Monday, January 23, 2017

Adat perkahwinan pelbagai kaum







Zainudin MZ, Celine Yap Yung Leuk, Tea See Nai,  Siti Maisarah Kepli,
Nurul Ain Shafiza Azman, Nor Azwani Azizan


1.0 Pengenalan

Perkahwinan bermaksud perjanjian yang disetujui antara dua manusia lain jantina yang diiktiraf pihak berkuasa dari segi undang-undang mahupun agama yang dianuti. Di Malaysia, kita mempunyai tiga kaum yang berbeza adat  resam perkahwinan mereka. Kaum Melayu, Cina dan India mempunyai adat yang berbeza-beza dalam upacara perkahwinan mereka. Oleh itu, kajian ini membincangkan antara-antara perbezaaan adat yang diamalkan oleh setiap kaum yang ada di Malaysia.

1.1 Objektif Kajian

Antara objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti perbezaan adat resam perkahwinan pelbagai kaum dan pandangan pelbagai lapisan masyarakat terhadap adat resam perkahwinan pelbagai kaum. Objektif kajian seterusnya adalah mengkaji pendapat masyarakat kini mengenai kewajaran mengamalkan adat perkahwinan yang diwarisi secara turun-temurun di samping mengenal pasti kebaikan atau keburukan pengamalan adat resam perkahwinan terhadap individu dan masyarakat.


2.0 Sorotan Kajian

2.1 Perkahwinan  

Menurut Ustazah Maznah Daud (2016) dalam majalah Anis, beliau mengatakan bahawa anak perempuan adalah tanggungjawab dan amanah bagi ibu dan ayah selagi mana belum berkahwin. Melalui pernikahan amanah itu bertukar tangan kepada suami. Jadi, permudahkanlah urusan calon suami dengan menetapkan pendirian sebelum berkahwin. Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah saw kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya.

Perkahwinan dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Dalam masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing. Pada asasnya adat resam perkahwinan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.­

Masyarakat India juga kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka dan masih mengekalkan kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat resam perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan dengan kebudayaan masyarakat Melayu.

2.2 Peminangan dan Majlis Perkahwinan

Lamaran atau pertunangan disyariatkan oleh Islam. Bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga adalah digalakkan supaya mereka bertunang terlebih dahulu. Peminangan atau lamaran boleh dilakukan oleh calon suami atau wakilnya atau oleh calon isteri atau wakilnya. Pinangan boleh dilakukan kepada semua wanita melainkan mereka yang diharamkan. Menurut buku Perkahwinan oleh Sulaiman Endut (2009), wanita yang diharamkan untuk meminang iaitu tunangan orang, wanita yang kematian isteri dan wanita yang sedang beridah. Perkahwinan adalah suatu ibadat. Justeru itu, perkahwinan mestilah mengikut hokum dan syarat seperti yang telah ditetapkan oleh syarak. Syarat-syarat bagi perkahwinan mengikut syarak dikenali sebagai Rukun Nikah. Walimah ursyi iaitu kenduri kahwin adalah satu tuntutan syariah. Walimah itu adalah jamuan agama, bukannya suatu upacara adat atau budaya semata-mata malah jamuan itu adalah tuntutan agama.

Bagi masyarakat kaum Cina, hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan, sekiranya terdapat kematian dalam kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing.  Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri.

Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki.

Di Malaysia, majlis perkahwinan masyarakat India dijalankan oleh pedanda. Pedanda memulakan upacara perkahwinan dengan sembahyang memohon restu kepada Tuhan supaya perkahwinan berjalan lancar tanpa apa-apa halangan. Dulang berisi atchatai dibawa kepada hadirin. Atchatai ialah beras yang dicampur kunyit serta bunga yang ditaburkan diatasnya.

Beras ini digunakan untuk merestui pengantin sewaktu upacara mengikat thaali berlangsung. Pedanda akan menyerahkan thaali kepada pengantin lelaki. Sebaik sahaja diarahkan oleh pedanda, pengantin lelaki akan mengikat thaali pada leher pengantin perempuan. Thaali hendaklah menyentuh dada dan benang suci akan disimpul sebanyak tiga kali.

Sewaktu upacara ini berlangsung, atchatai akan ditaburkan ke atas pengantin sebagai tanda restu. Seterusnya pengantin akan bertukar kalungan bunga yang dipakai sebanyak tiga kali. Selepas itu pengantin lelaki akan memegang tangan pengantin perempuan dan mengelilingi api sebanyak tiga kali.


3.0 Metodologi Kajian

Dua puluh lima borang soal selidik telah diedarkan kepada responden. Melalui soal selidik ini dapat diketahui sejauh mana pendapat dan pengetahuan mereka mengenai adat perkawinan. Seterusnya, melakukan kajian melalui perbualan dengan rakyat setempat. Sesi temu bual dengan masyarakat setempat telah dijalankan khususnya mengenai adat perkahwinan kaum Melayu.


4.0 Hasil Kajian

Melalui soal selidik yang telah dijalankan, dalam keseluruhan dua puluh lima responden yang terdiri daripada tujuh orang lelaki dan lapan belas golongan wanita, ramai yang berpendapat bahawa umur yang bersesuai untuk berkahwin adalah dua puluh lima tahun kerana umur tersebut tidaklah terlalu muda atau terlalu tua. Mereka turut mempunyai perspektif bahawa golongan yang berumur dalam linkungan dua puluh lima tahun ialah individu yang berfikiran matang.

Terdapat dua puluh responden yang pilih untuk berkahwin mengikut adat atau tradisi perkahwinan turun-temurun seperti adat merisik, bertunang, meminang, akad nikah, bersanding, makna beradab, malam berinai, tepung-tawar serta mandi bunga. Ada juga responden yang menegaskan bahawa mereka akan berkahwin mengikut adat perkahwinan turun-temurun dengan syarat sesuatu adat tersebut tidak melanggar ajaran atau syariat Islam. Ramai yang memilih untuk berkahwin mengikut adat perkahwinan turun-temurun kerana adat ini merupakan tradisi yang telah lama diamalkan oleh keluarga di samping dapat mengekalkan tradisi turun-temurun ini.

Selain itu, kesemua dua puluh lima responden memilih untuk menjemput kenalan mereka yang berlainan kaum dan bangsa ke majlis perkahwinan mereka. Hal ini adalah sebab tindakan tersebut dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kaum selain memupuk semangat perpaduan. Di samping itu, ada juga responden yang berpendapat bahawa tindakan mempelawa kenalan berlainan kaum ke majlis perkahwinan turut membolehkan seseorang untuk memperkenalkan adat bangsa sendiri kepada bangsa lain.

Ramai responden yang berpendapat bahawa adat perkahwinan turun-temurun mempunyai lebih banyak kebaikan daripada keburukan. Antara kebaikannya adalah dapat mengekalkan tradisi dan keunikan adat perkahwinan yang telah diwarisi sejak turun-temurun ini. Seterusnya, pengekalan dan pengamalan adat perkahwinan ini turut melambangkan identiti sesebuah kaum serta sebagai satu usaha untuk memastikan generasi akan dating dapat mengetahui dan seterusnya mengamalkan adat perkahwinan ini.

Mengikut pandangan sesetengah responden, keburukan berkahwin mengikut adat adalah kos perkahwinan. Contohnya adalah  membebankan pihak lelaki untuk memenuhi permintaan mas kahwin yang terlalu tinggi. Ada juga yang berpendapat bahawa pengamalan adat perkahwinan turun-temurun seolah-olah menyekat kebebasan generasi kini yang mempunyai fikiran dan pandangan sendiri. Akhir sekali, terdapat responden yang menyuarakan pendapat bahawa sesetengah adat perkahwinan ini adalah bertentangan dengan ajaran dan agama Islam.


5.0 Kesimpulan

Perkahwinan merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan terbesar dalam kehidupan seseorang individu. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi sebuah kekeluargaan dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Melalui kajian ini, kita dapat mengenal pasti perbezaan adat resam perkahwinan dalam kaum Melayu. Kadang kala, berlakunya kekeliruan berkenan adat kaum Melayu yang dapat mencetuskan perbalahan antara ahli keluarga yang ingin mengadakan majlis perkahwinan. Seterusnya, dapat mengenal pasti pandangan pelbagai lapisan masyarakat terhadap adat resam perkahwinan dalam kaum Melayu. Selain itu, boleh mengkaji pendapat masyarakat kini mengenai kewajaran mengamalkan adat perkahwinan yang diwarisi secara turun temurun. Kemudian, dapat mengenal pasti kebaikan dan keburukan adat resam perkahwinan terhadap individu dan masyrakat.


Rujukan

Sulaiman Endut. (2009). Perkahwinan. Siri Minda Utusan.
Zulkifly Bin Muda. (2013).  Perkahwinan. Yayasan Islam Terengganu.
Ustazah Maznah Daud. (November 2016). Majalah Anis. Galeri Ilmu Sdn.Bhd.
Shuib Sulaiman. (2012). Indeks Prestasi Keluarga. Selangor: PTS Islamika Sdn Bhd.
http://pengajianmalaysiadls1b.blogspot.my/
http://perkahwinandimalaysia.blogspot.my/2010/10
http://zahirzainudin.blogspot.my/2015/04/perkahwinan-campur-antara-kaum-Melayu.html



1 comment: