Langkah ESSCOM melihat dan menilai pembangunan Kampung Ayer di Brunei memang tepat pada masanya. Hal ini kerana pemodenan kampung-kampung air yang berselerak di Sabah perlu dipercepat supaya penduduk dan masyarakat sekitar dapat menikmati pelbagai kemudahan insfrastruktur yang dapat menceriakan kehidupan mereka.
Kampung Ayer di muara Sungai Brunei telah lama wujud seiring dengan pembangunan pesat Bandar Brunei (seterusnya dikenali Bandar Seri Begawan). Kampung air memainkan peranan penting dalam sejarah perdagangan negara itu khususnya perdagangan dengan China kerana terdapat tinggalan tembikar, pinggan dan mata wang di kawasan sekitar Kota Batu, Pintu Malim dan Kampung Pelambaian.
Infrastruktur di kawasan kampung air dilengkapi kemudahan asas bagi memastikan penduduk setempat mendapat kehidupan yang sama seperti di kawasan darat. Sekolah, masjid, stesen minyak, pasar, telefon dan kemudahan-kemudahan lain disediakan secukupnya oleh kerajaan Brunei.
Terdapat perbezaan yang ketara di antara kampung air yang asal dengan yang baru. Kampung air asal masih mengekalkan rupa bentuk kediaman yang diperbuat daripada kayu, bertindan lapis dan kurang teratur. Satu rumah ke rumah yang lain disambungkan dengan jambatan kayu sama ada dibuat sendiri atau disediakan oleh kerajaan. Kampung air yang moden dibangunkan agak jauh ke muara dalam susunan yang teratur, disambungkan dengan jambatan simen dan jarak antara rumah agak jauh. Walaupun tidak besar, ia cukup untuk sebuah keluarga kecil dan tidak boleh ditambah lagi. Kampung air yang lama boleh diperbesar jika sebuah keluarga mempunyai ahli keluarga yang ramai.
Satu aspek yang harus kita sedar berkaitan kampung air ialah budaya dan tradisi penduduknya jauh berbeza dengan masyarakat lain. Mereka mempunyai cara sendiri dalam menguruskan kehidupan. Emosi, sikap dan tingkah laku penduduk kampung air tidak sama kerana suasana hidup mereka pun tidak sama seperti orang lain.
Contohnya ialah kejelekitan penduduk kampung air. Mereka lebih kenal antara satu sama lain dan sangat mengambil berat hal ehwal kampung. Bahkan setiap orang dapat dikenali. Bahasa pertuturan juga ada slang tersendiri yang kadangkala menyebabkan orang lain sukar memahami maksudnya.
Oleh kerana corak hidup berbeza, pemikiran mereka turut berbeza. Pemikiran seperti ini menyebabkan ada segelintirnya yang sukar untuk membuat perubahan hidup. Akhirnya dari satu generasi ke satu generasi, dari datuk kepada cucu, kehidupan masih ditahap yang sama dan tidak mampu untuk keluar daripada kitaran ganas yang melingkari keturunan mereka.
ESSCOM harus mengkaji budaya hidup masyarakat kampung air lebih-lebih lagi yang berada di pulau-pulau yang jauh dan jarang dikunjungi. Mereka sudah tentu mempunyai budaya sendiri yang menyebabkan sukar untuk keluar dari kampung berkenaan.
Mengkaji kampung air di Brunei sangat baik dari segi pemodenan infrastruktur tetapi perhatian juga harus diberikan usaha pembangunan pemikiran, sikap dan spiritual supaya penduduk kampung air yang berselerak di Sabah dapat menerima perubahan yang bakal dilakukan. Jika dibuat secara mendadak, dikhuatiri penduduk enggan memberi kerjasama dan akhirnya ESSCOM turut terperangkap dalam kitaran ganas tadi.
No comments:
Post a Comment