Tuesday, January 24, 2017

Pakaian tradisional Melayu memupuk perpaduan kaum







Zainudin MZ, Nur Aini Shakinah Mohd Sharif, Nur Amalia Jasmi, Aimi Zamriah Abdullah, Nur Azlina Azli, Nur Shafiqah Ramlan, Nurul Amilia Shafa’Ai


1.0  Pengenalan

Setiap kaum yang terdapat di Malaysia mempunyai warisan kesenian masing-masing yang wujud sejak dari zaman dahulu lagi. Salah satu warisan kesenian yang diwarisi sejak zaman dahulu sehingga sekarang adalah pakaian tradisional. Pakaian merupakan salah satu simbol budaya yang menandakan perkembangan dan pengkhususan budaya tertentu. Pakaian juga menjadi lambang bagi pemikiran masyarakat, termasuk pakaian tradisional Melayu. Pakaian tradisional Melayu terdiri daripada pakaian harian dan pakaian adat. Bagi orang Melayu itu sendiri, pakaian selain berfungsi sebagai penutup aurat serta pelindung tubuh dari keadaan cuaca seperti panas dan hujan, ia juga memberi isyarat lambang-lambang. Lambang-lambang itu mewujudkan nilai-nilai luhur yang disanjung tinggi oleh masyarakat Melayu itu sendiri.

Kini, masyarakat Melayu dengan pakaian tradisionalnya seperti baju Melayu bagi kaum lelaki, baju kurung dan baju kebaya bagi kaum perempuan menjadi tradisi dan masih dipakai sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun istilah ini akhirnya disebut selengkapnya ‘Baju Melayu’ dan telah menjadi ciri khas masyarakat Melayu. Konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, ‘kurung’ membawa maksud sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Ikuti kupasan yang lebih mendalam lagi yang akan dikupas berkaitan persepsi pelbagai etnik terhadap pakaian tradisional Melayu.

1.1 Definisi

Hasil carian menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pakaian didefinisikan sebagai sesuatu yang dipakai seperti baju, seluar, kasut dan sebagainya manakala tradisional bermaksud bersifat atau mengikut tradisi. Sebagai contoh, masyarakat yang mengamalkan cara hidup yang turun-temurun atau ketradisionalan keadaan.

1.2 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui jenis-jenis pakaian tradisional Melayu, mengetahui peranan pakaian tradisional Melayu dalam memupuk perpaduan etnik Malaysia dan meninjau persepsi masyarakat pelbagai kaum terhadap potensi pakaian tradisional Melayu terhadap kesepaduan sosial di Malaysia.


2.0 Sorotan Literatur

Pakaian Melayu terus berkembang sepanjang abad ke-6 ketika Kedah menjadi pusat perdagangan. Penduduk di kawasan Kedah mengamalkan memakai kain sarung dengan cara berkemban tanpa baju. Ketika kerajaan Melayu Melaka berkembang, reka bentuk pakaian Melayu terdiri daripada tiga bentuk penting, iaitu kain sarung, baju dan kain ikat kepala. Kerajaan Melayu Melaka menjadi zaman kemuncak pakaian Melayu berubah dan seterusnya berkembang.

Pakaian tradisional mempunyai unsur-unsur kesenian yang tersendiri dan melambangkan fungsi yang tertentu. Pakaian adalah sebahagian hasil kraf tangan iaitu kerja pertukangan (tradisi) yang melibatkan persoalan teknik dan kepakaran seni (Lucie–Smitch, 1981). Disebabkan keunikan yang terdapat pada pakaian tradisional Melayu, lebih ramai masyarakat daripada kaum lain seperti Cina dan India memakai pakaian tradisional Melayu.

Dari alam persekolahan lagi pakaian tradisional Melayu telah digunakan. Pakaian seragam ini bukan sahaja untuk pelajar Melayu, malah pelajar dari kaum lain juga. Dengan adanya rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri kita dapat menggalakkan kaum bukan Melayu untuk memakai pakaian tradisional Melayu justeru menambahkan lagi semangat perpaduan antara masyarakat. Seterusnya, sesiapa sahaja boleh memakai pakaian tradisional Melayu kerana pakaian ini tidak menggambarkan agama si pemakai dan tidak bercanggah dengan setiap ajaran agama yang ada di Malaysia. Busana tradisional Melayu ini terbukti dapat menyatukan padukan kaum di Malaysia kerana tidak berlakunya provokasi dalam penerimaan untuk memakai pakaian tradisional Melayu. Kemudian pakaian tradisional ini dijadikan pakaian rasmi bagi majlis dan hari tertentu. Malahan, pakaian tradisional Melayu juga dijadikan pakaian kebangsaan bagi negara ini.


3.0 Metodologi Kajian

3.1 Reka Bentuk Kajian

Kajian ini dijalankan secara deskriptif. Bagi menjalankan kajian dan penyelidikan ini, aspek-aspek yang digunakan antaranya ialah cara pengumpulan data, menganalisis data dan penulisan laporan. Kaedah pemerhatian dan kaedah borang selidik dilakukan secara rawak di sekitar Melaka dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk memerhatikan kebiasaan dan pandangan masyarakat pelbagai etnik terhadap pakaian tradisional Melayu.

3.2  Sampel Kajian

Borang soal selidik telah diedarkan ketika tinjauan dan pemerhatian dilakukan. Sampel terdiri daripada responden di sekitar Melaka dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Seramai 25 orang pelbagai bangsa telah dipilih secara rawak bagi membantu untuk menjalankan kajian ini.

3.3  Instrumen Kajian

Kaedah yang sesuai dijalankan untuk mengumpul dan  menjayakan kajian ini ialah melalui soal selidik. Setiap pernyataan dalam soal selidik adalah piawai dan serupa kepada semua responden. Instrumen kajian menyediakan 12 soalan. Borang soal selidik tersebut terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian A berkaitan maklumat diri iaitu maklumat lelaki dan perempuan manakala Bahagian B mengandungi soalan berkaitan dengan pandangan dan pengetahuan masyarakat pelbagai etnik terhadap perpaduan yang dipupuk melalui pakaian tradisional Melayu.


 4.0 Hasil Kajian

4.1 Hasil Kajian Berdasarkan Borang Soal Selidik

Bahagian ini membincangkan keseluruhan hasil kajian yang dijalankan. Selain itu, rumusan akan dibuat mengenai pengaruh pakaian tradisional dalam memupuk perpaduan antara etnik di Malaysia. Terdapat dua bahagian iaitu Bahagian A: Latar Belakang Responden seperti jantina, status, keturunan dan agama serta lingkungan umur responden dan Bahagian B: Pandangan Responden Terhadap Pakaian Tradisional Melayu Mampu Memupuk Perpaduan.

Bahagian A: Latar Belakang Responden

Kajian ini mendapati sebanyak empat responden lelaki (16 peratus) berbanding responden perempuan seramai 21 orang (84 peratus). Peratusan responden Melayu yang paling tinggi (48 peratus). Hal ini kerana kaum Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia. Peratusan bagi responden Cina dan India adalah sama iaitu sebanyak 20 peratus dan responden lain mempunyai peratusan sebanyak 12 peratus. Responden yang beragama Islam sebanyak 52 peratus merupakan agama yang tertinggi daripada agama lain seperti agama Buddha, Hindu dan Kristian. Agama yang dianuti responden kedua terbanyak ialah Buddha diikuti Hindu dan Kristian.

Keturunan dan agama responden sangat penting untuk dititikberatkan kerana daripada pelbagai keturunan dan agama yang pelbagai itu yang mampu membentuk perpaduan antara satu etnik dengan satu etnik yang lain. Umur responden juga turut diberi perhatian. Sebanyak 57 peratus responden merupakan berumur dalam lingkungan 20 tahun ke bawah. Hal ini kerana kajian ini dilakukan sekitar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Oleh kerana itu, peratusan bagi umur lingkungan tersebut merupakan peratusan yang tertinggi. Kemudian diikuti pula dengan responden dalam lingkungan 21 tahun hingga 30 tahun sebanyak 37 peratus dan lingkungan 31 ke atas hanya sebanyak enam peratus yang merupakan peratusan paling sedikit. Oleh itu, pandangan daripada pelbagai etnik sangat diperlukan dalam kajian ini selaras dengan tajuk kajian iaitu ‘Pakaian Tradisional Melayu Memupuk Perpaduan Kaum’.

Bahagian B: Laporan Kajian

Majoriti responden pernah memakai pakaian tradisional Melayu kerana pakaian tradisional Melayu merupakan lambang kebangsaan. Kemungkinan juga para responden memakainya untuk ke majlis-majlis rasmi tertentu atau sebagai pakaian harian seperti ke kelas ataupun ke tempat kerja.

Responden yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan agama dapat menerima pakaian tradisional Melayu di Malaysia dan tiada dapatan yang memberi respons negatif terhadap penerimaan pakaian tradisional Melayu dalam kalangan keturunan Melayu dan keturunan lain. Sebanyak 16 peratus responden pula bersifat terbuka terhadap penerimaan pakaian tradisional Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa majoritinya semua keturunan dan agama dapat memberi respons yang positif terhadap penerimaan pakaian tradisional Melayu di Malaysia.

Sebanyak 68 peratus responden bersetuju sekiranya pakaian tradisional Melayu dijadikan sebagai tarikan pelancong manakala sebanyak empat peratus tidak bersetuju jika pakaian tradisional dijadikan sebagai tarikan pelancong di Malaysia. Sebanyak 28 peratus responden lagi berpendapat bahawa mungkin pakaian tradisional Melayu boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong ataupun tidak. Oleh hal yang demikian, kajian ini mendapati kebanyakan responden dapat menerima pakai bahawa pakaian tradisional Melayu dapat dijadikan sebagai tarikan pelancong di Malaysia.

Menceritakan tentang keunikan pakaian tradisional Melayu, terdapat 56 peratus responden berpendapat bahawa keunikan pakaian tradisional Melayu adalah kerana reka bentuk pakaiannya itu sendiri. Jenis yang pelbagai dan elemen kesopanan yang ditonjolkan pada pakaian tradisional tersebut menjadikannya suatu pakaian yang unik. Baki peratusan sebanyak 44 peratus pula berpandangan bahawa kelengkapan perhiasan setiap pakaian itu sendiri seperti butang baju, samping dan songkok yang menjadikan pakaian tradisional Melayu itu unik.

Kajian ini mendapati sebanyak 52 peratus responden berpendapat bahawa generasi akan datang akan tidak mengetahui mengenai pakaian tradisional sekiranya pakaian tradisional Melayu dilupakan. Sekiranya pakaian tradisional Melayu dilupakan, 40 peratus daripada responden mengatakan bahawa kita akan kehilangan warisan Melayu yang telah diperkenalkan sejak dari zaman dahulu kala lagi. Manakala seramai empat peratus bersetuju bahawa pakaian moden akan lebih banyak dihasilkan sekiranya pakaian tradisional Melayu itu dilupakan oleh masyarakat sejagat. Selebihnya 92 peratus responden bersetuju dengan mengatakan bahawa wajar bagi kaum bukan Melayu untuk memakai pakaian tradisional Melayu. Namun demikian, masih ada lagi lapan peratus responden mengatakan tidak wajar bagi kaum lain untuk memakai pakaian tradisional Melayu. Daripada peratusan kewajaran yang diterima oleh responden, kami menyimpulkan bahawa sememangnya wajar bagi kaum bukan Melayu untuk memakai pakaian tradisional Melayu bagi memupuk perpaduan antara etnik di Malaysia.  
                                  
Keseluruhannya menggambarkan bahawa sebanyak 54 peratus responden berpandangan bahawa peranan pakaian tradisional Melayu dalam memupuk perpaduan kaum etnik di Malaysia ialah pakaian tradisional Melayu menjadi lambang kebangsaan negara. Oleh disebabkan ianya menjadi lambang kebangsaan, jadi ia merupakan suatu yang lazim di negara kita iaitu Malaysia. Peratusan kedua tertinggi iaitu sebanyak 27 peratus responden berpendapat bahawa pakaian tradisional Melayu ini berperanan sebagai satu medium bagi memupuk perpaduan antara etnik di Malaysia kerana ia merupakan satu penghargaan antara satu kaum etnik dengan kaum etnik yang lain. Sebanyak 14 peratus responden pula mengatakan bahawa pakaian tradisional Melayu diterima pakai oleh semua kaum etnik secara holistik. Oleh yang demikian, perpaduan antara kaum etnik dapat dipupuk. Pakaian tradisional tidak lagi dianggap sebagai pakaian kaum tertentu tetapi turut dipakai oleh kaum lain selagi tidak mencemarkan atau salah di sisi agama mendapat perhatian sebanyak 5peratus daripada responden.


5.0 Kesimpulan

Melalui kajian ini, dapat dirumuskan bahawa baju tradisional Melayu masih lagi relevan seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara pada hari ini. Walaupun reka bentuk dan kelengkapan perhiasan busana Melayu berubah mengikut peredaran zaman dan kehendak pemakai, namun baju tradisional Melayu mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang membolehkan kita mengenal pasti perbezaan antara busana itu dengan pakaian biasa. Pemakaiannya yang tidak mempunyai had masa atau tempat merupakan faktor terbesar yang menyumbang kepada penerimaan kaum-kaum di Malaysia terhadap baju tradisional Melayu.

Pakaian tradisional Melayu memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat perpaduan antara kepelbagaian etnik di Malaysia. Hal ini dapat dibuktikan melalui pemakaian baju tradisional Melayu oleh kaum lain dalam kehidupan seharian tidak mengira tempat dan masa. Menerusi borang soal selidik, kita dapat lihat lebih dari separuh responden menyatakan mereka pernah memakai baju tradisional Melayu, menjadi bukti bahawa busana Melayu tidak hanya boleh dipakai oleh bangsa Melayu sahaja.

Kini, baju tradisional Melayu bukan sahaja dilihat sebagai lambang kebangsaan, malah tidak lagi dianggap sebagai pakaian yang hanya boleh dipakai untuk majlis keagamaan sahaja. Masyarakat Malaysia kelihatan selesa tatkala menggayakan busana Melayu tanpa kira agama mahupun bangsa.

Akhir kata, pemakaian pakaian tradisional Melayu antara masyarakat majmuk di Malaysia boleh menyuntik semangat perpaduan dan muhibah. Pakaian ini haruslah dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman. Oleh itu, kerajaan harus mengisytiharkan satu hari khas untuk mewajibkan para pekerja bagi mengenakan pakaian tradisional Melayu. Selain itu, pihak-pihak terlibat perlu menganjurkan festival pakaian tradisional Melayu. Pakaian juga menjadi kayu ukur kemajuan bagi sesebuah negara. Negara yang maju tidak akan melupakan warisan nenek moyang mereka semata-mata untuk mengejar kemewahan dan kesohoran di mata dunia.


Rujukan

Crawfurd, O. G. S. 1912. The Distribution of Early Bronze Age Settlements in Britain,
Geograpical Journal, 40: 184-203.
Lucie, S.E. (1981). The Story of Craft. Oxford: Phaidon Press.
Shamsul Amri Bharuddin. (2012). Modul Hubungan Etnik. K. Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
Siti Zainon Ismail. (2006). Pakaian Cara Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan             Malaysia.
Siti Zainon Ismail. (1985). Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wheatley, P. (1966). The Golden Khersonese, Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsular – Before A.D. 1500. K. Lumpur: University Malay Press.
Zurina Majid. (1985). Masyarakat Malaysia, Edisi II. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

http://zegaugustin1228.blogspot.my/2012/04/pakaian-tradisional-malaysia.html
https://mazlan66.wordpress.com/2008/03/16/kepentingan-budaya-tradisonal-kita/

1 comment:

  1. terimakasih, artikelnya sangat bermanfaat sekali. jangan lupa umtuk mengunjungi kami di Toko Baju Drumband Di Surabaya

    ReplyDelete