Wednesday, February 19, 2014

Tambah baik kemudahan surau di tempat awam








Pemilihan Malaysia sebagai negara paling mesra pelancongan Islam di dunia amat membanggakan. Pengiktirafan ini dapat mempromosi Malaysia sebagai destinasi popular yang menjadi pilihan masyarakat Islam seluruh dunia. Ia bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Negara-negara lain ialah United Arab Emirates, Turkey, Indonesia, Saudi Arabia, Singapore, Maghribi, Jordan, Qatar dan Tunisia. Negara yang menunjukkan peningkatan luar biasa ialah Jepun berada pada kedudukan ke-40.

Kriteria pemilihan merangkumi penyediaan restoran halal dan bilik solat di lapangan terbang, pasar raya dan hotel. Boleh dikatakan sebahagian besar tempat-tempat tumpuan ini menyediakan kemudahan tersebut.

Mungkin penyediaan ini sudah menjadi polisi dalam pembinaan bangunan awam namun boleh ditambah baik dalam kemudahan surau supaya ia menggambarkan surau.

Surau yang besar dan selesa lebih diminati berbanding surau yang sempit dan hambar. Sebab itulah pasar raya besar yang menyediakan kemudahan ini akan lebih ramai pengunjung Islam kerana mereka tidak perlu risau untuk mencari surau ketika masuk waktu solat.

Berbeza dengan kemudahan surau sekadar "hanya ada"  kerana surau seperti ini amat tidak memuaskan. Di samping berada di ceruk bangunan, surau juga sempit dan tempat mengambil wudhuk berkongsi dengan tandas.

Ruang solat yang sempit hanya muat untuk tiga atau empat orang bersolat dengan kain sejadah yang tidak dicuci dan lusuh.

Selain surau di bangunan awam, surau di stesen minyak juga amat dhaif. Terdapat bilik surau yang berkongsi jemaah lelaki dan perempuan. Ruang wudhuk juga terbuka menyebabkan jemaah perempuan perlu berhati-hati ketika berwudhuk.

Pengusaha stesen minyak wajar mencontohi kemudahan surau di perhentian rehat dan rawat lebuh raya dari utara ke selatan yang ditambah baik dari semasa ke semasa. Standard seperti inilah yang diingini oleh pengguna Islam dan wajar dikembangkan ke hotel dan pasar raya besar.

Hari ini pelancong dan pengunjung Islam memiliki pendapatan yang lebih besar dan semakin bijak membuat pilihan. Mereka tentu memilih premis yang dapat memenuhi keperluan ibadat supaya tanggungjawab disempurnakan. Orang-orang muda Islam juga bertambah ramai yang mengerjakan solat khususnya waktu maghrib sehingga surau besar dirasakan kecil.

Kerajaan Malaysia perlu menggiatkan promosi pelancongan Islam melalui penambahbaikan infrastruktur yang memenuhi keperluan pengguna yang datang dari negara-negara Islam.  Restoran Arab yang semakin berkembang menjadi indikator bahawa masyarakat dari Timur Tengah sudah mengenali Malaysia.

 

No comments:

Post a Comment