empayar perniagaan. Justeru, amat baik bagi kita untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal di samping mengenal pasti semua proses yang terlibat dalam penyediaan makanan halal dipatuhi sepenuhnya.


1 comment: