Saturday, January 07, 2017

Cara bina jati diri anak-anak







Rindu seorang anak remaja lelaki kepada bapanya tidak boleh dihalang oleh sesiapa. Oleh kerana rindu, si anak mengambil keputusan memaklumkan dirinya diculik dengan harapan si bapa akan pulang ke rumah untuk melihatnya.

Kisah remaja ini menjadi perhatian di China kerana beliau tidak mahu lagi berenggang dengan ayah.

Jiwa anak-anak sangat halus dan sensitif. Mereka mudah tersinggung jika tidak mendapat kasih sayang ibu atau bapa. Keadaannya lebih parah apabila ibu bapa berpisah atau dipelihara oleh orang lain. Justeru, ada anak-anak yang tidak mahu berenggang dengan ibu bapa walaupun telah meningkat usia belasan tahun.

Membina jiwa kanak-kanak yang kuat dan kental menjadi satu kemestian jika ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka berdikari.

Kita pernah mendengar atau membaca perihal Saidina Ali bin Abi Talib r.a yang memberi penyelesaian kepada pembinaan kerektor anak-anak yang hebat. Beliau merumuskan kaedah membesarkan anak-anak seperti berikut.

Peringkat umur tujuh tahun pertama iaitu dari 0 hingga 7 tahun, ibu bapa melayan anak umpama raja. Peringkat ini perlukan kesabaran ibu bapa. Ibu bapa boleh menjadi contoh kepada perkembangan mental dan fizikal anak-anak melalui perbuatan atau tingkah laku yang mudah. Antaranya ialah menyahut penggilannya setiap kali dipanggil walaupun kita sibuk. Jika kita memanggilnya, sudah pasti mereka juga akan menyahut penggilan kita di mana sahaja berada. Andai kata kita menggosok-gosok dan menepuk-nepuk badan mereka ketika hendak tidur, mereka juga akan menggosok atau mengurut badan kita ketika letih dan lelah. Begitu juga ketika kita menahan marah kerana tidak tahan dengan tingkah laku dan tindakan aktif mereka, tidak mustahil mereka juga akan bersabar dan bercakap lunak semasa memberi teguran.

Perkembangan mental, emosi dan spiritual anak-anak ketika peringkat umur ini sedang aktif berkembang. Apabila kita berusaha memberi belaian dan perhatian kepada mereka, sikap dan nilai mereka terhadap kehidupan akan lebih cenderung kepada memberi bahagia dan menjadi lebih bertanggungjawab. Justeru, apabila kita melayan anak-anak seperti raja, mereka juga akan melayan ibu bapa seperti raja.

Peringkat kedua ialah umur 8 hingga 14 tahun. Ketika ini anak-anak wajar dilayan seperti orang tawanan iaitu diberi tanggungjawab dan mengingatkan mereka keperluan terhadap kewajipan seorang muslim. Ibadah khusus yang disuruh agama kita minta mereka laksanakan tanpa berlengah seperti solat lima waktu sehari, menutup aurat dan menjaga pergaulan. Semasa umur ini juga mereka sudah boleh diberi peringatan, ganjaran dan hukuman kerana berupaya mengaitkan kejayaan atau kegagalan dengan implikasi sesuatu tindakan.Contohnya, jika mereka belajar menghafal surah Ya Sin dengan baik, mereka akan diberi hadiah sebagai galakan, Peringkat umur ini sudah dapat memahami hadiah dan akan berusaha menghafal Ya Sin sehingga lancar.

Peringkat ketiga lebih mencabar kerana ketika usia 15 hingga 21 tahun, anak-anak adalah sahabat kita. Peranan ibu bapa ketika ini ialah sebagai pemegang “steering kereta” iaitu mengemudi kehidupan mereka. Perubahan fizikal, mental, emosi dan spiritual berlaku sangat pesat ketika ini. Nilai-nilai dewasa seperti penghargaan, penghormatan dan tanggungjawab semakin terserlah dan peranan ibu atau bapa adalah memastikan anak-anak bersedia dengan pelbagai cabaran hidup.

Apakah kualiti yang kita mahu dalam jiwa anak-anak yang menjadikan mereka kuat?

Pertama, jadi contoh.

Penglihatan anak-anak selalu tertumpu kepada ibu bapa. Contoh utama kekuatan diri datangnya dari ibu bapa. Berikan kesempatan dan peluang kepada mereka untuk keluar daripada zon selesa. Latih dan uji kekuatan hati mereka dalam pelbagai aktiviti yang bersesuaian supaya mereka berani mengambil risiko dan sedia menerima kegagalan.

Kedua, semai budaya dan warisan keluarga.

Lakukan sesuatu perlukan matlamat. Budaya dan adat tradisi keluarga biasanya menjadi asas kepada apa yang didipercayai. Apabila kita menyemai sifat bangga dalam diri anak-anak, kita sedang menyemai warisan hebat kepada bangsa dan negara.

Mendidik anak-anak tentang latar belakang dan dari mana asal usulnya memberikan asas kepada mereka untuk berani dan membuat tindakan yang betul.

Ketiga, bina keyakinan dan kepercayaan.

Keibubapaan yang stabil ialah dapat membina dan mengembangkan keyakinan dalam diri anak-anak. keyakinan perlukan keazaman yang berakar umbi daripada kepercayaan yang mendalam tentang apa yang betul dan apa yang salah.

Membina jiwa kental dalam diri anak-anak perlukan ibu bapa yang lebih dekat dengan mereka. Jika ibu bapa duduk berjauhan ketika anak-anak ini membesar, sudah tentu mereka tidak dapat melihat model yang ada di hadapan mereka itu.

Post a Comment