Sunday, January 01, 2017

2017, Allah sayang kepada kita








Kedatangan sinar 2017 dinantikan oleh kita semua. Berbagai-bagai harapan yang diimpikan oleh kita supaya tahun ini menjadi tahun yang lebih cemerlang dan penuh kebahagiaan.

Senario tahun baru ini sudah tentu berbeza dengan tahun 2016 yang kita tinggalkan. Tahun ini lebih mencabar dan perlukan kesabaran kerana persekitaran sudah berubah, pemikiran kita juga berubah dan rakan-rakan yang kita kenali juga berubah.

Satu perkara hebat yang kita boleh harapkan ialah menyedari bahawa Allah swt Maha Kaya. Sekiranya Allah swt memberi, sudah tentu pemberian itu adalah pemberian yang sangat luas.

Sesiapa yang mendapat nikmat dunia, dia telah mendapat kemurahan yang besar tetapi bukannya yang sebenar kerana dunia ini sangat terhad.

Satu-satunya yang tidak terhad ialah akhirat.

Berapa ramai dariapda kita yang telah berubah cita-cita dan harapannya. Apabila kita melihat kembali gambar kita semasa berumur 20-an atau 30-an, hari ini wajah kita telah berubah. Justeru, dalam dunia ini, umur, rupa dan harta adalah terhad.

Apabila umur meningkat, sebahagian daripada cita-cita kita juga telah habis. Cita-cita ketika remaja tidak sama dengan awal dewasa. Justeru, impian untuk memiliki rumah besar, kereta mewah dan sebagainya berakhir dengan perjalanan umur kita.

Allah swt memberi dunia kepada sesiapa yang Dia suka dan menahannya kepada sesiapa yang Dia suka.

“Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya”. (Al-Isra’: 21)

Semasa kita melihat seseorang yang memiliki kekayaan dan harta yang melimpah-ruah, sebenarnya di sisi Allah swt tidak ada apa-apa. Namun apabila Allah swt memberi agama (iman) kepada kita dan kita tetap beristiqamah di atas iman itu sehingga ke akhir hayat, itulah pemberian yang paling hebat dan bermakna.

“Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia yang besar dari Allah dan bahwa Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang beriman”. (Ali ‘Imran: 171)

Wajar setiap daripada kita melihat tanda-tanda sama ada Allah swt sayang kepada kita atau tidak. Tanda-tanda ini bukannya berapa banyak wang yang kita dapat, kedudukan tertinggi yang dicapai atau penghormatan berganda yang diterima, sebaliknya ialah ia berkait dengan iman yang diberi Allah swt kepada kita.

Berapa ramai orang yang terkenal dalam dunia ini langsung tidak dikenali ketika di akhirat kelak. Sebaliknya apabila Allah swt berikan iman, sungguh mudah untuk kita melaksanakan apa yang Allah swt suruh.

Contohnya, kita terpandang yang yang haram dan teringin hendak melihat lagi tetapi kita tidak mahu kerana kita faham ada batasan dalam penglihatan, rasa bertanggungjawab dan rasa malu dengan Allah swt.

Allah swt sayang kepada kita. Dia tidak berikan kemewahan dan kekayaan seperti orang lain sebaliknya Dia berikan nikmat iman kerana iman lebih berharga daripada harta dan kekayaan.

Bukan mudah bagi golongan wanita hendak mengenakan tudung bagi menutup aurat kerana banyak cabaran yang terpaksa dihadapi. Berpegang pada sunnah nabi saw juga perlukan cabaran.

Justeru, memilih jalan lain untuk menzahirkan keimanan kepada Allah swt bukannlah sebagai cara menunjuk-nunjuk kepada orang lain, sebaliknya pada jalan itu ada kasih sayang Allah swt yang tidak diberikan kepada orang lain, hanya diberikan kepada orang-orang yang dikasihiNya.

Apabila Allah swt berikan iman dan Islam kepad akita, ditambah pula dengan perasaan hendak beramal, Allah swt faqihkan kita tentang agama. Orang yang sentiasa dengan agama akan merasai nikmat kehidupan yang sebenar.

Inilah nikmat yang besar Allah swt berikan kepada kita dalam dunia materialisme yang mana ramai orang hendakkan kereta mewah, rumah besar dan harta bertimbun.

Iman adalah nikmat kehidupan yang akan dibawa bertemu Allah swt nanti.
 
Post a Comment