Wednesday, January 25, 2017

Perbezaan perpaduan sebelum dan selepas merdeka







Zainudin MZ, Faez Mohd Nasir, Muhammad Syafiq Abdul Rahman,
Amierul Fahmi Giman, Mohd Azfar Othman, Muhammad Nur Syahmi Anns
               

1.0 Pengenalan

Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, wujud perbezaan diantara masyarakat dinegara kita seperti bahasa, cara hidup, ekonomi, politik, tempat tinggal dan hubungan sosial. Di semenanjung, penduduk asal adalah orang Melayu, manakala di Sabah Sarawak pula terdapat beberapa bangsa yang menjadi penduduk asal dikenali bumiputera (pribumi). Penduduk lain ialah Cina, India dan orang asli. Masalah perpaduan wujud implikasi daripada pemisahn tempat tinggal, perbezaan kepercayaan atau agama, fahaman politik dan  masalah ekonomi.

1.1 Objektif Kajian

Memeperlihatkan kerjasama dalam kalangan masyarakat di Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Meningkatkan kualiti keharmonian sesama etnik pada masa kini berbanding dahulu. Melahirkan rasa syukur dikalangan rakyat atas perpaduan yang kecapi  sehingga hari ini. Memperingati jasa-jasa dan usaha-usaha tokoh-tokoh terdahulu yang meningkatkan taraf perpaduan di Malaysia.


2.0 Kaedah Kajian

Kaedah kajian pertama yang telah digunakan adalah dengan menggunakan borang soal selidik secara atas talian yang mengandungi dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B yang berjumlah 10 soalan. Kaedah kajian kedua yang digunakan adalah melalui buku. Kajian dilaksanakan dengan mendapatkan maklumat yang terkandung di dalam buku yang dipinjam di perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.  Kaedah ketiga adalah dengan bersumberkan internet. Terdapat beberapa laman sesawang yang dilayari untuk mencari maklumat dalam proses menyiapkan kajian ini.


3.0 Hasil Kajian



Rajah 1: Perpaduan sebelum dan selepas merdeka

Berdasarkan Rajah 1 di atas, mengikut kajian, peratus pendapat yang memilih perpaduan selepas merdeka lebih mendominasi dengan 52.7 peratus. Manakala selebihnya berpendapat perpaduan sebelum merdeka lebih kukuh berbanding kini dengan peratus sebanyak 47.3 peratus.


Rajah 2: Pandangan terhadap perpaduan di Malaysia pada masa kini

Taburan di dalam Rajah 2, menurut kajian yang telah dijalankan, 78.2 peratus dari jumlah respondan berpandangan bahawa masih wujud perbalahan antara kaum pada masa kini. Manakala 21.8 peratus respondan berpandangan bahawa perpaduan di Malaysia telah kukuh.


Rajah 3: Nama bapa perpaduan di Malaysia

Berdasarkan Rajah 3, mengikut bancian hampir separuh responden telah menjawab Dato’ Tun Hussein Onn sebagai bapa perpaduan di Malaysia sebagai jawapan yang tepat. Manakala selebihnya memberikan jawapan yang kurang tepat. Perpaduan telah menjadi sebahagian daripada perjuangan utama karier politik Tun Hussein Onn. Beliau memastikan bahawa perpaduan menjadi agenda utama dalam dasar kerajaan. Menurut beliau, sebarang usaha untuk memajukan rakyat dan negara mestilah berasaskan kepada pembentukan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum (Hamidin Abd. Hamid, 2006).

Dasar  pecah dan perintah telah mengasingkan kaum-kaum di Malaysia seperti kaum Melayu di kawasan kampung, kaum India di estet dan kaum Cina di kawasan bandar menyebabkan berlakunya jurang pemisahan antara kaum. Semasa pemerintahan Tun Husein Onn pada tahun 1976 hingga 1981 yang lebih dikenali sebagai bapa perpaduan, beliau telah membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum masyarakat di negara ini dengan menggerakkan ‘Dasar Ekonomi Baru (Mohamad Idris Saleh, 1994).

Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyedarkan pelbagai kaum terhadap kepentingan perpaduan dalam usaha murni dalam membina masyarakat adil, makmur, sejahtera dan bersatu padu antara semua kaum pada masa hadapan (Nik Anuar Nik Mahmud, 2007).

Anak-anak digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran atau perayaan (www.1malaysia.com.my). Usaha yang boleh dilakukan untuk mengukuh perpaduan antaranya ialah kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan, kawasan  kampung atau kawasan awam untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia (saharuddinabdullah.blogspot.my). Satu bahasa juga merupakan kaedah paling mudah bagi memajukan dan memodenkan pemikiran rakyat yang berbilang kaum kerana dengan satu bahasa, pelbagai kumpulan etnik yang memiliki beraneka budaya, agama dan pegangan hidup dapat disatukan dalam satu wadah (zahirzainudin.blogspot.my).

4.1 Perbincangan Perpaduan di Malaysia Sebelum Merdeka

Dasar  pecah dan perintah telah mengasingkan kaum-kaum di Malaysia seperti kaum Melayu di kawasan kampung, kaum India di estet dan kaum Cina di kawasan bandar menyebabkan berlakunya jurang pemisahan antara kaum.

Sistem pendidikan antara orang Cina dan India mempunyai sistem sekolah vernakular  tersendiri dengan membawa masuk sukatan pelajaran dari negara mereka menyebabkan terhalangnya pergaulan kaum pada usia muda.

Dasar anti-Cina dan pro-Melayu telah mengeruhkan lagi keadaan semasa dan menyebabkan timbulnya perasaan benci dan prasangka buruk masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Orang Cina mengambil kesempatan dengan menganggotai Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Jepun menyerah kalah dan sebelum kedatangan kembali pihak British. Ketika ini berlakunya  keganasan 14 hari seperti membunuh, menculik dan membakar bangunan sebagai cara membalas dendam. Keadaan ini  menyebabkan berlakunya persengketaan kaum antara orang Melayu dan orang Cina. Menjelang kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman menyeru seluruh kaum di Malaysia untuk bersatu padu bagi mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan hal ini telah dipersetujui oleh orang ramai.

4.2 Perbincangan Perpaduan di Malaysia Selepas Merdeka

Pada 13 Mei 1969, wujudnya pertelingkahan antara kaum yang besar namun hal ini dapat diatasi dengan tertubuhnya Rukun Negara sebagai panduan rakyat Malaysia sehingga masa kini. Bagi memantapkan lagi perpaduan kaum dinegara ini, Perdana Menteri Malaysia yang keenam iaitu Dato’ Sri Najib telah memperkenalkan Gagasan 1Malaysia di seluruh negara dengan konsep rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Tujuan gagasan ini adalah untuk membela nasib semua kaum dan tiada  mana-mana pihak yang akan dipinggirkan dari segi taraf hidup.


5.0 Kesimpulan

Masyarakat berbilang kaum di Malaysia menjadi tarikan masyarakat luar terhadap negara kita.Perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia amat penting untuk mewujudkan keamanan negara disamping meningkatkan ekonomi Malaysia. Rakyat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum.


Rujukan

Baterah Alias. (2013). Hubungan Etnik di Malaysia. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Hamidin Abd. Hamid. (2006). Tun Hussein Onn Bapa Perpaduan. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia
Jaffry Awang. (2003). Agama dan Perpaduan Kaum di Malaysia. Selangor: Fakulti Pengajian Islam UKM.
Mohamad Idris Saleh. (1994). Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara. Kuala Lumpur: Utusan Publication Sdn. Bhd.
Nik Anuar Nik Mahmud. (2007). 13 Mei Sebelum dan Selepas. Selangor: Utusan Publication Sdn. Bhd.
1malaysia.com.my/news-articles/langkah-mengukuhkan-perpaduan-dalam-kalangan-rakyat-malaysia
saharuddin-abdullah.blogspot.my/2015/03/usaha-usaha-untuk-mengekalkan perpaduan.html
zahirzainudin.blogspot.my/search?q=perpaduan

Post a Comment