Friday, January 13, 2017

Sukan satukan rakyat Malaysia








Zainudin MZ, Izyan Noraisyah Darus, Nor Anisa Kamal, Nur Afiqah Radzali, Nurzakiyah Emalda Abdul Jamal, Nur Diana Shaharudin



1.0 Pengenalan

Sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan, dan sebagainya. Perbezaan tujuan inilah yang membezakan sifat sesuatu sukan itu. Misalnya, berenang secara bersaingan di hadapan ribuan penonton akan dikira sebagai sukan tetapi berenang bersendirian di kolam atau laut dilihat sebagai aktiviti rekreasi. Terdapat pelbagai jenis sukan dan kebanyakannya mengorbankan masa, wang, dan keinginan manusia sama ada sebagai peserta ataupun sebagai penonton.

Sukan mempunyai nilai murni yang boleh melahirkan generasi cergas, sihat bukan sahaja dari segi fizikal dan rohani tetapi keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai masyarakat dalam memastikan perpaduan terus utuh juga mampu menjadi sebahagian dari proses meraikan kepelbagaian kelompok etnik yang ada di negara ini. Sukan adalah 'penjana' dalam mempertahankan keharmonian, kemuafakatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini di bawah konsep 1Malaysia.

1.1 Objektif Kajian

Pertama, mendapatkan peratusan tahap kesedaran dalam kalangan pelajar UTeM dan masyarakat luar untuk bersukan.
Kedua, mengenal pasti adakah sukan menjadi salah satu instrumen dalam menghidupkan perpaduan pelajar di UTeM dan masyarakat luar.
Ketiga, mengukur tahap keprihatinan pelajar UTeM dan masyarakat luar tentang pentingnya bersukan untuk menyatupadukan kaum.

2.0 Sorotan Literatur

Sukan di Malaysia kini semakin giat berkembang. Perkemangannya selari dengan kemajuan sosioekonomi masyarakat. Seperti negara-negara lain, Malaysia tidak ketinggalan dalam usahanya untuk membangunkan bidang sukan sebagai aspek pembangunan sosial untuk kesejahteraan rakyat. Istilah “sukan untuk semua” melibatkan semua golongan masyarakat, dari kanak-kanak sehingga warga tua. Aktiviti sukan dilangsungkan secara tidak terlalu formal dan boleh diadakan dalam bentuk pertandingan. Biasanya penyertaan adalah ramai dan diselangi oleh aktiviti sosial seperti ucapan dan persembahan.

Aktiviti sukan telah wujud sejak zaman Melayu lama. Menurut Ungku Aziz, masyarakat Melayu tinggal di tepi-tepi sungai dan di persisiran pantai. Untuk survival, keluarga Melayu dibesarkan dengan pandai berenang bagi menyesuaikan kehidupan mereka dengan persekitaran. Mereka juga belayar di pesisiran pantai.

Jelaslah bahawa, sukan merupakan aktiviti yang telah dilaksanakan sejak dahulu lagi yang dapat memberi iktibar kepada kita bahawa bersukan bukan sahaja dapat memberi kesihatan namun dapat juga menyatupadukan rakyat.

Sukan tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan massa. Walaupun tidak dinafikan sukan juga menjadi ancaman provokasi perkauman sebagaimana yang berlaku dalam liga bola sepak luar negara, namun sering kali kita melihat sukan akan menjadi alat perpaduan dalam kalangan masyarakat umum walaupun mempunyai pelbagai perbezaan termasuk fahaman politik masing-masing.

Di samping itu, dalam sukan badminton, Malaysia melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1988 dan 1990; sejarah yang masih terpahat dalam pencapaian secara keseluruhan aktiviti sukan negara. Perpaduan dalam negara yang rencam menjadi indikator penting agar sukan tidak menjadi alat politik tetapi menjadi alat penghubung keseluruhan warganya. Sukan sebagai alat perpaduan harus diketengahkan dengan lebih tersusun di pelbagai ruangan termasuk sekolah dan kawasan penempatan.

Maka, perpaduan bukan sekadar dalam kalangan masyarakat tetapi juga segenap lapisan stratifikasi kepimpinan dan organisasi sukan agar perpaduan tidak dikompromi tetapi dijadikan sebagai benteng pembinaan jati diri menyeluruh. Hal ini kerana sukan merupakan antara mekanisme penting dalam melentur semangat kekitaan. Dalam membangunkan prestasi sukan, ia sekaligus juga dapat memaparkan usaha memupuk penerimaan ke atas kepelbagaian sukan yang wujud dari masyarakat pelbagai etnik. Sukan mampu memecah tradisi dominasi oleh sesuatu etnik terutama dengan penampilan kemajmukan bukan sahaja dari segi penyertaan tetapi lebih dari itu, menghargai dan mencipta 'semangat satu negara, satu matlamat'.

Sejak perdana menteri memperkenalkan gagasan 1Malaysia, banyak pihak yang telah berusaha mengemukakan idea untuk menjayakannya. Antaranya, Kementerian Belia dan Sukan yang memperkenalkan konsep “Satu Belia” bagi membantu mempercepatkan proses pencapaian gagasan itu dan begitu juga pihak lain dengan idea masing-masing.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyarankan agar masyarakat menggunakan sukan sebagai elemen untuk meningkatkan kerjasama antara kaum dan agama. Selain itu, sukan sememangnya mampu menjadi teras untuk menyokong, mengekal dan mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Oleh itu, untuk merealisasikan sukan dapat meningkatkan perpaduan antara kaum di negara ini, terdapat beberapa aspek yang perlu diperhalusi demi kebaikan kita bersama iaitu yang pertama ialah masyarakat perlu berpegang kepada prinsip sukan mampu meningkatkan semangat patriotik rakyat. Oleh itu, pihak yang sewajarnya perlu melipatgandakan usaha memajukan bidang sukan teras yang popular contohnya bola sepak, hoki dan badminton yang dapat menggabungkan pelbagai etnik dan kaum dalam satu sukan.

Pengalaman beberapa negara asing membuktikan bahawa kejayaan di pentas sukan antarabangsa mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira latar belakang. Malaysia juga begitu. Semangat patriotik rakyat tanpa mengira etnik, kaum dan agama jelas apabila pasukan kita menentang pasukan luar dan ia merupakan satu bentuk perpaduan yang nyata.

Aspek kedua bagi merealisasikan sukan dapat meningkatkan perpaduan antara kaum adalah sukan massa yang merupakan sukan untuk semua adalah sukan yang dapat menggalakkan penyertaan masyarakat setempat telah diperkenalkan kepada masyarakat untuk menjana semangat kebersamaan di kalangan rakyat yang berbilang kaum.

Aspek ketiga dalam merealisasikan sukan dapat meningkatkan perpaduan antara kaum ialah pelajar perlu dididik agar memupuk semangat kesukanan serta menghargai sukan sebagai alat untuk berinteraksi, menjalinkan perpaduan dan memperluaskan pergaulan antara kaum.

3.0 Hasil Kajian

Secara sepintas lalu, kajian ini merupakan satu kajian kuantitatif untuk melihat tahap pengetahuan mengenai aktiviti bersukan dalam kalangan pelajar UTeM dan masyarakat luar. Berdasarkan penyataan “sukan dapat menyatupadukan kaum”, dapatan kajian menunjukkan rata-rata responden bersetuju dengan penyataan tersebut. Oleh itu responden akan lebih berminat untuk bersukan bersama-sama dengan kaum lain.

Selain itu, masih ada lagi segelintir responden yang masih tidak pernah melibatkan diri dalam aktiviti bersukan. Oleh itu, kegiatan sukan dalam negara haruslah dipromosikan dengan pelbagai kaedah supaya rakyat dapat membuka mata mereka dan mengeluarkan segala bakat mereka yang terpendam.

Seterusnya, rata-rata responden hanya melakukan aktiviti bersukan ketika menyertai program. Jadi, kemudahan seperti taman-taman riadah harus dipertingkatkan.

4.0 Rumusan dan Cadangan

Berdasarkan kajian yang telah kami dapati, rata-rata responden menunjukkan bahawa mereka bersetuju dengan penyataan bersukan dapat menyatukan kaum. Oleh itu, aktiviti bersukan ini haruslah diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana bukan sahaja dapat mengamalkan gaya hidup sihat tetapi dapat juga merapatkan hubungan rakyat Malaysia. Tindakan yang sewajarnya boleh diambil bagi menggalakkan amalan bersukan dalam kalangan pelajar UTeM dan masyarakat luar.

Justeru, antara beberapa cadangan yang harus diberi perhatian dan pertimbangan, antaranya pihak yang berkaitan hendaklah mengambil tindakan seperti menyediakan prasarana untuk menjalankan kempen bersukan dengan lebih selesa dan meluas, setiap individu haruslah diberi kesedaran secara mendalam supaya mengambil bahagian dalam aktiviti bersukan, mewujudkan lebih banyak institusi sukan dan pusat latihan, mengadakan acara-acara kesukanan di kawasan perumahan, memberi lebih peluang kepada kaum wanita untuk beraksi dalam bidang sukan dan mengajak ibu bapa melihat sukan sebagai aktiviti sihat.

Rujukan

           Sivamurugan Pandian. (2012). Sukan Alat Perpaduan Di Malaysia. Pulau Pinang: Pusat   Pengajian Sains Kemasyarakatan.
           Mohd Salleh Aman. (2004). Sukan Dalam Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
           Merealisasikan Gagasan 1Malaysia melalui Sukan. Utusan Online.



Post a Comment