Monday, January 09, 2017

Gejala budaya rasuah







Rasuah dalam kalangan penjawat awam di Malaysia semakin parah apabila satu demi satu kes rasuah ditonjolkan oleh media. Kegemparan rasuah di sektor awam menjadi refleks kepada persepsi umum terhadap etika dan piawaian tugas kakitangan awam di Malaysia.

Oleh kerana tindakan terhadap perasuah di sektor awam semakin kerap dan agresif, persepsi umum dijangka bertambah baik sama ada kepada agensi kerajaan, penguatkuasa rasuah dan kerajaan sendiri.

Baru-baru ini ada empat kes rasuah yang dibawa ke mahkamah melibatkan penjawat awam iaitu rasuah penolong pegawai daerah di Johor Bahru, empat anggota polis di Pulau Pinang, empat pegawai imigresen di Selangor dan rasuah di pihak berkuasa tempatan di Melaka.

Dijangkakan lebih banyak kes tangkapan dan dakwaan ke atas kakitangan awam pelbagai peringkat.

Kita akan berasa selamat apabila dipimpin oleh pemimpin yang baik. Pemimpin yang tidak amal rasuah dan penuh integriti menjadikan kehidupan kita lebih baik.

Bagaimanapun, dengan semakin banyak kes rasuah muncul dan melibatkan imej pentadbiran kerajaan, kita boleh katakan dengan pasti bahawa usaha untuk meruntuhkan amalan rasuah perlukan banyak usaha. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu bekerja keras membawa pelaku raasuah ke muka pengadilan yang mana sudah tentu penyiasatan akan berpanjangan dan pendakwaan menjadi lebih mencabar.

Pembasmian rasuah tidak boleh disasarkan kepada pelaku sedia ada sahaja kerana sentiasa akan muncul pelaku rasuah yang baru.

Justeru, untuk menghentikan pelaku rasuah pada masa hadapan, pilihan terbaik ketika ini ialah mencegah.

Mahir rasuah bukannya muncul sejak lahir tetapi diperolehi melalui proses pembelajaran melalui kumpulan, organisasi atau masyarakat yang dipindahkan dalam bentuk budaya.

Rasuah dalam bentuk kumpulan lebih cepat kerana seseorang ahli lebih cenderung mahu memastikan dirinya diterima dengan cara melakukan budaya kumpulan. Contohnya dalam kes tangkapan rasuah dan salah guna kuasa sebuah jabatan penguatkuasa baru-baru ini, tangkapan melibatkan empat orang. Jarang kita mendengar rasuah di jabatan tersebut melibatkan individu.

Kajian berkaitan sikap perniagaan terhadap rasuah (2015) oleh Control Risks menyatakan syarikat-syarikat di negara bukan Barat berhadapan dengan kehilangan peluang perniagaan yang lebih besar kepada pesaing yang tidak beretika. Rasuah yang dibayar oleh syarikat tidak beretika ini dipercayai menjadi sebab kepada syarikat patuh etika gagal mendapat kontrak perniagaan.

Kajian itu juga menyatakan rasuah dalam pelbagai bentuk perniagaan adalah lebih ketara dalam ekonomi yang baru muncul. Contohnya, penggunaan isitilah “wang pelincir” untuk mempercepatkan proses pentadbiran menyebabkan kelewatan banyak urusan dan meningkatkan kos. Dalam sesetengah kes, perniagaan ditutup.

Mungkin satu sebab yang perlu diberi perhatian oleh agensi penguatkuasa rasuah ialah budaya kerja yang wujud dalam sesuatu organisasi khususnya di sektor awam.

Post a Comment