Saturday, January 21, 2017

Anak-anak dijamin rezeki







Satu kajian baru mencadangkan bahawa dengan memiliki ramai anak boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular kepada ibu dan bapa.

Profesor Vera Regitz-Zagrosek, pengerusi European Society of Cardiology “Pengurusan CVD Semasa Mengandung” garis panduan pasukan petugas berkata dua kajian terbaru mengaitkan bilangan anak dengan wanita yang terlibat dengan kardiovaskular.

Kajian awal melihat kepada setengah juta rakyat China, penyelidik mendapati terdapat hubungan signifikan antara bentuk J (bentuk J merujuk kepada gambarajah berbentuk J yang mana pada mulanya menunjukkan lengkung jatuh, namun naik mendadak di atas titik permulaan) dengan bilangan anak dan risiko penyakit jantung koronari serta angin ahmar. Risikonya berkurangan dengan satu anak tetapi meningkat dengan dua atau lebih anak.

Dalam satu lagi pandangan, beliau menerangkan penyelidik percaya faktor sosioekonomi berperanan penting.

Memiliki satu anak adalah sebagai pelindung ketika usia tua. Namun bilangan anak yang ramai menyebabkan sokongan berkenaan berkurangan kerana peningkatan tekanan ekonomi dan sosial ibu bapa.

Beliau juga menjelaskan terdapat bukti yang menunjukkan kehamilan menjurus kepada penyesuaian perubahan reaksi tubuh kepada tekanan tambahan terhadap jantung.

Bagaimanapun mencadangkan kajian lanjut perlu untuk mengetahui pengaruh biologi dan sosioekonomi terhadap bilangan anak dalam keluarga.

Penentuan bilangan anak dalam keluarga hanya boleh dirancang tetapi tidak dapat ditentukan. Hari ini kita hidup dalam masyarakat yang menjadikan anak ramai sebagai beban, bukannya harta yang sangat bernilai. Bilangan satu, dua atau tiga bukanlah penentu kepada bebas daripada penyakit jantung. Caranya ialah bagaimana keluarga anak ramai menguruskan perbelanjaan seharian, mingguan dan bulanan.

Pro dan kontra mempunyai bilangan anak akhirnya kembali kepada individu. Kajian hanya memberi satu pandangan dari perspektif kecil namun mampu mempengaruhi orang ramai untuk membuat keputusan.

Dalam buku The Islamic Threat: Myth or Reality? oleh John L. Esposeto menceritakan bagaimana Barat begitu takut dengan kehadiran ramai umat Islam di benua itu. Orang Islam juga paling cepat berkembang kerana “di Barat, umat Islam yang baik melahirkan anak manakala dalam masyarakat sekular kita (Barat), falsafah merancang keluarga dipegang dan kondom menjadi raja”.

Ketakutan memiliki ramai anak boleh dikaitkan dengan apa sahaja khususnya kesihatan dan keadaan ekonomi sesebuah keluarga. Setiap anak yang lahir dalam keluarga mempunyai rezekinya sendiri. Rezeki ibu bapa mungkin banyak terhalang kerana banyak maksiat dan dosa tetapi talian rezeki anak-anak sangat terang kerana mereka masih suci murni. Ramai orang yang berkeluarga besar menerima rezeki daripada sumber yang tidak disangka kerana Allah berfirman,

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka. (Al An’am: 151) 



Post a Comment