Wednesday, January 04, 2017

Rasuah dan habuan







Penahanan Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian di Putrajaya baru-baru ini kerana salah guna jawatan dan kedudukan untuk menerima rasuah mendedahkan bahawa agensi penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mahu lagi memberi ingatan kepada perasuah tegar dalam sektor awam di negara ini.

Bersama-sama tangkapan ini adalah beg berjenama dan jongkong emas yang merupakan sebahagian daripada aktiviti rasuah yang dianggarkan bernilai hampir RM3 juta. Bagi membawa perasuah dan penerima rasuah ke muka pengadilan, sudah tentu SPRM telah membuat risikan dan mengumpul bukti. Seterusnya persetujuan Peguam Negara amat dihargai bagi membanteras kegiatan yang merosakkan masyarakat ini.

Kemunculan kes-kes rasuah berprofil tinggi akhir-akhir ini berkait rapat dengan aktiviti rasuah yang sudah menular dan berakar umbi dalam sektor awam tanpa disiasat atau dihukum.

Secara tidak langsung, desakan rakyat untuk melihat gejala rasuah dalam sektor awam di negara ini kini diberi perhatian oleh kerajaan. Hal ini adalah kerana impak rasuah dalam sektor awam bakal memusnahkan produktiviti dan menggugat imej kerajaaan.

Apakah punca yang menyebabkan individu yang berjawatan cenderung melakukan rasuah tanpa merasai apa-apa kesalahan?

Dalam keadaan biasa, kita memberi dan menerima perkhidmatan atau membeli barang disebabkan nilai dan kos tanpa ada apa-apa keinginan hendak mendapat lebih banyak. Namun, pertukaran ini dikaitkan dengan kuasa dan pengaruh seterusnya ia mampu mengawal orang ramai.

Punca kepada masalah rasuah adalah pada soalan ini iaitu kenapakah seseorang menerima rasuah?

Barangkali kerana pelbagai faktor seperti tahap pendapatan yang rendah dan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan hidup, rasa hebat dengan menerima rasuah dan habuan, ingin mencuba seterusnya menjadi ketagih dan sudah tidak ada pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan.

Justeru, wang atau habuan sentiasa disambut dan meletakkan nilai-nilai moral di belakang.

Bidang pekerjaan yang mudah terdedah kepada rasuah adalah perubatan, kehakiman dan pentadbiran. Dalam lain perkataan, mereka ini yang terlibat secara langsung  mempengaruhi orang ramai dan kehidupannya. Seorang ahli politik yang berpengaruh lebih mudah terdedah kepada amalan rasuah dan boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka sebaik sahaja orang ramai meletakkan kepercayaan kepadanya.

Untuk memahami bagaimana sesetengah orang lebih mudah menjadi sasaran perasuah, kita wajar melihat kembali sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Justeru, generasi kita adalah generasi yang dirosakkan oleh materialisme, tidak berupaya menahan diri daripada menerima habuan untuk faedah sementara.

Jadi, bagaimana kita boleh menahan diri daripada usaha rejim baru dunia- kapitalisme, daripada merosakkan nilai dan moral generasi muda kita?


No comments:

Post a Comment