Wednesday, January 11, 2017

Dialek dapat menyatupadukan masyarakat antara negeri: kajian kes di Melaka







Zainudin MZ, Ahmad Tarmizi Masketar, Arash Daniel Baharudin, Mohamad Nurhilmi Azma Che Abdul Malek, Muhammad Farhan Abu Bakar, Muhammad Zuldanish Syaddad Zulkifli


1.0 Pendahuluan

Kepelbagaian etnik merupakan satu perkara yang tidak asing lagi bagi penduduk di Malaysia. Secara tidak langsung, kita mempunyai pelbagai dialek-dialek yang tersendiri mengikut suku etnik di sini. Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita sepatutnya memelihara keaslian dialek-dialek tersebut. Sekiranya dialek dilupakan oleh generasi akan datang, pengetahuan generasi muda terhadap asal usul mereka akan luntur dan hilang.

Dialek secara istilahnya ialah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam sesebuah masyarakat atau komuniti bahasa. Dialek mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam sesuatu kawasan tertentu atau oleh suatu kumpulan penutur tertentu.

Terdapat lebih sepuluh juta masyarakat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai komunikasi harian mereka yang mana peratusannya ialah 54 peratus. Bahasa Melayu di Malaysia juga mempunyai pelbagai jenis dialek mengikut setiap negeri masing-masing. Secara umumnya, terdapat 11 dialek utama di Malaysia (kmn-mayang.blogspot.my).

Terdapat pelbagai kebaikan dan juga implikasi yang boleh didapati dari dialek-dialek yang ada di Malaysia. Oleh itu, kami telah membuat kajian tentang dialek dan bagaimana dialek-dialek ini dapat menyatupadukan masyarakat antara negeri di Malaysia.

1.1 Objektif Kajian

Berikut adalah merupakan beberapa objektif yang digariskan dan menjadi asas kepada kajian ini bagi memudahkan perjalanan dan perlaksanaan agenda bagi menyempurnakan kajian ini:

1.  Mengenal pasti latar belakang dialek-dialek yang dituturkan oleh pelbagai latar belakang masyarakat dan etnik di Malaysia.
2.  Mengkaji kesan kepelbagaian dialek dalam komunikasi antara masyarakat dan etnik di Malaysia.
3.  Mengkaji kesan pertuturan pelbagai dialek terhadap pembangunan politik, ekonomi dan sosial Malaysia.


2.0 Sorotan Kajian

2.1 Bahasa dan Dialek

Berdasarkan Kamus Dewan Bahasa edisi 4, bahasa bermaksud sistem lambang bunyi yang dipakai sebagai alat perhubungan. Bahasa juga merujuk kepada suatu percakapan yang baik serta sopan santun. Secara ringkasnya bahasa merupakan satu sistem simbol bunyi ucapan arbitrari yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi.

Dialek atau dikenali sebagai loghat dianggap tidak baku atau dipandang rendah. Dialek berasal daripada perkataan Yunani iaitu dialektos yang pada mulanya digunakan dalam hubungannya dengan bahasa serta perbezaan-perbezaan kecil dalam bahasa yang digunakan oleh penduduk, tetapi perbezaan itu tidaklah sehingga menyebabkan mereka merasakan mempunyai bahasa yang berbeza.

Menurut kamus The New Croller Webster International Dictionary of The English Language,  dialek bererti satu bentuk keragaman tertentu daripada suatu bahasa atau satu variasi daripada bahasa yang sama keluarganya.

Halliday (1968) membahagikan dialek kepada dua jenis, dialek daerah atau kawasan dan dialek sosial. Dialek daerah atau kawasan merupakan makna dialek yang sering digunakan oleh masyarakat. Contohnya, dialek Kelantan, dialek Utara, dialek Negeri Sembilan dan dialek Terengganu yang perbezaannya boleh diperhatikan dari segi kosa kata, sebutan dan tatabahasa. Perbezaan wujud dari segi leksikon atau perbendaharaan kata, sintaksis, morfologi, fonologi dan semantik. Tetapi ia masih boleh saling difahami kerana dialek-dialek atau perbezaan itu adalah mutually intelligible (Nik Safiah Karim, 1996).

Dialek sosial pula dikaitkan dari segi penggunaan. Bahasa mungkin berbeza mengikut kumpulan sosial dan situasi digunakan. Contohnya ketika majlis rasmi, bahasa formal akan digunakan. Manakala masyarakat cenderung menggunakan bahasa tidak formal dalam situasi biasa.

Beberapa faktor memungkinkan timbulnya dialek-dialek itu. Antaranya faktor politik, penjajahan, perdagangan serta masa. Ini tidak terkecuali faktor geografi. Penduduk di Kedah menuturkan bahasa yang berbeza dengan penutur di Kelantan walhal, asas kedua-dua bahasa itu sama.

Sebenarnya, sempadan negeri tidak sejajar dengan sempadan dialek. Kawasan di sekitarnya adalah titik pertemuan dua ataupun lebih dialek dan akan ditemukan kelainan bahasa yang menjadi campuran ciri-ciri daripada beberapa kawasan dialek itu. Menurut Asmah Haji Omar, dialek di Semenanjung Malaysia terbahagi kepada empat kumpulan utama iaitu: dialek bahagian utara iaitu dialek Kedah yang meliputi kawasan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Utara Perak, dialek Kelantan, dialek Terengganu dan dialek bahagian Selatan yang meliputi kawasan Johor, Melaka, Pahang, Selangor serta bahagian Tengah dan Selatan Perak.

Bagi dialek Negeri Sembilan, Asmah mengkelaskannya sebagai dialek yang berasingan dan juga merupakan asalnya dialek imigran dari Minangkabau di Sumatera. Ia kemudiannya telah meresap ciri-ciri tadi. Pengkelasan dialek Kedah pula yang meliputi beberapa negeri adalah berdasarkan sejarah serta geografi.

2.2 Kebudayaan dan Perpaduan

Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk menyatupadukan masyarakat yang berlainan dialek seperti melalui budaya. Kebudayaan mampu membentuk perpaduan dalam mencapai tiga matlamat utama pembangunan kebudayaan di Malaysia telah ditetapkan setelah penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada 1971.

Sebagai penduduk, masyarakat memerlukan kesejahteraan dan hidup bahagia. Sekiranya pembangunan sosioekonomi akan meningkatkan taraf hidup secara fizikal, maka kebudayaan dapat menjamin kebahagiaan jiwa atau rohani.

Perlu diingatkan bahawa kebudayaan harus dilihat dalam bentuk pengertian yang lebih luas, bukan yang hanya berpusat pada kegiatan seperti teater dan muzik. Kebudayaan dalam konteks yang lebih luas bermaksud nilai yang diterapkan kedalam diri melalui proses penghayatan berkesan dan mendalam.

Bidang kesenian memang disedari sebagai salah satu cabang budaya yang paling jelas sekiranya kita berbicara mengenai kebudayaan. Nilai-nilai yang terdapat dalam bidang kesenian mampu merapatkan titik pertemuan bagi mencapai perpaduan dan penonjolan identiti kebangsaan.

Oleh itu, kita sepatutnya berusaha untuk memperkukuhkan perpaduan antara kaum yang pelbagai di Malaysia kerana perpaduan boleh dicapai melalui program budaya dan aktiviti-aktiviti yang diwujudkan. Negara kita mempunyai nilai toleransi antara kaum yang tinggi. Dengan kekayaan budaya yang ada di Malaysia ini, pembinaan bangsa yang sejahtera dan bersatu menjadi lebih mudah dan cepat.

3.0 Hasil Kajian

3.1 Penemuan Hasil Kajian Berdasarkan Kajian Bersumber

Dialek-dialek tempatan di Semenanjung Malaysia sebenarnya adalah daripada Bahasa Melayu. Malah, dalam satu-satu dialek tempatan di Malaysia terdapat pula ideolek, iaitu kelainan pengucapan yang disebabkan oleh perbezaan individu dan kelainan stilistik. Hal ini terjadi kerana perbezaan konteks. Kesemua kelainan ini disebut sebagai dialek tetapi penuturnya masih dapat memahami pertuturan antara satu sama lain.

Sebagai contoh dialek yang dituturkan, di negeri Perak kecuali di Utara Perak. Kebiasaannya akhiran 'a' dalam sesuatu perkataan ditukar kepada 'e'. Contoh perkataan dan contoh kosa kata di dalam dialek Perak ialah ‘mereka’ menjadi ‘kome’, dan ‘awak’ menjadi ‘mike’. Contoh dari negeri yang lain, di Melaka, huruf ‘r’ di Melaka digantikan dengan huruf ‘u’ seperti perkataan ‘besar’ ditukar menjadi ‘besau’ (www.slideshare.net).

Dalam sesebuah negara, sikap kesepaduan antara rakyat merupakan akar umbi untuk membina sebuah komuniti yang bersatu. Kepelbagaian dialek antara faktor yang boleh menjadi katalis kepada perkara ini. Disebabkan dialek yang berbeza antara negeri, rakyat dapat mengenali dan belajar dialek negeri lain melalui komunikasi.

Perkara ini juga secara tidak langsung menyebabkan kepelbagaian budaya dan adat di Malaysia. Sebagai contoh, makanan tradisi orang Terengganu seperti keropok lekor dan nasi dagang dapat dikongsi bersama rakyat negeri lain. Contoh lain seperti tarian tradisional orang Kelantan iaitu makyong dan menoro boleh dipersembahkan kepada rakyat negeri lain. Maka, sikap kerjasama mudah diterapkan antara satu sama lain walaupun berlainan dialek. Jelaslah bahawa dialek ini dapat menyatupadukan rakyat antara negeri. (ms.wikipedia.org).

Pelbagai usaha perlu dijalankan bagi memartabat dan mengekalkan dialek negeri-negeri di Malaysia yang dilihat semakin kurang digunakan. Antara usaha tersebut termasuklah mewujudkan kelab dan kelas khas dialek asal negeri-negeri di Malaysia oleh institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti. Selain itu, kerajaan wajar membangunkan muzium bahasa yang mana akan menarik minat pengunjung untuk mengenal dan mendalami bahasa dan dialek sesebuah negeri. Agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka juga boleh menganjurkan program yang dapat memupuk semangat untuk mendalami dan mengekalkan dialek negeri-negeri di Malaysia.

3.2 Penemuan Hasil Kajian Berdasarkan Kaji Selidik

Berdasarkan hasil kajian melalui kaedah kaji selidik, dikemukakan beberapa soalan berkenaan kepada 69 responden dan dapat dirumuskan dengan menggunakan rajah berikut.

Rajah 1: Latar belakang responden

Berdasarkan Rajah 1, majoriti responden adalah pelajar UTeM.

Rajah 2: Initiatif untuk menyatupadukan masyarakat antara negeri yang berlainan dialek

Berdasarkan Rajah 2, majoriti responden menyokong initiatif mengagihkan pengambilan dan penyertaan pelajar ke negeri yang berjauhan dari negeri kelahiran mereka. Hal ini kerana, apabila pelajar diagihkan ke negeri berlainan secara pilihan, pelajar dapat mempelajari dialek negeri lain di samping dapat mengeratkan hubungan pelajar antara negeri.

Kesimpulannya, secara keseluruhan daripada maklum balas kaji selidik ini, boleh dirumuskan bahawa dialek dapat menyatupadukan masyarakat antara negeri dan majoriti masyarakat masih lagi menggunakan dialek negeri mereka sebagai bahasa pertuturan.


Rujukan

A. Aziz Deraman. (2005). Asas Pemikiran Kebudayaan Malaysia. Selangor: Penerbit Dawama.
Abdul Karim Adenan Ayob. (2009). Bahasa Kebangsaan. Selangor: Penerbit Oxford Fajar.
Halliday, M. (1968). Reading in the Sociology of Language: The users and Uses of Language, Mountain: The Hague.
Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi? Selangor: Penerbit PTS Professional Publishing.
Kamus Besar Bahasa Indonesia.
Kamus Dewan Bahasa edisi Empat.
Grolier. (1971). New Croller Webster International Dictionary of the English Language, Volume 1. New York.
Nik Safiah Karim, et al. (1996). Tatabahasa Dewan. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noriah Mohamed. (2009). Bahasa Melayu Kreol Chetti Melaka. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Rahim Aman. (2012). Bahasa Melayu Bahasa Universal. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bahasa Melayu di Malaysia, (kmn-mayang.blogspot.my).
Dialek Utara vs Bahasa Melayu Baku (www.slideshare.net).
Mak Yong (ms.wikipedia.org).






No comments:

Post a Comment