Friday, January 20, 2017

Strategi kejiranan berbilang kaum







Zainudin M.Z, Nor Muhammad Firdaus Shamsuddin, Amir Rasyid Rahimi Abd Rashid, Muhammad Hafiz Mohd Johan, Mohd Dannial Mohd Fadly, Mohd Haziq Ashraf Abd Rashid

1.0 Pendahuluan

Dalam sesebuah kejiranan boleh terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan etnik berbeza. Kehidupan bermasyarakat tidak terlepas daripada amalan hidup secara berjiran. Lazimnya Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, tradisi hidup berjiran sudah sinonim sejak sekian lama. Perbezaan bangsa, agama, adat dan budaya tidak seharusnya dijadikan sempadan untik memisahkan atau membina benteng daripada amalanhidup sesama jiran tetangga.

Kawasan kejiranan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka dipilih sebagai kawasan kajian ini. Kejiranan ini terdiri daripada pelbagai jenis masyarakat berbilang kaum seperti bangsa Melayu, India dan Cina. Taman Tasik Utama didiami oleh lebih kurang 200 orang penduduk. Penduduk yang terdiri daripada pelbagai bangsa saling menyambut satu sama lain. Contoh yang baik bagi mencontohi masyarakat yang bersatu padu kendatipun masing-masing merupakan masyarakat yang berbeza kaum. Sekitar kawasan kejiranan didiami oleh majoriti masyarakat Melayu. Jiran bersebelahan merupakan bangsa India atau Cina. Namun begitu, mereka berkomunikasi dengan sangat ramah dan saling menghormati satu sama lain.

1.1 Objektif  Kajian

     1. Mengkaji tahap keserasian penduduk di sesebuah kawasan kejiranan yang berbilang kaum.
     2. Menambahkan pengetahuan tentang konsep sebenar keharmonian kejiranan.
     3. Mengkaji kekerapan interaksi merentas kaum di dalam sesebuah kawasan kejiranan.
     4. Mengkaji kesepaduan masyarakat yang berbilang kaum di sesebuah  kawasan kejiranan.

2.0 Sorotan Literatur

Berdasarkan kajian Latiffah Pawanteh (1989) iaitu Program Kegiatan Semagat Kejiranan merupakan satu strategi komunikasi antara budaya bagi mewujudkan pentas interaksi di peringkat mikro iaitu di dalam komuniti pelbagai etnik. Program tersebut berpotensi untuk menggalakkan interaksi di peringkat antara peribadi secara bersemuka tentang pelbagai perkara termasuk perkara-perkara yang dihadapi setiap hari, ciri-ciri perayaan budaya tempatan dan lain-lain.

Program Kegiatan Semangat Kejiranan ini adalah untuk memupuk nilai kejiranan dan menekan ciri persamaan yang wujud dalam kalangan etnik yang boleh dijadikan sebagai ramuan penting dalam komunikasi antarabudaya. Pengetahuan umum seumpama itu apabila ditokok tambah dengan pengetahuan khusus tentang sesuatu budaya boleh menjadikan seseorang itu celik budaya. Sifat itu memudahkannya untuk bergaul dengan individu daripada mana sekalipun.

Program tersebut berpotensi untuk menggalakkan interaksi di peringkat antara peribadi secara bersemuka tentang pelbagai perkara termasuk perkara-perkara yang dihadapi setiap hari, ciri-ciri perayaan budaya tempatan,hal kesihatan, khidmat kebajikan masyarakat dan sebagainya. Ia juga merupakan penghubung antara komuniti-komuniti berhampiran.

Sememangnya wujud masalah buruk sangka etnik yang telah menjejas komunikasi antara kumpulan tertentu. Apabila gejala tersebut wujud, tidak ada kepakaran budaya yang mampu menjadikan komunikasi sebagai suatu proses yang positif.

Oleh itu, Program Kegiatan Semangat Kejiranan yang berhasrat untuk memupuk nilai kejiranan perlu mengenal pasti dan menekankan ciri persamaan yang wujud dalam kalangan etnik yang boleh dijadikan sebagai ramuan penting dalam komunikasi antarabudaya.Pengetahuan serta pengawalan keatas ciri-ciri persamaan ini bukanlah satu isu falsafah tetapi perkara amali. Pengetahuan umum seumpama itu apabila ditokok tambah dengan pengetahuan khusus tentang sesuatu budaya boleh menjadikan seseorang itu celik budaya. Sifat itu memudahkannya untuk bergaul dengan individu daripada mana budaya sekalipun.

Hubungan kejiranan mampu mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Ia juga boleh membentuk satu jaringan komuniti yang paling sempurna. Hubungan kejiranan ini juga turut mewujudkan interaksi sosial yang sempurna dan mampu menggalakkan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

Jika disebut perkataan jiran sudah pastilah, makna mudahnya iaitu orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga. Hubungan kejiranan ini penting kerana ia melibatkan kerjasama dalam segala aspek khususnya aspek keselamatan setempat.

Kajian yang dilakukan oleh Sheau (dalam Mohd Yusof Hussain, 2011) mendapati komuniti yang menyerlah dan bersatu-padu sentiasa dikaitkan dengan norma saling mempercayai dan bantu membantu antara jiran. Bagi penduduk “urban village” hubungan kejiranan ini dilihat sebagai penentu kepada kesejahteraan penduduk di kawasan tempat tinggal mereka. Hubungan kejiranan yang mesra memghasilkan tahap kepercayaan sesama mereka yang lebih tinggi daripada kejiranan yang kurang mesra. Ini jelas menunjukkan hubungan kejiranan adalah penting dalam membentuk perpaduan. Hubungan kejiranan yang baik ini boleh dizahirkan menerusi sumbangan penduduk melalui aktiviti yang dijalankan secara bersama seperti gotong-royong dan sebagainya.

Selain itu, menurut Nur Jasmine (2008), interaksi di antara komuniti dan persekitarannya adalah kompleks dan boleh diteliti melalui konsep kebolehdiaman. Oleh itu, hubungan kejiranan yang baik dan berkualiti adalah amat mustahak bagi membolehkan penghuninya menjalankan kehidupan yang baik dan sempurna. Hasil kajian yang dilakukan oleh beliau ini jelas menunjukan interaksi sesama penduduk adalah penting dalam menjamin kesejahteraan penduduk. Penduduk yang berinteraksi dengan jirannya boleh membentuk sebuah masyarakat sempurna dan berkualiti, maksudnya di sini mereka mampu untuk duduk bersama dan berbincang. Ini secara tidak langsung telah dapat membentuk modal sosial yang berkualiti (Sheau, 2006).

Kajian Salmi (2006) pula menunjukkan bahawa hubungan kejiranan yang baik ini mampu untuk meningkatkan kestabilan dalam politik, mengurangkan kadar jenayah, menjana pembangunan ekonomi serta dapat menjaga kebajikan sosial masyarakat. Beliau menegaskan bahawa hubungan kejiranan ini mampu untuk meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk.

Sekaitan dengan hal tersebut Forrest (2001) berpendapat, hubungan kejiranan boleh membina kepercayaan dan meningkatkan pemahaman khususnya kepada golongan muda tentang perasaan hormat-menghormati sesama sendiri. Memenangi hati golongan muda adalah penting kepada usaha meningkatkan semangat kejiranan. Di sini mereka boleh belajar cara bertoleransi dan bekerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.

Semangat kejiranan yang tinggi boleh dikaitkan dengan jaminan keselamatan. Hasil kajian yang dilakukan oleh Sheau (2006) telah menunjukkan bahawa mereka yang sering berasa tempat tinggal mereka selamat akan mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap jiranjirannya. Di sini, jelaslah bahawa peranan jiran amat penting dalam menjamin keselamatan penduduk di sesuatu kawasan. Beliau juga turut mencadangkan bahawa mewujudkan suasana jiran yang bersatu-padu mampu mengurangkan indeks jenayah di samping dapat menghasilkan lebih banyak modal sosial di kawasan kejiranan. Tambahan pula modal sosial ini sebenarnya terbentuk melalui interaksi sosial dalam sesuatu komoniti. Beliau turut melihat bahawa jaringan sosial ini dapat membantu masyarakat setempat untuk berurusan dengan organisasi tempatan yang diwujudkan, membina masyarakat yang rela memberi sumbangan, boleh bersosial secara tak formal serta boleh mewujudkan kesejahteraan sosial. Semua ini adalah penting dalam memberi jaminan keharmonian kepada semua penduduk “urban village”.

3.0 Metodologi

Setiap ahli kumpulan telah diberikan sekurang-kurangnya empat helai borang kaji selidik bagi diedarkan kepada setiap responden. Ahli kumpulan terdiri daripada lima orang. Setiap ahli perlu berinteraksi dengan sekurang-kurangnya empat orang responden bagi mendapat 20 orang responden berbeza dari lima kawasan kecil berbeza dalam kawasan kejiranan tersebut.

Sesi temu bual dijalankan oleh setiap ahli kumpulan terhadap beberapa orang penduduk terpilih di kawasan kejiranan yang dikaji. Sesi ini dijalankan dalam jangka masa lima minit. Soalan yang diajukan kepada responden adalah berkenaan dengan pergaulan mereka dengan jiran yang berbeza kaum dan agama.

Borang soal selidik sebanyak 20 helai diedarkan kepada 20 orang responden berbeza yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Borang diisi sendiri oleh responden mengikut kepada pandangan jujur dalam diri masing-masing. Respons berdasarkan empat orang direkodkan bagi mengumpulkan bukti kajian.

Lawatan selama dua hari diadakan yang disertai oleh setiap ahli kumpulan kekawasan kejiranan kajian bagi melaksanakan kaji selidik. Setiap ahli kumpulan telah dipecahkan kepada beberapa kawasan merangkumi seluruh kawasan kejiranan bagi melaksanakan kaji selidik ke atas beberapa orang penduduk.

4.0 Hasil Kajian
             
Hasil kajian ini menunjukkan tahap keserasian yang tinggi bagi setiap penduduk di kawasan kejiranan Taman Tasik Utama yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Mereka saling menghormati dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Masyarakat ini juga sanggup memberikan kerjasama yang padu dalam membantu kami mendapatkan hasil kajian yang tepat dan berguna.
             
Penduduk Taman Tasik Utama juga saling berinteraksi antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan kaum dan agama masing-masing. Beberapa orang penduduk akan melawati kawasan taman permainan berhampiran dan boleh dilihat ramai kanak-kanak daripada kaum berbeza bermain bersama-sama tanpa diskriminasi terhadap rupa, agama dan kaum. Ibu bapa juga saling berborak dan bergelak ketawa sesama sendiri sambil melihat kerenah anak-anak mereka.
             
Selain itu, penduduk Taman Tasik Utama sangat aktif melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan.Sebagai contoh, Rukun Tetangga Taman telah ditubuhkan di kawasan kejiranan Taman Tasik Utama bagi membentuk satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini boleh dikatakan telah berjaya melibatkan semua penduduk sebagai ahli.  Justeru melalui Pertubuhan Rukun Tetangga Taman, masyarakat setempat akan lebih berasa bertanggungjawab dalam melindungi dan mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat melahirkan individu yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
           
Oleh itu, masyarakat di seluruh Malaysia haruslah mengambil contoh dan iktibar daripada masyarakat penduduk di Taman Tasik Utama bagi membina sebuah negara yang lebih harmoni dan sejahtera.

5.0 Rumusan

Keharmonian bukan sahaja membawa maksud sejahtera tetapi dalam konteks ini, memberi kepada maksud kesepaduan dalam sesuatu masyarakat di Malaysia. Penduduk Taman Tasik Utama merupakan antara contoh terbaik dalam mencontohi masyarakat berbilang bangsa yang saling menghormati dan saling menghulukan tangan pada yang memerlukan.

Kawasan perumahan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka didiami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Walaupun terdiri daripada masyarakat berbeza kaum dan berbilang bangsa, mereka hidup dalam masyarakat yang sangat harmoni dan saling menghormati. Sikap bertolak-ansur, hormat-menghormati antara jiran tetangga harus sentiasa berada di dalam jiwa nyawa setiap masyarakat demi memupuk semangat kejiranan yang kukuh. Setiap bangsa menghormati bangsa lain terutamanya pada hari perayaan. Mereka kekadangnya berkongsi makanan tradisional masing-masing, kanak-kanak mereka sentiasa saling bermain sesama lain.

Cadangan untuk meningkatkan semangat kejiranan adalah mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat, lebih kerap dalam mengadakan pelbagai majlis keraian seperti majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini.

Dalam masa yang sama sikap dan persepsi Penduduk di kawasan Taman Tasik Utama perlu berubah. Mereka hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh mereka demi memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam diri setiap penduduk.


Rujukan

wikipedia.com.
Forrest R, Kearns A. (2001). Social cohesion, social capital and the neighbourhood. Urban Studies 38(12), pp. 2125–2143.

Latiffah Pawanteh. (1989). Program kegiatan semangat kejiranan: satu strategi komunikasi antara budaya ke arah perpaduan masyarakat. Jurnal Komunikasi; Malaysian Journal of Communication, 5, pp. 15-22.

Mohd Yusof Hussain, Mohamad Shaharudin Samsurijan, Suraiya Ishak, Abd. Hair Awang. (2011). Hubungan kejiranan dalam membentuk kesejahteraan hidup masyarakat ‘kampung bandar’: Kes Kampung Berjaya dan Kampung Mempelam, Alor Setar, Malaysia. Malaysian Journal of Society and Space 7, 3. pp 36 - 44.

Nur Jasmine Lau Leby. (2008). Residents’ perception of liveable neighbourhood environment in Subang Jaya, Selangor, Malaysia. (Master sains thesis). Universiti Putra Malaysia.

Salmi V. (2006). The association between social capital and juvenile crime: The role of individual and structural factors. European Journal of Criminology 3(2), pp. 123–148.

Sheau Tsuey Chong. (2006). It takes a village to raise a child: Building social capital in safe and cohesive neighbourhood. Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





No comments:

Post a Comment